Isu duit raya viral apabila seorang wanita melahirkan rasa tak puas hati kepada saudara maranya ekoran duit raya yang sedikit kini diperkatakan. Namun dalam hal ini, kita perlu husnuzon.
Kawan-kawan,
Saya fikir hal duit raya antara emak saudara dengan anak saudara itu ada pincangnya. Boleh jadi:
1. Tersalah sampul. Ini biasa terjadi. Pernah 1 tahun dulu anak kami terima sampul kosong dari orang yang berada. Kami anggap ianya tersalah.
2. Boleh jadi juga kerana ia adalah bajet setiap tahun. Contoh, sudah bajet RM10,000 untuk duit raya, namun dibahagikan kepada 2,000 orang. Normal juga RM5 itu.
3. Boleh juga silap sampul. Ingatkan dah bagi sampul untuk makcik pakcik. Namun tersalah beri yang anak-anak punya.
Isunya makcik itu meluah rasa tak puas hati. Tak fikir panjang dan akhirnya merana diri kerana dihentam ramainya orang termasuk dari keluarga sendiri.
Dan apabila luahan itu di media sosial, orang luar yang tak tahu menahu isu dalam rumah, jadi tahu.
Pengajarannya, diam sahaja dapat berapa. Kita sering lihat orang pakai kereta besar bagai. Namun orang tak tahu betapa dia sedang dalam susah atau senang.
Sepanjang saya beraya tahun ini, boleh kata bisnes masing-masing agak perlahan. Dan semua itu menjadikan pemberian ikhlas duit raya juga agak berkurangan.
Kena beringat bab nak marah wahai kawan-kawan, sungguhlah dia makcik yang terlepas cakap.
Namun kena ingat, dia sama macam kita juga. Yang mana masa adik beradik kita dapat anak, kita yang jadi mak pak saudara ini gembira sangat melihat anak-anak tersebut. Peluk cium sayang sangat melihat mereka.
Dan apabila kita dah besar, kita melihat emak saudara kita dah tua. Dan dia juga melihat kita nampak berjaya begitu begini.
Dia ingat, dia nampak, dia tahu bagaimana kita membesar. Dan boleh jadi dia berharap kita hulur sedikit apa yang kita ada untuk mereka.
Relaks sahaja memberi. Tak suka, suka, benci, marah sekalipun, itulah adik beradik ibu bapa kita yang ada. Pertalian itu takkan boleh putus. Sentuh, tak batal wuduk.
Kawan-kawan,
Marah, berpada-pada kepada orang tua. Silap dia untuk kita belajar. Boleh jadi kita juga akan jadi orang tua jika diberi kesempatan waktu. Masa itu kita pula melihat anak-anak saudara kita yang berjaya sakan namun nak hulur salam pun susah kepada kita.
Hari ini, semua benda kita tulis di media sosial. Tersilap, tiada tegur. Terus dimaki hamun tak peduli orang itu tua atau muda.
Yang masih remaja mencaci dengan penuh yakin. Yang dah ada anak, memaki tanpa sikit pun simpati.
Buat anak saudara tersebut, baiknya kamu menulis dengan adab yang tinggi. Saya puji kamu punya sahsiah. Teruskan begitu dan jadilah anak yang baik setiap masa.
Hidup ini bukan untuk kita tunjuk kita punya ikhlas, namun perbuatan itu orang lihat sekilas pun tahu kita di tahap mana.
Makcik tersebut pasti belajar banyaknya benda semasa raya kali ini. Mengeluh dapat sedikit dengan memberi reaksi buruk akhirnya mengembalikan keburukan itu kepadanya sendiri.
Dan kita juga, belajarlah. Supaya kita juga tak buat benda sama kepada orang lain.
Raya di zaman teknologi tinggi ini sungguhlah banyak medan dapat kita tengok baik-baik mana lubang-lubang yang kita nak tutup.
Beri salah, tak beri salah.
Beri sedikit salah, beri banyak salah.
Dunia hari ini, jika tak merungut, tak sah. Jadilah kita manusia-manusia yang berharap kepada sesuatu. Apabila kita tak dapat, kita kecewa.
Dan kita luah semua itu di media sosial. Sedangkan ia adalah ruang orang lain melihat. Kita tak sedar boleh jadi yang membaca itu sedang iri, atau sedang gelisah atau sedang apa. Dan kita termasuk ke dalam lubang paling hina di hari yang paling mulia.
Belajarlah kawan-kawan.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Tenang-tenang semua.