Berkat Dorongan Suami, Bella Buktikan Walau Berkahwin Muda Dan Bergelar Suri Rumah, Namun Mampu Jana Pendapatan

Share

Gayanya cukup bersahaja dengan loghat Utaranya yang cukup pekat mengundang tawa sesiapa sahaja yang melihat videonya di laman sosial. Inilah kelebihan yang dimiliki wanita bernama Bella yang cukup tular di laman facebook. Video solekan yang dilakukan secara live mendapat puluhan ribu tontonan pengunjung laman sosial berkenaan.

Anak sulungnya mula menampakkan bakat menjadi seorang model. Menurut Bella, anaknya itu memang banyak mengikut jejaknya lebih-lebih dalam meminati bidang seni solekan.

“Saya dan suami tidak pernah meletakkan sasaran tertentu supaya anak-anak kami memilih bidang yang sama. Sementelah mereka masih kecil dan jauh lagi perjalanan. Kalau boleh kami mahu mereka berjaya dalam pelajaran terlebih dahulu. Tetapi jika besar kelak mereka ingin memilih bidang yang sama seperti apa yang saya lakukan sekarang, saya dan suami tidak menghalang.

“Cuma kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang, sebagai ibu bapa kami hanya mampu memberi ‘guideline’ selebihnya terserah pada pilihan masing-masing. Kalau diikutkan anak sulung saya ini memang suka memakai mekap. Pantang nampak barang-barang mekap saya ada sahaja yang dia nak cuba.  Mungkin kerana dia sudah dibiasakan dengan situasi begini, yelah ke mana sahaja pergi, saya akan angkut semua sekali termasuk suami dan anak-anak. Jadi, tidak timbul isu saya abaikan mereka kerana setiap masa anak-anak berada di samping saya dan suami. Malah, Airis walaupun masih kecil, dia pandai bawa diri dan berdikari.

“Waktu awal-awal saya terjun dalam bidang solekan, suami tengok pelik, tetapi lama-lama dia boleh terima. Malah, saya tidak sangka sambutan hangat dari orang ramai membuatkan permintaan untuk saya adakan kelas mekap diterima dari merata tempat. Suami yang sebelum ini bekerja makan gaji kemudiannya memilih untuk berhenti kerja.

“Jadi, sekarang ini suami hanya bekerja sampingan di pejabatnya selebihnya dia akan mengikut saya. Ini memudahkan kami untuk menguruskan anak-anak dan secara tidak langsung kami berempat sentiasa bersama ke mana saja. Selain membawa ketika mengadakan kelas solekan, kami berempat juga selalu bercuti atau hujung minggu keluar makan atau jalan-jalan,”ujar Bella atau nama sebenarnya Nor Nabilah Zulyadaini yang berasal dari Negeri Jelapang Padi.

Bella yang dulunya aktif dalam bidang bakery, kemudian beralih arah kepada solekan setelah mempunyai anak. 2013 adalah permulaan untuknya terjun dalam bidang solekan dengan membuat live di facebook. Tidak sangka, personaliti media sosial ini mendapat sambutan hangat sehinggakan berjaya mengumpul sejumlah besar penonton setiap kali bersiaran secara live. Lebih membanggakan, jumlah pengikutnya kini sudah melebihi sejuta sejak aktif di laman sosial itu tiga tahun lalu

Kahwin muda

Memiliki dua cahaya mata Airis Alisha, 4 tahun dan Aidil Mikhail, 4 bulan hasil perkongsian hidup bersama Anuar Ahmad, 28 wanita anggun ini mengakui sangat bersyukur dan gembira kerana dalam usianya menjangkau 25 tahun sudah memiliki keluarga yang lengkap.

“Walaupun berkahwin awal, namun saya dan suami tidak menyesal kerana keluarga kami sudah lengkap dengan kehadiran Airis dan Aidil. Walaupun mungkin wanita seusia saya masing enjoy ke sana ke mari, namun saya tidak cemburu, bahkan saya bersyukur kerana Tuhan anugerahkan saya keluarga yang cukup harmoni. Bukan mudah melayari alam rumah tangga dalam usia muda. Banyak cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi. Tetapi saya berpegang kepada ‘sabar’ dalam semua hal.

“Dalam rumah tangga kena banyak sabar, kena yakin jika nak buat sesuatu kerja, sibuk macam mana sekali pun kena ada masa untuk anak-anak dan suami, sentiasa bertolak ansur dengan pasangan jika nak mudahkan hidup. Yang lebih penting, jika berlaku pergeseran atau perselisihan faham, dengan pasangan, jangan mudah naik angin. Tahan amarah tu dan selalu berbincang,”ujar Bella yang namanya kini sudah terkenal bukan sahaja di Malaysia, bahkan Brunei dan Singapura kerana pernah dijemput mengendalikan bengkel solekan wajah di sana.

Ajar anak  kenal huruf

Sementara itu, Anuar yang sedikit pemalu dan tidak banyak cakap memberitahu, keselamatan isteri dan anak-anak antara sebab kenapa dia memilih untuk mengikut ke mana sahaja isterinya pergi.

“Memandangkan sekarang ini macam-macam kes berlaku, rasanya tidak salah jika saya mengambil langkah berjaga-jaga. Lagipun anak-anak kami masih kecil dan sekurang-kurangnya apabila Bella sibuk dengan kelas solekan, saya boleh jaga anak-anak. Sekarang ini mereka masih kecil, tetapi kami tidak mahu memanjakan mereka. Soal pendidikan baik saya mahupun Bella sendiri sudah setuju memang itu yang menjadi keutamaan.

“Walaupun sekarang Airis belum bersekolah, insyaAllah tahun depan kami akan menghantarnya ke Sekolah tadika. Sekarang pun, kami sudah belikan dia buku-buku yang bermanfaat dan sesuai untuk pembacaan dengan tahap usianya sekarang. Yang penting ajar benda asas terlebih dahulu supaya Airis kenal huruf jadi mudah apabila masuk sekolah kelak,” ulas Anuar yang juga merupakan anak kelahiran Negeri Kedah.

Sumber: Majalah Keluarga Nov-Dis 2017