Jodoh itu rahsia Allah, tiada siapa yang tahu. Begitu juga kisahnya buat pasangan ini yang selepas 21 tahun bercerai, namun siapa sangka jodoh mereka sangat kuat apabila bertaut kembali sebagai pasangan suami isteri buat kali kedua.
2002 Bawa Haluan Sendiri
Ikatan perkahwinan pertama dibina Hawazalina Mohd Othman, 46, dan Mohd Ezwani Ahmad Nazeri, 45, selama dua tahun terlerai pada Jun 2002 sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Kisah mereka mendapat perhatian di TikTok apabila Hawazalina yang mengambil tempahan dan mengajar seni mengait berkongsi video di akaun sosial itu, baru-baru ini.
Hawazalina berkata, selepas berpisah mereka berkahwin lain dengan pasangan masing-masing, namun perkahwinan itu tidak bertahan lama.
Menurutnya, sepanjang perpisahan selama hampir 21 tahun, mereka tidak pernah berhubung atau bertemu kerana sudah mempunyai hidup sendiri.
“Saya berkahwin dengan bekas suami kedua pada 2008 sebelum berpisah pada 2019 dan kami mempunyai tiga anak, manakala suami pula berkahwin bersama bekas isteri keduanya pada 2007.
“Suami kemudian berpisah dengan isterinya pada 2018 serta turut mempunyai tiga anak dan kami tidak pernah berhubung ketika itu,” katanya yang tinggal di Kampung Jawa, di sini, ketika dihubungi, baru-baru ini.
Baca artikel menarik lain di sini:
Ucapan Takziah di FB
Hawazalina berkata, hubungannya dengan suami kembali terjalin pada 22 Februari lalu iaitu dua hari selepas ibunya meninggal dunia apabila Mohd Ezwani mengucapkan takziah di hantaran Facebook (FB) selepas diberitahu rakan mereka.
“Pada mulanya saya tidak mengecam wajah suami sebab susah terlalu lama tak berjumpa dan wajahnya juga sudah berubah sehingga adik saya yang mengecamnya.
“Suami kemudian mahu menjadi rakan di FB dan sejak itu kami mula berhubung dan ketika itulah kami baru tahu kisah masing-masing.
“Suami kemudiannya cakap, kenapa tidak kami bersatu kembali dan saya bersetuju dengannya,” katanya.
Setuju Perkahwinan Semula
Katanya, dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju kerana mengakui percaya dan yakin bahawa Mohd Ezwani mampu menjaganya hingga ke akhir hayat selain perpisahan sebelum ini bukan kerana mereka mempunyai masalah.
“Perpisahan kami sebelum ini kerana faktor sangat peribadi, tetapi sepanjang perkahwinan kami sebelum ini suami seorang yang baik dan bertanggungjawab. Saya percaya suami masih sama seperti 21 tahun lalu.
“Semua anak dan keluarga kami juga menerima keputusan (perkahwinan semula) ini. Sejujurnya memang agak kekok kerana sudah lama tidak bertemu, tetapi apa yang saya harapkan perkahwinan semula ini akan kekal selamanya hingga akhir hayat kami,” katanya.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club