Berita Baik Penggemar Nasi Sejuk! Bagus Untuk Diet Dan Kencing Manis! Ikuti Penjelasan Pakar Kimia Ini.

Share

Berita baik kepada penggemar nasi sejuk. Tahukah anda nasi yang disejukkan akan berkurangan nilai kalorinya?

Menurut perkongsian menerusi group Makmal Makanan (MaMa), Dr Fatimah Salim mengulas bahawa secara umumnya, beras mengandungi karbohidrat berstruktur komplex (kanji) iaitu amylose dan amylopectin.

Selanjut ikuti perkongsian beliau.

Nasi sejuk rendah indeks glisemik! 

Asasnya, beras mengandungi karbohidrat berstruktur komplex (aka kanji) iaitu amylose dan amylopectin. Kedua kanji ini terbentuk daripada rantaian gabungan ratusan ribu molekul kecil glukosa.

Semasa memasak nasi, kedua molekul kanji ini akan mengalami proses pengelatinan melalui tindakbalas air dan haba. Proses pengelatinan ini penting untuk proses pencernaan supaya mudah dicerna oleh enzim dalam sistem penghadaman kepada karbohidrat ringkas iaitu glukosa.

Molekul glukosa inilah yang akan diserap ke dalam darah. Semakin banyak molekul glukosa yang berjaya terhasil semasa pencernaan kanji, semakin banyak molekul glukosa yang akan berjaya diserap ke dalam badan, semakin tinggi indeks glisemik. Indeks glisemik merujuk kepada kepekatan glukosa dalam darah setelah makan (postprandial glucose level).

Proses pencernaan karbohidrat bergantung kepada size makanan, jenis masakan, saiz suapan, daya kunyahan dan proses pencernaan dalam mulut oleh enzim amylase dan dalam usus kecil oleh enzim alpha-glucosidase. Namun, faktor yang paling utama ialah sifat kimia dan fizikal komponen kanji yang terdapat dalam makanan berkenaan.

Dapatan kajian membuktikan menyejukkan nasi sebelum makan dapat menukarkan sifat kanji kepada kanji degil (resistant starch) yang bermaksud sukar untuk dicernakan oleh enzim pencernaan. Ini kerana, apabila nasi disejukkan, kanji akan mengalami proses penyusunan semula struktur rantaian molekul glukosanya menjadi lebih padat daripada struktur kanji yang asal. Proses ini dikenali dengan retrogradation.

Keadaan ini akan menyebabkan proses pencernaan menjadi lebih sukar di mana susah bagi enzim tadi untuk memecahkan kanji kepada molekul kecil glukosa. Dengan berkurangnya molekul glukosa yang terhasil, maka berkuranglah molekul glukosa yang diserap ke dalam darah, maka rendah kesan glisemiknya dan kuranglah hasil kalorinya ke atas badan.

Apakah yang berlaku kepada kanji degil ini?
Disebabkan kanji degil ini tidak mampu dicernakan oleh enzim yang berkaitan dalam sistem penghadaman, maka ianya akan ditolak ke dalam usus besar dan akan difermentasi oleh bakteria di sana. Proses penguraian oleh bakteria ini akan menghasilkan gas hidrogen, metana dan asid lemak. Asid lemak akan digunakan oleh badan, manakala gas hidrogen dan metana ini jika tidak dikeluarkan (dalam bentuk kentut) boleh menyebabkan kembung atau lebih dikenali dengan istilah ‘angin’.

Menariknya sesetengah individu tidak terkesan dengan pengumpulan gas kerana kepelbagian jenis bakteria dalam usus besar mereka. Semasa proses penghuraian, jenis bakteria yang berlainan akan menghasilkan bahan kimia gas yang berlainan. Bahan-bahan kimia gas ini akan bertindakbalas sesama sendiri dan saling meneutralkan. Maka, tiadalah gas yang terkumpul, tidaklah akan kembung.

Sesuai untuk kurangkan risiko kencing manis dan kegemukkan.

Disebabkan rendah indeks glisemik, nasi sejuk bagus untuk mengurangkan risiko kencing manis dan kegemukan. Namun, mereka yang menghadapi masalah ‘kembung’ tidak digalakkan disebabkan kebarangkalian pengumpulan gas dalam usus besar. Dan yang paling penting, JUMLAH HIDANGAN harus diambil kira untuk mendapatkan kesan ini. Walaupun makan nasi sejuk, jika kuantiti yang diambil adalah banyak, tiada manfaatnya juga.

Nota: Nasi sejuk yang dimaksudkan di sini ialah nasi yang TIDAK basi ya. Cara untuk menentukan nasi sudah basi atau belum ialah dengan melihat perubahan dari segi rupa, warna, tekstur dan rasa. Sekiranya nasi masih lagi berkeadaan baik, maka bolehlah dimakan. Jika tidak, boleh buang, bagi haiwan ternakan atau dijadikan baja tumbuhan saja.

Sumber: Fatimah Salim Makmal Makanan (MaMa)