Amalan kunjung berkunjung Di Hari Raya kini diteruskan lagi dengan menghadiri jemputan rumah terbuka daripada kawan-kawan sepejabat dan sahabat handai.
Pun begitu, sedang kita ikhlas menghadiri jemputan, jangan pula melakukan beberapa amalan negatif di Hari Raya sebagaimana apa yang disenaraikan oleh Akhtar Syamir ini. Jom semak.
Elakkan Amalan Negatif di Hari Raya Ini.
Saban tahun kita buat perkara yang sama. Kadangkala kita tidak menyedarinya tetapi apa yang kita lakukan itu adalah tidak baik sebenarnya.
1. Menilai orang dari duit raya yang diberi.
Duit raya ialah salah satu cabang sedekah dan bukannya sebagai medium untuk menunjuk-nunjuk. Berhentilah memandang rendah kepada orang yang tidak mampu untuk memberi duit raya yang banyak. Kita tidak tahu situasi kewangan dia dan kita tidak tahu infaq atau sedekah yang dia telah lakukan selama ini.
2. Berbangga dengan pencapaian anak secara berlebihan.
Pantang jumpa saudara, kita akan canangkan anak kita dapat Anugerah Dekan, dapat nombor 1, wakil sekolah pertandingan mewarna dan lain-lain lagi. Bercerita itu tak salah, tetapi kalau dah setiap orang yang jumpa akan diceritakan perkara yang sama, dengan secara tak langsungnya, kita termasuk ke lembah riak.
3. Body Shaming.
Tak kira la gemuk ke, kurus ke, hitam ke, pendek ke, kita selalu dengar perkara ni apabila keluarga berkumpul di hari raya. Alasan berterus terang itu adalah alasan sampah yang mementingkan diri sendiri. Jika semua orang berterus terang tanpa menjaga adab dan hati orang lain, patut ke kita kutuk OKU? Atau kalau suka sangat orang berterus terang, suka tak kalau orang tegur kita “kau ni buruk, huduh tak berubah-ubah, raya tahun lepas buruk, raya tahun ni buruk jugak”.
Body shaming ialah perkara keji yang tidak patut dilakukan pada bila-bila masa pun, inikan pula di hadapan orang ramai. Dah la setahun sekali nampak muka, jumpa je terus buat sakit hati. Lepas tu boleh terfikir kenapa orang tak ziarah bila bukan hari raya.
4. Mengutuk baju raya orang lain.
Mentang-mentang baju raya dia bersinar-sinar jenama retis, orang lain punya habis dikutuknya. Tak cukup dengan itu, yang mana pakai baju tahun lepas, habis kena umpat semacam. Sedih sangat bila jadi macam ni. Terlalu mudah memandang rendah orang lain.
5. Tak habis-habis bertanya bila anak orang lain tu nak kahwin, bila nak tambah anak, bila nak tambah bini, bila nak tukar kereta.
Tahun lepas dah tanya, tahun ni tanya lagi. Susah hati sangat dia. Tau la orang tu nak kahwin bila. Ingat benda senang ke nak berteman lepas tu nak kahwin? Yang paling sedih orang yang bertahun-tahun terpaksa memberi senyuman kepada soalan-soalan sebegini. Saya rasa diorang pun dah menyampah tengok muka yang bertanya tu.
Bab anak pun bukanlah suatu yang di dalam kawalan 100%, berhentilah menyinggung perasaan orang lain.
6. Bising rumah di kampung panas.
Mengeluh orang-orang bandar ni sekali-sekala balik kampung takde pendingin hawa. Habis bising dia kepanasan macam kena panggang. Bukan semua orang mampu, kalau dah tau tak boleh panas, bawa la kipas sendiri. duduk je depan kipas tu masa tidur.
7. Bersalaman tetapi tidak memaafkan.
Apa gunanya salam cium tangan kalau hati masih lagi simpan perasaan dendam? Bertahun-tahun lamanya orang tu buat salah. Sampai sekarang, dibenci. Lepas tu selalu mengelak untuk berjumpa ahli keluarga lain disebabkan krisis dengan seorang sahaja. Buanglah yang keruh, ambil yang jernih.
8. Pantang nampak yang cantik, yang hensem, semua nak ngorat.
Bila berjumpa sanak saudara ni, perlu hati-hati. Kadang-kala yang kita jatuh hati tu mak atau bapak saudara. Kadang-kadang anak buah kita sendiri. Jangan tersalah mengorat, buat malu je nanti.
9. Mengumpat ahli keluarga yang tak balik kampung.
Semua orang ada sebab tersendiri kenapa tidak dapat balik beraya. Bukan semua benda dalam kawalan sendiri. Berhentilah mengumpat dan mengeji adik beradik sendiri. Hari ini mungkin masa dia, esok lusa mane tahu hari kita pulak kan?
10. Memilih nak beraya rumah yang ada masak sedap je. Siap telefon atau whatsapp tanya masak ape.
Ziarah dan mengeratkan silaturrahim ni tak perlu la bergantung kepada masakan Tuan Rumah. Biasa tak dengar, “rumah si polan wajib pergi, dia tiap-tiap tahun masak laksa!”. Yang laksa wajib, yang biskut raya je jadi tak wajib. Harap jangan la jadi macam ni.
_____________
Semoga hari raya kali ini dapat kita raikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Tinggalkan segala masalah dan pertelingkahan lalu. Bersyukurlah yang kita masih lagi diberi kesempatan untuk beraya bersama. Tahun depan kita pun tak tahu boleh berjumpa lagi atau tidak.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.
Sumber : Akhtar Syamir