Berkaitan Beri MC. Doktor Ni Perhalusi, Sama-sama Ibu Ayah Ambil Pengajarannya!

Share

Menyentuh tentang MC atau surat sakit untuk anak-anak,  jangan tidak percaya ada sahaja kisah disebaliknya. Dan hal ini dikongsikan panjang lebar oleh doktor ini.

Ada macam-macam kes dan alasan yang tersendiri. Sama-sama kita ambil pengajarannya agar dalam hal mc ini juga dalam tidak sedar kita sebagai ibu ayah sedang mendidik dan membentuk pemikiran  generasi akan datang.

Jom baca perkongsian penuh doktor ini.


Sebelum saya mula, saya nak mohon maaf dahulu kepada pihak yang saya nak tegur, iaitu ibubapa pelajar, dan pihak sekolah. Tiada niat selain mahukan yang terbaik untuk pada pelajar.

Beberapa tahun kebelakangan ini, saya lihat pihak sekolah semakin tegas dalam memastikan para pelajar hadir ke sekolah. Itu perkara yang saya harus puji. Kita perlukan ketegasan untuk mendidik.

Saya dikhabarkan oleh kebanyakan ibu bapa pelajar, bahawa pihak sekolah akan pohon penjelasan daripada ibubapa pelajar sekiranya anak mereka tidak hadir ke sekolah.

Jika sakit, perlu beri bukti cuti sakit daripada doktor. Jika ada urusan keluarga seperti kematian, kelahiran, atau keuzuran ahli keluarga, ibubapa perlu kemukakan surat rasmi sebagai dokumentasi.

Saya sebagai doktor, ada perkara saya perlu beritahu. Jujur saya katakan, ramai ibubapa bawa anak datang ke klinik dan paksa doktor beri cuti sakit pada anak, sedangkan anak tu tak sakit.

Pelajar itu tak hadir ke sekolah kerana ikut keluarga bercuti, ada kerana tak sempat pulang dari kampung kerana jalan raya sesak, ada kerana kenderaan rosak, ada juga kerana kerja sekolah tak siap.

Saya enggan beri cuti sakit, tetapi ibubapa seboleh-boleh merayu, memujuk, memaksa, malah yang sampai mengugut saya, demi untuk dapatkan juga cuti sakit anaknya tak sakit itu.

Lebih sukar bagi saya jika ibubapa itu meminta sijil cuti sakit untuk anaknya, dengan tarikh yang lebih awal daripada hari mereka ke klinik. Kadang-kadang tarikh dua hari awal.

Kenapa saya sibuk nak ketengahkan perkara ini?

Begini. Perilaku ibubapa tadi dilihat oleh si anak. Dia lihat ibubapa dia paksa doktor beri sijil cuti sakit, tawar duit untuk sijil cuti sakit, cuba tipu tarikh pemberian sijil cuti sakit.

Bila pelajar ini dewasa nanti, pastinya sebahagian besar mereka akan rasa amalan ini adalah amalan biasa. Sebahagian besar mereka akan praktikkan juga amalan ni bila mereka dah bekerja kelak.

Andai saya tolak permintaan ibubapa ni, mereka akan kata pihak sekolah yang minta sijil cuti sakit, dan kalau tak dapat kemukakan, markah terkumpul(carry over) pelajar akan di tolak, atau pelajar akan didenda.

Terus terang, saya tak pasti sama ada dakwaan ibubapa itu benar atau tidak, tapi ramai ibubapa yang mengatakan perkara yang sama. Ramai dakwa, tak semestinya ia benar.

Gambar hiasan

Sungguhpun begitu, jika ia benar, saya rasa ia ketegasan yang agak berlebihan. Jika keuzuran ringan, dan pelajar tidak hadir satu hari, pada pendapat saya, cukuplah surat makluman daripada ibubapa.

Ketegasan berlebihan begini, pada hemat saya tidak mendatangkan hasil yang baik. Jika pelajar tak ke sekolah atas apa-apa sebab, mereka akan minta ibubapa dapatkan cuti sakit.

Akhirnya, ponteng kelas membawa kepada, sikap manipulatif, pemalsuan keuzuran dan sijil cuti sakit, dan inokulasi perilaku-perilaku negatif lain seperti telah dinyatakan awal tadi.

Kita(semua pihak, termasuk saya, ibubapa, dan pihak sekolah) perlu sama-sama perlu faham bahawa pelajar tidak ke sekolah bukan hanya atas faktor kesihatan semata-mata.

Jika tidak hadir ke sekolah bukan atas faktor kesihatan, ibubapa tak perlu kemukan sijil cuti sakit. Tulis saja surat penjelasan kepada sekolah. Kalau cuti yang dirancang, hantar permohonan cuti awal-awal.

Saya percaya, jika alasan dan tempoh cuti dalam permohonan itu munasabah, maka pihak sekolah tidak akan mengambil apa-apa tindakan disiplin terhadap pelajar berkenaan.

Di alam pekerjaan nanti, ini juga prosedurnya. Pupuklah amalan ini dari bangku persekolahan lagi. Cadangan saya, lagi elok jika surat mohon cuti itu ditulis oleh pelajar, dan disahkan oleh ibubapa.

Jika memang pelajar tak hadir ke sekolah tanpa sebab yang kukuh, maka ibubapa tak perlu cuba melindungi kesalahan itu. Ajarlah mereka bertanggungjawab atas perbuatan mereka sendiri.

Sebelum tamatkan omelan ini, saya mohon maaf sekali lagi daripada pihak-pihak yang terlibat andainya ada hal yang ditulis ini tidak tepat. Saya terbuka untuk diperbetulkan.

Terima kasih.

Sumber : Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya