Berkahwin Sebab Nak Jadi Suami, Bukan Sebab Mahu Apa Dari Isteri!

Share

Perkongsian daripada suami ini ada bagusnya dijadikan panduan dan pengajaran buat lelaki bergelar suami agar lebih terbuka untuk turut sama melakukan kerja bersama-sama isteri.

Jangan hanya tahu mengharap semua tersedia dan dilakukan dari isteri semata-mata, bimbang akhirnya diri sendiri yang kecewa.

Sebaiknya, ikhlaskan hati untuk setiap apa yang dilakukan adalah tujuannya untuk  mendapatkan reda Allah, pasti terbit rasa sayang-menyayangi, hormat-menghormati dan ingin selalu berbakti pada pasangan untuk merebut ganjaran dariNya.

Ini perkongsiannya.

Saya berkahwin kerana saya nak jadi suami. Bukan mahu apa dari isteri. Kalau saya kahwin sebab nak semua dari isteri, saya akan jadi suami yang paling kecewa sekali.

Gambar hiasan

Baju tak basuh bising.

Makanan takde marah.

Rumah bersepah resah gelisah.

Maka, saya masuk ke dalam rumahtangga bukan nak semua, tapi usahakan bagi semua.

Itulah tugas saya.

Apa yang saya terima dari isteri, saya anggap itu bonus.

Saya juga melalui sakit yang orang lain rasa. Penatnya menjadi suami, sakitnya menjadi suami, letihnya menjadi suami.

Allahuakbar. Semuanya memeritkan.

Namun, cuma bezanya saya belajar dan berusaha.

Bukan melihat buta segala sikap dan perangai isteri, menyalahkannya setiap hari, dan bersangka buruk malam dan pagi.

Kalau kita tak dapat pasangan yang baik, jangan itu menjadi alasan untuk kita tak menjadi yang terbaik.

Siapa pun kalian.

Kalian yang suami. Kalian yang isteri.

Andai benar kahwin kerana Tuhan, ujian di lalui dengan penuh percaya pada kebaikan Tuhan.

Sumber : Abu Hurairah Asifa