Berilah Ganjaran Duit, Permainan Atau Coklat, Tetap Tak Boleh Lawan “Magic Moments” Ibu Ayah Dengan Anak-Anak. Hargai Mereka Sebelum Terlambat!

Share

Kalau ditanyakan soalan ini, ‘bila kali terakhir anda sebagai ibu bapa puji anak-anak?’ rasa-rasa anda boleh jawab tak?

Sedangkan kita yang dewasa ni kalau orang puji pun boleh senyum simpul, terbawa-bawa pujian tu seharian, apatah lagi anak-anak yang tiada siapa yang boleh diharapkan untuk beri pujian kepada mereka selain ibu bapa mereka. 

Ingat tau, kat rumah macam-macam benda kita boleh buat dengan anak, momen dalam rumah itu sendiri boleh menghidupkan hari-hari mereka. Seperti yang dikongsikan oleh Dr Redza Zainol ini. Jom kita hayati perkongsiannya!

Setiap hari, kita diberi terlalu banyak peluang untuk cipta “Magic Moments” dengan anak kita.

Magic Moments ini ialah detik yang anak kita akan sentiasa teringat tentang kita sampailah mereka dewasa nanti.

Bayangkan anak kita baru lepas letak elok-elok pinggan dan cawan dalam sinki lepas makan. Dia pun dengan gembiranya panggil kita untuk tengok hasil kebaikan dia.

Cepat-cepat kita pergi tengok, kita buat-buat terkejut, tepuk tangan siap peluk anak kita.

“Wahhh, kakak dah besar. Pandai letak pinggan dalam sinki lepas makan.”

Senyumlah anak kita sepanjang malam. Detik itu akan jadi satu Magic Moment untuk mereka.

Kenapa magik? Sebab antara berjuta detik yang lain, detik itulah yang dia boleh ingat sampai bila-bila. Itulah magiknya.

Lagi banyak Magic Moments tersimpan dalam memori anak kita, lagi bahagialah anak kita. Bayangkan zaman kanak-kanak anak kita dipenuhi dengan ribuan Magic Moments yang hebat.

Tapi, saya sendiri banyak terlepas peluang untuk cipta “Magic Moments” dengan anak saya.

Pernah anak saya teruja nak tunjukkan sejenis ikan berkaki yang baru dia belajar pagi tu. Saya pula sibuk dengan urusan lain. Berkali-kali dia cuba nak beritahu saya pasal ikan tu.

Bila kerja saya dah selesai, anak saya pun dah tertidur. Saya fikir remeh aja cerita ikan tu. Terlintas dalam hati, esok mesti dia dah lupa pasal cerita ikan tu.

Itulah silap saya.

Esok paginya, anak saya datang dan dengan suara perlahan dia kata lepas ni dia dah tak nak cerita apa-apa lagi bila dia belajar benda baru.

Allahuakbar, saya menangis. Remuk hati ini.

Terus saya minta maaf pada anak. Leka betul diri ni. Macam tu cara Allah bagi amaran pada saya.

Sebenarnya, anak kita akan ketagih nak berkelakuan baik bila kita selalu “tangkap” dia betul-betul lepas dia buat perkara yang baik.

Bila kita beri ganjaran selepas dia buat apa-apa kebaikan, Magic Moments itu lebih mudah tercipta.

Ganjaran macam duit, permainan dan coklat bukanlah tak baik tapi ia tak sehebat ganjaran yang saya nak kongsikan ni.

Contoh ganjaran atau hadiah yang lebih hebat :

✅ Diberi kasih sayang
– dalam bentuk pelukan, ciuman, high five, senyuman atau meletak tangan kita pada bahu anak.

✅ Pujian
– puji secara spesifik kelakuan anak yang kita suka.
– Contoh:

“Baguslah abang senyap je masa mama bercakap melalui telefon dengan nenek.”

“Kakaklah pembantu mama yang paling rajin sekali. Semua permainan kakak dah susun elok-elok dalam laci.”

✅ Diberi perhatian yang lebih atau dapat buat aktiviti khas.
– main game board dengan mak ayah
– mak ayah baca buku cerita bersama
– tolong mak ayah sediakan makan malam
– dapat pergi ke zoo bersama mak ayah.

American Academy of Pediatrics dan American Association of Child and Adolescent Psychiatry pun menyokong jika kita beri ganjaran sosial begini.

Sungguh kawan-kawan.

Kita terlalu banyak “tangkap” anak ketika mereka buat salah sampai kita terlupa nak “tangkap” mereka kita mereka berbuat baik.