Ibu adalah seorang insan yang sanggup berkorban nyawa untuk melahirkan cahaya matanya. Pengorbanannya juga hingga sanggup buat apa saja demi membesarkan anak yang dikandung.
Begitulah yang dilakukan oleh Zahrah Mohd Jamian,39 bukan sekadar menjadi isteri dan suri rumah malah Zahrah Mohd Jamian turut menggagahkan diri mencari rezeki dengan membuat kek dan menjualnya di kaki lima premis.
Semuanya demi membantu meringankan beban suami untuk menyara keluarga, terutama anak sulung mereka, Nur Zetty Shazlily, 15, yang juga orang kurang upaya (OKU) yang terlantar sejak berumur tiga tahun.
Buat follower Keluarga, sila guna kod promo KELGSP5 untuk pembelian British Polo Yuna Handbag Set dengan harga lebih murah hanya di GO SHOP
Nur Zetty menghidap penyakit jarang jumpa iaitu sindrom Dravet. Kerana terlantar, tulang belakangnya mulai senget dan dia juga diserang sawan setiap hari.
Lahir Normal
Mengimbas kembali punca anaknya jadi begitu, siapa sangka pada awalnya dilahirkan normal namun selepas menerima suntikan pada usia 3 tahun segalanya berubah. Ini sebagaimana memetik perkongsiannya bersama Harian Metro.
“Empat jam selepas terima suntikan, Nur Zetty diserang sawan dan kami bawanya ke hospital untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, ubat diberi tidak serasi menyebabkan sawannya berulang.
“Sedihnya kerana dia lahir normal malah sempat berjalan dan berlari sehingga berumur tiga tahun. Namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ditemui di rumah sewanya dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini.
Menurut Zahrah, sudah 15 kali Nur Zetty dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) berikutan penyakit terbabit.
Keadaan Nur Zetty tetap sama dan itu yang menyebabkan Zahrah serta suaminya berikhtiar untuk melakukan alternatif lain dengan ke pusat rawatan swasta bagi membolehkan Nur Zetty menjalani terapi.
“Tahun lalu, doktor pakar sahkan tulang belakang Nur Zetty bengkok 60 darjah dan anak kami disyorkan untuk menjalani pembedahan pada bahagian itu (tulang belakang).”
“Bagaimanapun, saya dan suami tidak berani ambil risiko kerana ia membabitkan nyawa. Kerana itu kami bawanya menjalani terapi,” katanya.
Perlu Belanja Yang Besar
Menurutnya, mereka juga memerlukan belanja besar untuk Nur Zetty menjalani sesi terapi itu dan kerana itu, mereka terus berusaha mencari dana demi rawatan anak tersayang.
“Doktor memaklumkan mustahil untuk sembuh namun pakar dalam bidang terapi mengatakan masih ada peluang. “Saya pula tidak minta lebih, memadai jika Nur Zetty dapat duduk dan sihat,” katanya.
Zahrah berkata, buat masa ini, dia hanya mampu mencari dana dengan mengambil tempahan membuat kek dan menjualnya di kaki lima.
Selain menampung kos rawatan Nur Zetty, wang hasil jualan itu juga disimpan untuk kegunaan lima anak yang masih bersekolah.
“Saya berniaga setiap hari di kaki lima premis sekitar Petaling Jaya daripada jam 6 petang hingga 10 malam dengan ditemani anak.”
“Saya tidak berniaga di tempat sama kerana bukan semua kawasan sesuai malah barangan jualan pernah dirampas pihak berkuasa berikutan aduan orang ramai.
“Itu antara cabarannya malah pernah juga tiada kek terjual dan saya sedekahkan ia kepada gelandangan,” katanya yang menghasilkan kek selepas pulang berniaga.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi Zahrah atau Muhammad Zakri di talian 011-19526330.
Sementara itu, Muhammad Zakri berkata, selagi bernyawa, dia dan isteri akan menjaga serta mendapatkan rawatan buat Nur Zetty.
“Mulanya memang susah untuk menerima ujian ini memandangkan ia menimpa anak sulung.
“Itu belum lagi cemuhan orang lain kerana Nur Zetty OKU. Bagaimanapun, pengalaman mendewasakan dan mengajar saya untuk terima ketentuan Allah SWT dengan lapang dada,” katanya yang memperoleh pendapatan bulanan RM2,500
Sumber : Harian Metro