Kasih ibu membawa ke syurga… Pemngorbanan mengandung dan melahirkan tidak mampu dinilai dengan harta dan wang ringgit. Itulah yang ditempuhi oleh seorang wanita yang bergelar ibu. Momen paling indah dan dinanti untuk melengkapi fitrah diri sebagai wanita.
Kasih sayang yang ditunjukkan berpanjangan biarpun anak-anak sudah besar dan memiliki keluarga sendiri. Namun ibu tetap ibu. Demikian yang boleh diungkapkan tatkala menonton satu video seorang warga emas dikelilingi anak-anaknya.
Video berdurasi tiga minit tersebut memperlihatkan sisi ibu yang cukup menyentuh hati. Sambil duduk berlantaikan papan, anak-anak dalam lingkungan awal 50-an disuap makan oleh si ibu.
Kelihatan sepinggan nasi putih dan ikan bakar, sebotol budu dan semangkuk kicap berlada serta secawan air kosong. Biar menunya cukup ringkas, namun suapan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya benar-benar meninggalkan kesan yang cukup menyentuh hati.Seorang demi seorang disuap nasi ke dalam mulutnya.
“Perhatikan walaupun anak dia sudah berumur 50 tahun ke atas, masih cubit ikan dan tengok satu-satu takut ada tulang. Itulah sifat ibu kami, cucu-cucu pun bagai nak gila menangis.
“Ya Allah, panjangkan umur mek kami. Inilah memori terindah. Yang rakam tu separuh gila menangis,”ujar Wan Raliza Ilunie Wan ramli, 25 atau mesra dengan panggilan Yuniey Iluniey pemilik facebook yang memuat naik video tersebut.
Menurutnya, video tersebut dirakamkan sempena hari keluarga yang dirakamkan di sebuah vila di Marang, Terengganu.
jelas Yuniey lagi, warga emas bernama Fatimah Hamat adalah neneknya yang berusia lewat 70-an. Selain nenek, turut serta dalam video tersebut adalah ibunya serta bapa dan ibu saudaranya.
“Masa tu pertama kali keluarga besar kami berkumpul selepas sekian lama memandangkan masing-masing sibuk walaupun tinggal berdekatan. Kami memanggil nenek dengan panggilan Mek. Nenek ada 12 anak tetapi lima meninggal dunia. tinggal 7 orang. Dalam majlis ini yang tidak turut serta adalah anak sulung Mek,”jelas Yuniey lagi kepada mstar.
Jelas Yuniey lagi, sesi suap-menyuap itu dibuat kerana kerinduan yang menebal di kalangan anak-anak terhadap Mek. Malah akui ibu Yuniey, sesi suapan tersebut mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya sehinggakan masing-masing tak dapat menahan air mata.
“Dah berpuluh tahun mereka tak merasai suapan Mek. Macam ibu saya sendiri, umurnya 51 tahun dan sudah hampir 49 tahun tidak merasa disuap oleh Mek. Ini kerana, orang dulu-dulu waktu kecil sahaja disuap ibu bapa. Lepas itu abang atau kakak yang mengambil tanggung jawab tersebut,”jelas Yuniey sambil memberitahu datuknya sudah lama meninggal dunia.
Jelas Yuniey lagi, itulah momen paling manis dalam hidupnya yang takkan dilupakan sampai bila-bila.
“Mek sebenarnya tidak sihat. Tetapi apabila dia melihat anak-anak, cucu dan cicit berkumpul, dia jadi sihat dan bersemangat. Waktu rakam tu saya bayangkan, kalau tak ada peluang begini, mungkin tak dapat merasa sampai bila-bila. Sebab Tuhan boleh ‘ambil’ mereka bila-bila masa, kita tidak tahu,” jelasnya lagi yang merupakan usahawan kosmetik.
Tambhnya lagi, kekangan kewangan bukan alasan untuk tidak berkumpul dengan ahli keluarga lain sekali gus merapatkan hubungan yang jauh.
“Lain boleh dicari ganti, namun kalau orang yang kita sayang dah tak ada,takkan ada gantinya. Hargailah selagi mereka masih ada,” ujarnya lagi.
Kredit fb Yuniey Iluniey & Mstar online