Bermadu Dengan Sahabat Baik Sendiri, Kuatnya Wanita Ini!

Share

Bukan calang-calang wanita yang mampu dan redha hidup bermadu. Ya lah suami yang selama ini milik seorang tapi terpaksa dikongsi dengan wanita lain.

Tidak semua yang merestui jauh sekali sudi untuk meminang bagi pihak suami. Tapi salute pada wanita bernama Ida Nirwana Marzuki, 28 tahun. Dia memang kuat.

Hanya kerana ingin memastikan hubungan sahabat baiknya dengan suami halal di sisi Yang Maha Esa, dia sanggup berkongsi kasih. Ibu kepada seorang cahaya mata berusia tiga tahun ini bukan sekadar melamar, bahkan dia juga merisik dan meminang kawan baiknya untuk dijadikan isteri kedua kepada suaminya.

Persahabatan terjalin antara Ida Nirwana dengan Norinie Rahmad, 37 dan suami Nurul Hakim Mohd Kusaini, 34,ketika sama-sama menghadiri kursus yang menawarkan perundingan imej di sebuah hotel di ibu negara setahun yang lalu.

“Boleh dikatakan hubungan kami mulai rapat dan kami kemudiannya mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat bersama. Selain hubungan sebagai rakan perniagaan, kami juga semakin rapat bukan hanya sekadar sahabat tetapi saya anggap Anne  seperti kakak sendiri.

“Bahkan, ketika arwah ibu Anne dimasukkan ke hospital, saya dan suami selalu menemani dan memberi kata-kata semangat untuknya. Selepas ibu Anne meninggal dunia menyebabkan dia tinggal keseorangan memandangkan ahli keluarga lain sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

Kemudian, selepas pemergian arwah ibu Anne, saya sampaikan hasrat tersebut kepadanya dan seperti yang saya jangka dia memang terkejut tetapi tidak menolak.

“Sebaliknya dia minta tempoh selama dua bulan untuk memikirkan sebelum memberi jawapan. Waktu itu, tidak terdetik rasa sedih mahupun cemburu bahkan saya teruja kerana apa yang dilakukan memang di atas kerelaan hati saya,” cerita Ida yang memaklumkan suaminya agak keberatan kerana tidak pernah berhasrat untuk berkahwin lain apatah lagi hanya  menganggap Anne sekadar rakan kongsi ketika itu.

Hari-hari tanya

Usai dua bulan memikirkan akhirnya Anne menerima hasrat tersebut. Walaupun ada wanita yang memandang poligami secara negatif, namun mereka bertiga reda berkongsi kasih.

“Tidak pernah saya membayangkan diri akan bermadu dengan sahabat baik sendiri. Setiap hari saya akan bertanyakan kepada Ida adakah dia betul-betul nekad. Bahkan,  hari mahu di akad nikah saya masih bertanyakan soalan yang sama sehinggakan dimarahi Ida.

“Apa yang membuatkan saya menerima Ida sebagai madu dan Hakim sebagai suami adalah kerana keprihatinan mereka sepanjang kami kenal lebih-lebih lagi sewaktu arwah ibu saya sedang sakit. Sebelum ini, soal kahwin tidak langsung terlintas di fikiran saya memandangkan saya sibuk dengan kerjaya.

“Ada juga yang bertanyakan kepada saya kenapa perlu kahwin dengan suami orang, lebih-lebih lagi suami sahabat sendiri sedangkan saya bujang. Namun, saya melihat keikhlasan dan kesungguhan Ida membuatkan saya nekad untuk terima.

Mungkin berkongsi suami itu adalah satu rezeki buat saya. Saya reda dan terima jodoh ini dengan hati terbuka,”ungkap Anne lagi yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dan kini menubuhkan syarikat bersama madu dan suaminya.

Reaksi suami

“Awalnya rasa cuak dan berdebar bahkan keluarga Ida sendiri terkejut dengan idea tersebut. Bayangkan daripada anak angkat ibu Ida, akhirnya Anne menjadi madu anaknya sendiri. Namun, mereka tidak membantah dan menerima jodoh tersebut.

“Saya sendiri jujurnya, sukar awalnya memandangkan kami sudah biasa berbual dan bergurau sebagai kawan dan rakan kongsi dan perniagaan, tetapi kini saya perlu menukar perasaan tersebut kepada suami.

“Bahkan, saya terasa sedikit sedih kerana tidak menjangka akan berkahwin dua. Kerana itu, saya cuba elakkan diri buat seketika dengan Anne tetapi dalam masa yang sama, Ida sentiasa memujuk dan memberitahu kenapa dia jujur dan ikhlas kenapa mahu saya mengahwini Anne.

“Selepas berkahwin, saya rasakan perasaan berubah sedikit demi sedikit dan kami bertiga tetap seperti sebelum ini. Boleh berborak dan berbincang tanpa sebarang masalah. D

Sumber: Majalah Keluarga isu Disember 2016.