
Tahniah diucapkan buat penyampai radio, Fizi Ali yang telah selamat menimang cahaya keduanya selepas isterinya, Siti Zulaikha melahirkan bayi perempuan mereka.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan Fizi menerusi Instagramnya petang semalam.
Bayi perempuan seberat 3.36 kg itu dalam keadaan baik, begitu juga dengan ibunya.
“Syukur alhamdulillah, terima kasih semua yang mendoakan kami sekeluarga.
“Yeah, mama dah selamat lahirkan baby girl. Kuat mama tadi, hampir enam jam bertarung untuk bersalin normal,” katanya berkongsi.
Tambah Fizi lagi, kehadiran cahaya mata perempuan itu bagi dirinya tambah membahagiakan.
“So sekarang bertambah la seorang lagi perempuan dalam hidup daddy,” luahnya.
Meninjau diruangan komen, peminat dan wargamaya turut menitipkan ucapan tahniah kepada Fizi dan isteri.
Terdahulu, Fizi dan isterinya, Siti Zulaikha mendirikan rumah tangga Oktober tahun lalu. Pasangan ini turut mempunyai anak menerusi perkahwinan mereka yang terdahulu.
Menarik: Saling Tukar Shift Jaga Anak, Kamal Adli Bangga Sifat Keibuan Uqasha!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Shila Amzah Bahagia Dilayan Bak Puteri Waktu Hamil, Teruja Sama-Sama Morning Sickness Dengan Suami!

Berbeza dengan kehamilan terdahulunya, penyanyi, Shila Amzah mengakui dia berdepan alahan yang sama dengan suaminya, Ubai di awal kehamilannya.
Tambah Shila lagi, dia begitu teruja kerana bukan hanya dia yang mengalami morning sickness bahkan suami juga turut merasai hal yang sama.
Tambah Shila lagi, dia bersyukur kerana tidak mengidam makanan yang pelik-pelik sepanjang hamil.
“Alhamdulillah setakat ini saya tidak ada mengidam yang pelik-pelik tetapi yang menariknya kami sama-sama berkongsi alahan morning sickness.
“Sebelum dapat tahu yang saya hamil Ubai sebenarnya boleh rasakan terlebih dulu sebelum saya lakukan ujian kehamilan.
“Dia beritahu yang saya mungkin sedang hamil tapi saya nafikan sebab banyak kerja yang harus diselesaikan.
“Lepas disahkan hamil Ubai pula yang kena morning sickness. Dia rasa mual-mual sampai berhenti kereta tepi jalan dan tak boleh drive,” katanya berkongsi.
Tambah Shila lagi, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan dan muntah-muntah yang teruk.
Paling membahagiakan kata Shila dia menerima layanan bak puteri dari suaminya sepanjang hamil.
“Boleh dikatakan mengandung kali ini saya dilayan bak puteri dari suami dan rakan-rakan terdekat.
“Saya lebih relaks dan suami pun selalu pesan saya tinggalkan apa jua perkara negatif atau hal yang buat saya stres.
Terdahulu, Shila dan Ubai mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 2023. Shila sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.
Menarik: “Memang Idola, Alif Satar Dipuji Netizen, Ajak Followers Solat Subuh Macam Solat Jumaat Di Masjid!
Untuk pasangan yang sedang ikhtiar hamil, jom sertai grup komuniti ‘Pejuang Garis 2 Pa&Ma’ untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah best.
Hanya perlu join group Whatsapp ini: https://chat.whatsapp.com/JcDPcXwwhrh4v052XOEmAG
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Bulan Ramadan Kaum Wanita Jangan Sedih Bila Datang Bulan, Banyak Lagi Cara Kumpul Pahala

Isi Kandungan
ToggleBagi kaum wanita, ketika datang bulan, mereka tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan tentunya amalan-amalan ibadah yang lain. Keadaan ini tentunya membuatkan kaum wanita berasa sedih dan kecewa.
Bulan Ramadan Kaum Wanita Jangan Sedih Bila Datang Bulan
Setiap kali tiba bulan Ramadan, tentunya ramai ingin mengambil kesempatan untuk menambah saham pahala. Oleh kerana bulan Ramadan hanya datang setahun sekali maka ia seharusnya tidak disia-siakan dan digunakan sebaik mungkin untuk amal ibadah.
Berikut perkongsian penuh makna daripada Ustazah Asma’Harun
WAHAI WANITA YANG KEDATANGAN HAID, USAH BERSEDIH PADA BULAN RAMADAN
“Aduhai, tak boleh pulak nak puasa. Ruginya rasa.”
“Ya Allah, seronoknya tengok orang lain boleh terawih ramai-ramai.”
“Cemburunya…. Semua orang berebut-rebut kumpul pahala bulan Ramadan. Aku tak boleh nak buat apa-apa.”
Sedihnya…
Beginilah antara beberapa keluhan dan luahan yang kadangkala keluar daripada mulut para wanita yang didatangi haid pada bulan Ramadan.
Haid adalah fitrah bagi seorang wanita. Saidatina Aisyah r.a. juga pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji. Rasulullah SAW menenangkan hati
Aisyah dengan berkata,
إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ فَاقْضِي مَا يَقْضِي الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang haji, kecuali tawaf di Kaabah.” [HR Bukhari]
Wanita yang berada dalam keadaan haid semasa Ramadan tidak perlu bersedih, kerana ini adalah ketetapan daripada Allah SWT. Tidak boleh berpuasa bukanlah bermaksud semua ibadah semasa Ramadan tidak dapat dilakukan. Sebenarnya, masih banyak amalan yang boleh diamalkan oleh para wanita yang didatangi haid dalam bulan Ramadan.
Banyak Lagi Cara Kumpul Pahala
AMALAN WANITA HAID SEMASA RAMADAN:
1. MEMPERBANYAKKAN DOA DAN ZIKIR
Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”
[Surah al-Ahzab: 41-42]
Selain itu, Allah juga berfirman:
فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ
Maksudnya: Ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur. [Surah al-Baqarah: 152]
2. MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA
Amalan mudah bagi seorang wanita adalah menyediakan juadah berbuka buat orang yang berpuasa.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani r.a.:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” [HR Tirmizi, hadis sahih]

3. MEMPERBANYAKKAN SELAWAT
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [HR Muslim]
4. MEMPELAJARI ILMU AGAMA
Nabi Muhammad SAW bersabda:
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” [HR Muslim]
5. MELAZIMI SEDEKAH
Wanita yang haid masih boleh melakukan sedekah di bulan Ramadan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a.:
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَأَكْثِرْنَ الْاِسْتِغْفَارَ ، فَإِنِّـيْ رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka.” [HR Muslim]
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda. Jibril a.s. menemui Baginda setiap malam di bulan Ramadan sehinggalah selesai Nabi Muhammad SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya. Ketika Jibril a.s. datang, Baginda memberikan kebaikan melebihi angin mursalah (yang bertiup atau yang dikirimkan).” [HR Bukhari]
6. MENDENGAR ALUNAN AL-QURAN
Ketika sedang didatangi haid, para wanita masih boleh mendengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran. Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid, dan ia membaca al-Quran.” [HR Bukhari]
Sesungguhnya, wanita yang didatangi haid semasa Ramadan tidak terkecuali dalam merebut pahala. Usahakan melazimi amalan-amalan yang disebutkan di atas supaya kita tidak terlepas daripada merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadan yang mulia.
Selain berpuasa dan solat, banyak lagi amalan yang boleh dilakukan ketika dalam keadaan haid. Dalam bulan Ramadan misalnya, menyediakan hidangan untuk bersahur dan berbuka puasa juga salah satu cara untuk mendapat pahala. Jadi, usahlah bersedih wahai wanita…
Sumber kredit: Ustazah Asma’Harun
Antara Miskin & Malas Cari Rezeki Untuk Keluarga. Deep Perkongsian Mufti Perlis Ni!

Membaca perkongsian daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkenaan sifat malas dan kemiskinan, harap memberi kesan buat semua. Bersamalah kita ambil pengajarannya dan semoga kita dan anak cucu kita terhindar daripada penyakit ‘MALAS’ yang dimaksudkan itu.
Ini perkongsiannya.
𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐈𝐒𝐊𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐒
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan. Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
𝗧𝗲𝗿𝗸𝗲𝗰𝘂𝗮𝗹𝗶
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul. Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
𝗣𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras. Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
𝗗𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗦𝗮𝗷𝗮
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿𝗮𝘁
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan. Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗠𝗔𝗜𝗣𝘀 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan. Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
𝗔𝗸𝘂𝗿
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
𝗝𝗶𝗵𝗮𝗱 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w:
لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ
“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a
فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Semoga ALLAH mengampuni saya..
Dr MAZA,
12.30 malam