Baru-baru ini tular sekumpulan lelaki menghadiahkan barangan tidak senonoh kepada rakan mereka di hari perkahwinannya. Perkara tersebut mendapat perhatian ramai orang termasuklah pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun yang bertindak menegur tindakan tersebut di Facebook page miliknya. Jom ikuti perkongsian dari ustazah, semoga menjadi ikhtibar buat semua. InsyaAllah.

TREND HADIAH KAHWIN TIDAK BERMARUAH

Tular baru-baru ini satu video yang dimuat naik oleh sekumpulan lelaki yang menghadiri sebuah majlis kahwin. Dalam video tersebut menunjukkan kawan-kawan pengantin lelaki sedang beratur memberikan hadiah, amat mengejutkan apabila hadiah yang diberikan membawa unsur L*CAH. Allahu Akbar.

Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi bila melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil tutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikitpun rasa malu. Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapapun yang melihat. 😢

Budaya memberi hadiah di pelamin sekarang menjadi satu trend, namun tak seharusnya diikuti jika tujuan untuk publisiti dan maruah digadai. Berbaloikah?

SUNGGUH, SIFAT MALU ITU PERISAI ORANG MUKMIN

Malu itu salah satu sifat mulia kerana ia melindungi kita daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Dengan malu, kita takut nak bermaksiat, sakiti orang lain, melihat perkara haram, mendedahkan aurat, buat perkara yang menjatuhkan maruah, dll.

Tidak salah ingin memberi, tidak salah ingin bahagiakan kawan ketika jadi raja sehari, tapi bila sampai mencemarkan adab depan orang ramai, bahkan ditontonkan pula secara terbuka di media sosial sebenarnya memang sangat melampau.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِـمَّـا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِِ النُّبُوَّةِ اْلأُوْلَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ؛ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia dari kalimah kenabian terdahulu adalah, “Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

Ayat “buatlah sesuka hatimu” itu bukan bererti Rasulullah SAW beri kebebasan kepada kita untuk lakukan sewenangnya, tapi ia merupakan satu sindiran yang amat pedih bagi mereka yang memiliki iman. Kita bimbang jika Allah dan Rasulullah sudah tidak lagi peduli pada kita sedangkan Syurga-Nya dan syafaat Baginda yang kita tagihkan.
Semoga kita mengambil pengajaran. 😔

ADAB MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN

Saya kongsikan beberapa adab ketika menghadiri majlis perkahwinan di sini, mudah-mudahan kita dapat sama-sama amalkan, insyaAllah.

1. Wajib Hadir Apabila Dijemput
Apabila sesuatu jemputan diterima, maka hendaklah hadir melainkan sekiranya ada halangan yang menghalang untuk hadir.

Ads

Daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:

أَجِيبُوا هَذِهِ الدَّعْوَةَ إِذَا دُعِيتُمْ لَهَا

Maksudnya: “Datanglah menunaikan jemputan apabila kamu dijemput kepadanya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

2. Niat
Niatkan kehadiran kita sebagai ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah, pasti ada ganjaran pahala yang sentiasa mengalir termasuk dalam setiap langkah kita ke majlis tersebut.

Daripada Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a., Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(HR Muttafaqun ‘alaih, hadis sahih)

3. Menutup Aurat
Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan sama ada lelaki atau wanita, kerana pakaian yang tidak sopan menyebabkan orang sekeliling terganggu dan mendatangkan dosa jika tidak menutup aurat.

Daripada Saidatina Aisyah r.a., beliau menceritakan:

أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Ads

Maksudnya: “Saidatina Asma’ binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah SAW dengan mengenakan kain yang tipis, maka Rasulullah menegur, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah baligh, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya”
(HR Abu Daud, hadis sahih)

4. Menjaga Adab-adab Makan
Islam agama yang sangat indah, banyak panduan yang diberikan termasuk adab ketika makan. Daripada Umar bin Abu Salamah, beliau menceritakan ketika kecil, Rasulullah pernah bersabda kepada beliau:

يَا غُلَامُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ فَمَا زَالَتْ تِلْكَ طِعْمَتِي بَعْدُ

Maksudnya: “Wahai anak, sebutlah nama Allah (Bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah hidangan yang dekat denganmu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:

مَا عَابَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ كَانَ إِذَا اشْتَهَى شَيْئًا أَكَلَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ

Maksudnya: “Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Sekiranya beliau suka, Baginda memakannya. Sekiranya tidak, Baginda meninggalkannya.”
(HR Muslim, hadis sahih)

5. Memberi Hadiah
Hadiah adalah satu bentuk atau tanda kasih sayang daripada seseorang kepada seseorang, ia dituntut dalam Islam dan merupakan sunnah baginda Nabi SAW kerana memberi hadiah dapat menghilangkan dendam dan eratkan silaturrahim dengan lebih mendalam.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

Ads

تَهَادُوا تَحَابُوا

Maksudnya : “Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai”
(HR Bukhari, hadis sahih)

6. Mendoakan Kebahagiaan Pengantin
Mungkin kebiasaan apabila kita hadir majlis kenduri adalah untuk makan dan bergambar bersama pengantin, namun mari kita contohi tindakan Rasulullah SAW ketika menghadiri majlis perkahwinan, Baginda akan mendoakan pengantin tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW memberi ucapan selamat kepada orang yang sudah menikah, Baginda akan berdoa, “Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu, semoga Allah memberi keberkatan ke atasmu dan semoga Allah himpunkan kalian dalam kebaikan.”
(HR Tirmizi, hadis hasan sahih)

7. Mendoakan Tuan Rumah Kerana Memberi Makan
Selain mendoakan pengantin, panjangkan juga doa kita kepada tuan rumah yang telah bersusah payah untuk hidangkan makanan buat semua tetamu yang hadir, mudah-mudahan mereka mendapat keberkatan dan kebaikan. 🤲

Daripada Hisyam bin Yusuf, beliau menceritakan:

سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ بُسْرٍ يُحَدِّثُ أَنَّ أَبَاهُ صَنَعَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا فَدَعَاهُ فَأَجَابَهُ فَلَمَّا فَرَغَ مِنْ طَعَامِهِ قَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَبَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ

Maksudnya: “Saya pernah terdengar Abdullah bin Busr menceritakan bahawa bapanya pernah menyediakan makanan untuk Nabi SAW kemudian menjemput Baginda makan. Rasulullah memenuhi undangan beliau dan selesai makan, lalu Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka dan berikanlah keberkatan pada makanan yang Engkau anugerahkan untuk mereka.”
(HR Muslim, hadis sahih)

Semoga bermanfaat buat sahabat semua, silakan share ya.
Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

Sumber : Asma’ binti Harun

Webinar Aku Tak Serik Bersalin merupakan webinar kehamilan dianjurkan untuk para ibu hamil yang menanti kelahiran cahaya mata. Membariskan ramai speaker-speaker hebat yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Antaranya Dr Maiza Tusimin, Dr Siti Sarah Aishah, Dr Tengku Puteri Zainab, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti Ezzaty Abdullah. Jom daftar secara percuma di SINI!

Beri Hadiah Tak Senonoh Untuk Pengantin, Ustazah Asma’ Harun Beri Teguran

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI