‘Bergelar Ibu Bapa Tidak Buatkan Kita 100% Betul Dan Sempurna.’ Deep Perkongsian Ini.

Share

Kita pastinya inginkan yang terbaik buat anak-anak, tanpa sedar kita lupa bahawa anak-anak menjadi ‘mangsa’ kemarahan kita. Kita merasakan apa yang anak lakukan salah sehingga segala keputusan mereka kita tentu kan.

Hakikatnya, kita lupa bahawa tindak tanduk kita kadang kala, tidak semuanya betul. Barangkali ego menguasai diri. Begitulah yang dipaparkan oleh wanita ini. Moga kita muhasabah diri untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.

Ikuti perkongsian ini.

Setiap bulan, saya akan bertanya kepada anak-anak apa yang mahu di buat menjelang weekend (Jumaat dan Sabtu). Tidaklah setiap hari, hanya hujung minggu.

Anak-anak akan request. Nak tidur lewat, nak makan mee hailam, nak spaghetti, nak moi sup, nak bermain basikal, nak menonton cartoon atau movie. Selalunya kami layankan je, ye la time ni ja masa untuk penuhi hajat anak-anak.

Cuma sejak PKP, anak kedua saya meminta sesuatu yang tidak pernah dia minta sebelum ini.

UMI, JANGAN MARAH

Zhafran meminta ‘Ummi jangan marah-marah tau’.

Saya terkejut. Saya renung muka Zhafran lama-lama. Beliau anak yang baik, sopan, tidak pernah bercakap kasar dan anak yang sangat manja.

Saya hanya membalas ‘ok sayang’.

Saya control emosi saya dan cuba penuhi permintaan itu. Saya ingatkan dah setel, tetapi setiap bulan Zhafran hanya ulangi permintaan yang sama.

“Ummi jangan marah-marah”.

Akhirnya saya tanya suami saya, “saya kerap marah-marah ke sejak dua menjak ni? Saya rasa saya tak marah-marah.”

Suami saya membalas ‘Perbaiki nada suara. Jaga intonasi suara”.

Owh.. Baru saya tersedar, itu yang saya terlupa ubah rupanya..

TEGURAN DARI AHLI KELUARGA

Iya, saya rasa saya tidak meninggikan suara, rupa-rupanya nada suara saya tegas, tidak mesra, tidak menasihati tetapi hanya memberi arahan, dingin dan mungkin bagi anak-anak, saya sudah tidak seperti dahulu.

Kadang-kadang kita tidak perlukan orang luar untuk menegur kita,hanya bertanya kepada keluarga kecil kita, mereka jujur memberi tahu segala-galanya.

Anak-anak atau pasangan, takkan pernah menjatuhkan kita. Merekalah orang yang paling telus dan mahukan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita.

Selalu juga saya terlupa, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi saya tidak bertanya apa yang anak-anak inginkan dari saya.

Saya okey je sebenarnya kalau suami atau anak-anak tegur, macam mana saya mahu pasangan dan anak-anak mendengar apa yang saya nasihatkan, saya juga tidak kisah menerima permintaan mereka untuk saya mengubah sikap menjadi lebih baik dari sebelum ini.

Latih anak-anak kita untuk berani voice out apa yang ada di dalam hati mereka, dengarlah pendapat mereka tentang diri kita dan belajarlah menerima kekurangan kita serta perbaiki kelemahan kita.

Menjadi ibu bapa tidak membuatkan kita 100% betul dan sempurna.

Kredit: Norzi Malek