Berdoa Ikut Konsep Doa Yang Diaminkan Malaikat. Buat Ibu Ni Rasa Lebih Lapang Berkaitan Rezeki!

Share

Berkongsi pengalaman hidup seorang wanita yang kini dialah ibu dan dialah ‘ketua keluarga’ setelah suami tercinta dijemput Ilahi, nyata bukan mudah untuk dilaluinya.

Ini dikongsikan  melalui posting artikel Doa Yang Diaminkan Malaikat di akaun fbnya. Jom semak.


DOA YANG DIAMINKAN MALAIKAT

Sementara menunggu giliran untuk membayar di kaunter, mata saya memandang kiri dan kanan juga orang yang beratur di hadapan saya.

“Ramai betul orang hari ni,” itu yang terpacul di bibir. Fina yang mendengar turut memandang sekeliling.

Ada yang beli barang penuh satu troli. Mungkin ahli keluarganya ramai. Ada yang beli barang penuh 2 troli. Mungkin dia seorang peniaga.

Ada yang beli barang hanya separuh troli. Mungkin itu cara dia berbelanja.

Ada yang beli barang yang boleh dibilang dengan jari. Mungkin hanya itulah yang mencukupi sebagai rezeki. Macam-macam kisah sebenarnya di sebalik troli ni.

Saya pandang pula troli sendiri.

Barang yang biasa-biasa sebagai memenuhi keperluan kami bertiga. Setelah ketiadaan arwah suami, saya cuba sedaya upaya mengisi tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ dengan sebaiknya.

Apa yang ada di dalam troli saya, adalah rezeki saya dan anak-anak. Begitu juga yang ada di dalam troli orang lain. Itulah rezeki masing-masing. Memang tak akan sama.

Kalau difikir betapa susahnya saya hidup tanpa dia, saya pasti ada isteri-isteri di luar sana yang lebih sukar hidupnya. Makan bersukat. Perut diikat. Duit dicatu. Cukup apa yang perlu.

Bila pandang troli sendiri, sematkan rasa syukur dalam hati. Bila pandang troli orang lain, doakan yang baik-baik buatnya.

Saya pernah melalui saat-saat perit pada awal tempoh pemergiannya. Saya pernah menangis kerana tidak mampu tunaikan keinginan anak-anak.

Memang saya meraung sambil memanggil namanya. Rasa seperti tidak terdaya menunaikan amanah yang dia tinggalkan.

Bila anak-anak meminta, hanya janji yang mampu saya beri. Terasa seperti saya ini seorang ibu yang zalim.

Saya ikhtiar apa yang perlu untuk saya mengubah kehidupan. Ianya tak semudah disangka. Halangan akan sentiasa ada.

Sehinggalah saya biasakan diri mendoakan orang di sekeliling saya. Doa yang tulus. Doa yang datang dari hati.

Itulah konsep doa yang diaminkan malaikat. Mendoakan yang baik-baik untuk orang lain agar kita mendapat apa yang dihajatkan. Memaaf dan melupakan agar kita juga dimaafkan.

Semua ini perlukan masa. Sentiasa diamalkan agar jadi kebiasaan. Sampai masa yang tepat, doa kita akan dimakbulkan.

Selepas ni, sambil tolak troli, kita saling mendoakan yang baik-baik sesama kita. Manalah tahu. Daripada barang yang boleh dikira dengan jari bakal menjadi rezeki yang boleh dikongsi.

Sumber : Zureiny Zulkafly