“Berehatlah Mak… Puas Menanggung Sakit. Terima Kasih Atas Segala Kasih Sayang.” Ibu DJ Lin Meninggal Dunia

Share

Penyampai radio Suria FM, DJ Lin, berkongsi berita duka ibu kesayangannya, Puteh Jantan, 80, meninggal dunia.

Berita sedih itu dikongsikan akaun Facebook dan Instagram miliknya.

Arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit buah pinggang di kediamannya di Jalan Merpati, Larkin Jaya, Johor Bahru, pada jam 4.50 pagi ini.

“Salam Jumaat semua, dengan lafaz Bismillah, #djlin ingin memaklumkan bahawa ibunda Lin yang tercinta, Puan Hajah Puteh bt Jantan baru sahaja meninggal dunia jam 4.50 pagi ini (Jumaat, 24 Jun 2022) di rumah kami di Jalan Merpati, Larkin Jaya, Johor Bahru, Johor.

“Mohon semua sedekahkan Al-Fatihah ya buat Allahyarhamah, moga rohnya tenang di alam sana dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Ameen Ya Rabbal Alamin,” tulisnya.

Dalam pada itu, coretan DJ Lin kepada arwah ibunya juga turut mengundang sebak netizen.

“Mak, terima kasih di atas segala kasih sayang, pengorbanan serta jasa yang mak taburkan buat orang dan semua anak-anak mak.

“Berehatlah mak… Puas mak menanggung kesakitan.

“Kami semua dah berusaha yang terbaik untuk membantu menyembuhkan sakit mak namun Allah lebih menyayangimu, mak.

“Mak akan sentiasa ada di hati kami dan kenangan kita bersama takkan pernah sekali pun orang lupakan ya mak.

“Al-Fatihah,” tulisnya menerusi kapsyen

Sebelum ini, DJ Lin ada berkongsikan berita Allahyarham Puteh dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat penyakit buah pinggang.