Nama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi sebutan apabila seorang lelaki mendedahkan beliau pernah membantu membiayai kos pembedahan jantung arwah anaknya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, individu berkenaan berkata dia dan isteri menemui jalan buntu apabila anak mereka perlu dibedah akibat mengalami masalah jantung berlubang. Oleh itu mereka membuat keputusan untuk mengeluarkan tabungan mereka dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memandangkan kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) sangat mahal.
“Kisah di IJN pada 20 Jun 2012, anak saya perlu menjalankan pembedahan jantung berlubang. Saya di dalam bilik tafsiran bersama isteri, tak ada pilihan nak kena keluarkan KWSP sebab kos.
“Tiba-tiba wakil SimplySiti datang terus menawarkan bantuan kewangan untuk kos pembedahan. Berderai air mata jantan saya,” tulisnya.
Difahamkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia selepas tiga bulan selesai menjalani pembedahan. Namun, sebagai seorang bapa dia tetap bersyukur dan berhutang nyawa dengan penyanyi berusia 44 tahun itu.
Dalam masa yang sama, dia turut mendoakan kesejahteraan buat ibu kepada dua orang anak itu atas kebaikan yang telah diberikan.
“Anak saya sudah tiada, tetapi dia sempat berlari dan beraya. Tiga bulan dia ada bersama kami.
“Demi Allah perkara ini benar, terima kasih Siti. Aku kenang sepanjang hayat, hanya Allah mampu membalasnya.
“Kami sekeluarga pernah berhutang nyawa dan budi dari Siti. Sehabis hayat saya akan kenang dan bersyukur. Saya doakan Siti Nurhaliza terus diberkati Allah.” jelasnya.
@sitism_era♬ Menjaga Cintamu – Original Soundtrack From Anwar, The Untold Story – Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Meninjau di ruangan komen perkongsian tersebut, bukan hanya ini kebaikan yang dibuat oleh Tokti, malah banyak lagi kebaikan lain yang diceritakan.
Sumber: TikTok
Wow mewarna BINTANG KECIL datang lagi!!! Hanya RM40 sahaja. Bawa pulang:
1. Akaun simpanan sspn RM20
2. Bekas pensil
3. Pensil warna
4. Sijil penyertaan
Hadiah akaun SIMPAN SSPN dan barangan keseluruhan bernilai RM1000.
Daftar sekarang! Tempat TERHAD
Beraneka Bunga Di Halaman Ditukar Kepada Tanaman Sayur-sayuran. Ada Sebabnya Isteri Perlu Buat Begitu!
Buang bunga tahi ayam atau ros, tukar dengan pohon serai atau rumpun pandan! Bunyinya memang macam kelakar, tetapi kalau dibuat sungguh-sungguh hasilnya akan menakjubkan seisi keluarga. Saya bercakap mengenai kegunaan laman depan rumah.
Terus terang saya mengakui, menjaga laman bukan tugas saya. Sebenarnya saya tidak berminat pun. Sejak mula pindah ke kediaman ini kira-kira 25 tahun lalu, saya tidak kisah pun tentang halaman depan yang sekangkang kera itu.
Orang perempuan memang lebih teliti dan berseni dalam bab menghias laman, sama seninya ketika menghias ruang dalam rumah. Maaf cakap, oleh sebab terlampau berseni, suami-suami yang buta seni seperti saya selalu pening, malah separuh sewel.
Ini contoh pening dalam rumah: Dia kerap sangat menukar kedudukan perabot, boleh kata dua tiga bulan sekali. Benda yang pada saya sudah elok dan ‘ngam’ di satu sudut, tiba-tiba esok atau lusa ditukar ke sudut lain.
Biasanya sebaik tiba di rumah selepas waktu pejabat, saya menanggalkan kasut dan terus meletakkannya di rak sebelah kanan pintu masuk. Tetapi, tiba-tiba kasut terjatuh di atas lantai, dan tangan saya tersenggol payung. Rupa-rupanya tempat rak kasut telah digantikan dengan tempayan bekas payung!
Satu lagi kejutan terjadi sebaik masuk ke bilik utama. Selepas mandi, seperti biasa saya menarik laci almari pakaian untuk mengambil seluar dalam. Saya terpegang coli! Rupa-rupanya laci yang sebelum ini tempat seluar dan pakaian dalam saya telah menjadi tempat pakaian dalam dia, adusss!
Dia tahu saya tidak suka dengan seni dan inovasinya yang kerap menukar kedudukan semua benda. Sebelum saya membebel dan mencampakkan semula coli, dia sudah berkata: “Bosan saya kalau benda hanya pada satu tempat, kenalah selalu tukar-tukar barulah terasa lain…” Dalam hati saya merungut: “Jangan engkau tukar aku pulak!”
Itu antara pertukaran posisi dalam rumah. Kalau hendak cerita semua betapa bingung saya tentang tukar-tukar barang dalam rumah, saya boleh tulis sebuah buku tebal. Mungkin judul yang paling sesuai ialah ‘Aku Tukar Kau Kang, Baru Kau Tau!’
Tetapi, seninya di laman rumah boleh saya puji. Mula-mula pindah suku abad dulu, laman itu ialah pasir gersang yang tidak ditumbuhi walau sehelai rumput. Almaklumlah tanah bekas lombong yang dijadikan kawasan perumahan dengan iklan ‘Resort Living Within the City’. Jangankan rumput, semut dan lipas pun tidak sudi memijak tapak kering kontang itu.
Entah berapa guni tanah hitam dan tanah merah saya beli dan taburkan di atas pasir kontang itu, semua atas arahan dan kreativiti dia. Setiap hujung minggu saya menjadi drebarnya ke Sungai Buluh untuk mencari benih bunga, baja dan entah apa-apa peralatan berkebun. Kata saya: “Beli saya boleh bayar, jadi drebar pun tak apa, tapi jangan suruh saya berkebun.” Memang saya tidak ambil kisah.
Terkejut saya dalam beberapa minggu laman kontang dan gersang itu mula ditumbuhi macam-macam. Dan, dalam masa kurang tiga bulan sudah ada rimbunan sana-sini. Malah sudah nampak bunga-bungaan beraneka warna.
Saya ingat selama ini dia hanya pandai menghias rak kasut dan laci bekas coli, rupanya dia ada kelebihan lain. Tidak disangka tangannya sejuk dan apa sahaja yang ditanam boleh tumbuh subur. Dia menyebut macam-macam nama bunga, yang saya ingat hanya bunga tahi ayam. Kelakar, bunga yang mekar secantik itu diberi nama tahi ayam!
Kini, laman sekangkang kera yang dulu bekas lombong, sudah menjadi hijau. Pohon cempaka sudah tinggi mencecah bumbung, bunganya putih bagai mutiara. Harumnya menusuk rongga hidung, terus ke jantung hati. Kenanga, ros dan pelbagai bunga lagi juga harum semerbak, terutama menjelang larut malam.
Ada orang kata haruman seperti itu boleh mengundang hantu. Saya tidak pasti. Tetapi sudah suku abad menetap di situ tidak pernah sekali saya nampak puntianak harum sundal malam atau lain-lain spesies hantu bergayut di dahan cempaka atau kenanga.
Lagi pun pada hemat dan logik saya yang suka lepak pada pokok cempaka adalah hantu kampung zaman dulu-dulu. Hantu di bandar lain caranya, kalau teringin bau haruman lebih baik menyelusup dan ronda-ronda kedai minyak wangi di pusat-pusat membeli-belah moden, tidak perlu mengendeng di laman saya.
Apa yang pasti taman mini itu menjadi semacam terapi minda buat isteri. Dia menghabiskan sejam pagi, sejam petang, setiap hari termasuk cuti umum. Katanya, setiap hari ada sahaja kerja di halaman. Menukar tanah dalam pasu, mengganti benih baharu, mencantas dahan dan daun, merumput, membaja, menyiram, mengalihkan pasu, bla, bla, bla.
Malah, dia mengakui masa lapangnya banyak dihabiskan memelihara laman. Sebelah pagi, pokok dan bunga dimandikan dulu, kemudian baru dia sendiri mandi. Sebelah petang, laman dimandikan sekali lagi. Hatta, sekiranya petang keluar rumah, balik tengah malam pun dia menyiram pokok dan bunga di laman. Demikianlah asyiknya si dia dengan bunga taik ayam.
Kadang-kadang naik cemburu saya sebab dia macam lebih sayangkan dan begitu mesra dengan cempaka dan bunga-bunga lain, macam buat ‘dhek’ apabila saya balik dari pejabat. Pelik lagi kelakar apabila dia memberitahu dia boleh bercakap berjam-jam dengan pokok dan bunga-bungaan itu. Kerap juga dia menembak: “Nak cakap dengan awak sepuluh minit pun susah!”
Selalu saya mendengar dia bercakap dengan pokok cempaka: “Dahan awak dah tinggi, petang esok saya cantas, bagi awak lagi cantik yerrr?” Tetapi, saya nampak daun dan ranting-ranting cempaka macam selamba dan buat ‘dhek’. Saya pula menyindirnya: “Agaknya pokok tu tak faham cakap Melayu, cer awak cakap orang putih, maklumlah itu pokok bandar…”
Selain cempaka, kenanga, tahi ayam, dan lain-lain bunga, laman yang sekangkang kera itu juga dihias dengan pelbagai tumbuhan keperluan dapur. Pasu-pasu dengan bunga beraneka warna itu diselang seli dengan pasu daun pandan, serai, kunyit, ulam raja, dan lain-lain tumbuhan keperluan belanga dan kuali.
Ditanam juga pokok tenggek burung untuk ulam, pokok limau purut yang daunnya dijadikan perencah pelbagai masakan, termasuk tomyam. Ada juga daun kari, rumpun selasih, daun bawang, rumpun kesum, kencur, pengaga.
Selama ini saya tidak ambil kisah pun tentang pohon dan daun-daun yang selalu menjadikan gulai dan masakan lebih sedap. Baru-baru ini saya menemani dia ke pasar raya, dan mengetahui benda-benda yang ada di laman itu rupanya ada harga.
Terkejut saya lima batang serai yang diikat kemas harganya RM1, daun kunyit sehelai 50 sen, dua tiga helai daun pandan, 50 sen. Daun kari, ulam raja, kesum, kencur, semua ada harga. Hatta daun limau purut pun lima enam helai harganya 50 sen. Fikir punya fikir banyak juga duit pasar dapat diselamatkan dengan tanaman tersebut.
Dia bercadang untuk menanam cili dan tomato dalam pasu, sambil menegaskan: “Awak tau tak, cili hidup sekilo RM15, kalau kita tanam tiga pasu berapa banyak duit pasar boleh selamat. Durian belanda sekilo RM12, labu manis yang awak suka tu sebiji paling tidak pun RM10. Kalau kita tanam semua tu, banyak kita boleh selamat…”
Setakat dua tiga pohon cili saya ingat okey untuk tanaman di halaman. Tetapi saya tidak berapa berkenan sekiranya dia berhasrat menanam durian belanda, labu manis, terung dan lain-lain. Susah juga sekiranya taman yang cantik itu ditukar menjadi kebun sayur.
Lagi pun ada bahayanya sekiranya labu manis merayap di halaman, takut-takut keluar dari kereta ketika pulang waktu malam saya tersungkur dan terantuk simen gara-gara tersepak buah labu atau durian belanda.
Dan, lebih penting lagi, saya lebih suka dia kekal sebagai suri rumah dan penjaga taman. Pengsan saya sekiranya setiap petang balik kerja melihat dia bertopi besar dan bersarung tangan, seperti nyonya atau apek kebun sayur di Cameron Highland.
Saya memberitahu dia biarlah taman tetap taman, cukup setakat serai, daun pandan dan kesum. Durian belanda, labu air, labu manis, terung dan lain-lain sayur kegemaran saya lebih baik beli di pasar. Tidak mengapa mahal sedikit, asalkan dia tidak menjadi nyonya kebun sayur.
Tetapi, dia berpendapat, lebih banyak sayur-sayuran ditanam di halaman, lebih banyak pula duit pasar boleh dijimatkan. Katanya: “Duit pasar yang dijimatkan itu boleh beli tudung bawal…” Ayat akhir itu saya buat-buat tidak dengar, aduss!
sumber : Abd Jalil Ali, Majalah Keluarga
“Lepaskan, Jika Dia Minta Cerai.” Ustazah Dedah Lelaki Korporat 10 Kali Curang
Pastinya apabila kita berada dalam satu perkahwinan, kita ingin melayarinya dengan penuh ketenangan dan kasih sayang.
Namun, kadang kala, badai tetap melanda sebuah rumah tangga itu. Tiada lagi persefahaman. Jika itu yang terbaik, maka berpisah jalan penyelesaian segala masalah.
Sebagaimana perkongsian Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria ini. Moga kita terus muhasabah diri.
Lepaskan, Jika Dia Minta Cerai
17 tahun dlm training korporat. Sy jumpa ratus ribu manusia. Slps hbis training, org cerita kisah hidup mereka. Sy belajar bukan sekadar dari berguru, dari buku, dari training & tauliah tetapi lebih lagi pelajaran dari pengalaman org sekeliling.
Set appointment. Dtg 2 org ni sorang tersangatlah cantik, sorang amatlah segak. Bukan level biasa2 ni. Org ada2 pula tu. Dlm hati berkata.. “Hai.. Sepadannyalah.. Ya Allah. Apa lg yg dicari…”
Dtg bersungguh berapa pun snggup byr untuk konsultansi asalkan dpt jumpa saya. Pasangan muda, dah 10 tahun.
Rupanya suami makan luar dgn kawan kerja. Isteri org pulak tu. Ni kali ke 10 curang dgn org berbeza.
Isteri remuk hati. Suami dtg mahu minta jalan bagaimana mahu pertahankan rumahtangga. Taknak cerai. Isteri pula nk minta cara bagaimana nak redakan remuk di hati. Dah berulang kali bg peluang. Dan isteri nak cerai. Sekarang apa nak buat?
Begitulah. Bila masa tak cukup untuk berdua. Jasad ada, tapi hati di tempat lain.
Keluar pagi, balik mlm. Di ofis masa 8 jam tiap2 hari. Paling bnyk berjumpa, diskus, ada pula yg sentiasa depan mata, teman makan, teman sembang, teman gurau2, teman naik kereta sekali, ngusik2, ambil berat, cerita hal pasangan masing2 yg begitu begini..
Bila dh kerap jumpa, dan jumpa untuk masa yg panjang, maka tarikan tu kuat. Yg lebih kuat tu yg dah kahwin ni. Iblis takkan biarkan begitu saja. Yg haram dihiaskan jd amat2 menarik dan cantik ‘menyejuk’ hati walau wajah asal tak sebegitu. Yg tak jaga pandangan ni, dan tak jaga batas2 pergaulan atas dasar kerja, lagilah mudah jatuh dlm perangkap. Dan akhirnya…. Hmm.. Tak sdr pun benda tu berlaku. Plan taknak buat lagi, alih2 buat jugak.
Tak bnyk yg sy tanya pd pasangan ni. Tanya sikit pun dh dpt jawapan..
Rupanya dah talak 3 dh pun. Selesai dh pun. Selama ni hidup bukan sebagai suami isteri lagi pun. Hidup dlm dosa sbb dlm perkahwinan dh terjadi berkali2 talak luar mahkamah. Dah confirm lafaz yg jelas dlm peristiwa yg berbeza dan kali ni dah lafaz talak kali ke 3. Lepas tu main rujuk sendiri2. Ok tak perlu ckp bnyk dh.
Begitulah…
Yg perlu buat skrg terus ke mahkamah.
Yg perlu buat skrg, bawa haluan masing2 dan baiki diri. Yg perlu buat skrg, tukar tempat kerja sebagai hijrah dari maksiat yg dh bersarang kat situ. Yg perlu buat skrg top up ilmu agama & berguru cari jln keluar dari ketagihan buat jahat. Yg perlu buat skrg taubat sungguh2 & top up dgn kebaikan dan kebaikan smpai hujung nyawa. Yg perlu buat skrg, tutup aib rapat2. Yg perlu buat skrg, mula dgn cari ketenangan di masjid & jaga solat jemaah. Jika perlu, jumpalah psikitrist, kaunselor, rawat diri..
Pinggan kalau dh pecah berderai tak boleh lekatkan dgn gam. Sebelum pecah, jaga baik2 jgn bagi jatuh. Kdg dah jaga, pegang baik2 pinggan pun, tiba2 jatuh jugak, itulah takdir. Move on. It is a learning process in life.
Kdg kita sgt sgt sgt berharap org tu berubah, tp setiap kali pun makan hati tak berubah2, berubah sekejap buat balik. Jika dia nak berubah, ya dia akan buat. Jika tidak, stop bermimpi. Jika kita pilih jln untuk bersama dgn dia, kita mesti bahagia. Tu syaratnya.
Ambil kertas, tulis 10 sebab kenapa aku perlu bersama dia atau 10 sebab kenapa aku perlu bercerai dgn dia. Timbang tara mana yg lebih bnyk & lebih beri manfaat untuk diri. Istikharah dan istikharah.
Kalau isteri minta cerai, mudahkan. Lepaskan. Itu nasihat sy setelah meneliti tidak ada ruang untuk menyatu-kembalikan hati yg dh pecah kecamuk.
Jika masih ada ruang, ya beri peluang. Jika tidak, bincang sehabis baik, pujuk sehabis baik, ubah dan buktikan, jika tidak, cukuplah. Jgn siksa lagi. Lepaskan. Kita simpan org yg tak ada lg hati untuk kita, tentulah sebenarnya kita menyeksa org itu.
Benar ada org bertahan kerana anak & ini kes paling bnyk sy jumpa.Bila anak dh besar, dah jadi Tok Wan, Tok Nek, tiba2 bercerai. Terpulang. Mana2 yg kita pilih, pastikan kita bahagia di dunia & di akhirat. Jgn hidup dlm derita.
Jln hidup kita berbeza. Jgn sakiti diri sendiri, dan jgn pula sakiti org lain.
Stop nasihat itu ini hal rumahtangga org lain dgn cara mengejek2, memerli @ menghina. Nasihat dgn doa itu lebih mulia. Hadiahkan Al- Fatihah, mudah2an yg sdg diuji dpt keluar dari ujian tersebut. Mudah2an kita selamat dari ujian sedemikian.
Sumber: Noor Laila Aniza Binti Zakaria
Tidak Hina Suami Buat Kerja Rumah. Apabila Isteri Tak Sihat Tidaklah Timbul Isu ‘Siapa Mahu Uruskan Anak-Anak’. Barulah Kita Boleh Digelar Suami Kiriman Tuhan
Sering kali bab menguruskan anak-anak dan rumah tangga diletakkan di bahu isteri. Lagi lagi kalau yang tidak bekerja dan bergelar suri rumah. Namun itu tidak bermakna suami kena lepas tangan.
Sebaliknya suami isteri harus berganding bahu dan sama-sama membesarkan dan melakukan kerja rumah bersama.
Kisah yang dikongsikan oleh doktor Asmi Syabil cukup menyentuh hati. Semoga para suami dan juga isteri mengambil iktibar dalam sama-sama melayari alam rumah tangga.
SUAMI KIRIMAN TUHAN.
“Puan perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut”,ujarku kepadanya.
“Boleh saya berbincang dengan suami saya dahulu tak doktor?,sebabnya saya masih ada anak-anak kecil yang perlu dijaga dirumah.”,pintanya kepadaku.
“Tiada masalah puan.Sekejap ye saya panggilkan suami puan”,beritahuku kepadanya.
Dia merenung ke lantai.Wajahnya kelihatan sugul.Mungkin risau memikirkan jika dia dimasukkan ke wad,siapa yang ingin menjaga anak-anaknya yang masih kecil?Ditambah pula dengan anak yang masih menyusu.
Dia baru sahaja mengungkapkan keresahannya itu kepadaku jika dia ditahan di wad.
Anaknya empat orang semuanya dan yang paling kecil baru berusia 9 bulan.
“Jika dimasukkan ke wad,selama berapa hari doctor?”
“Itu belum pasti lagi untuk berapa lama puan,bergantung kepada keadaan puan sendiri dan juga doctor yang akan merawat puan di dalam wad.”,jawapan yang biasa aku berikan kerana setiap pesakit itu berbeza-beza.
Aku pasti,jawapanku itu tambah meresahkan jiwanya.Sudahlah perlu dimasukkan ke wad,untuk berapa lama itu juga masih belum pasti.Adakah hanya sehari dua?ataupun seminggu?atau mungkin lebih lama.
Pesakit dihadapanku ini pada mulanya dimasukkan ke Zon Merah kerana tekanan darahnya rendah dan nadinya sedikit laju (tachycardic) disebabkan dehidrasi.Selepas resusitasi (fluid resuscitation) dijalankan,pesakit menunjukkan respon yang positif dan kembali stabil.Disebabkan kapasiti Zon Merah agak terhad,lalu pesakit di-triage ke Zon Kuning untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.
“Berdasarkan symptom-simptom dan keputusan darah yang ada,isteri encik mungkin menghidap demam Denggi dan dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut kerana dia sudah menunjukkan tanda-tanda bahaya denggi seperti muntah-muntah dan cirit birit.
Selain dari itu,darahnya juga pekat berdasarkan FBC yang diambil dan juga platelet,iaitu sel pembekuan darah juga sangat rendah yang mana boleh menyebabkan pendarahan spontan berlaku secara tiba-tiba.Dalam kata mudah,dia dalam fasa kritikal demam denggi sekarang dimana keadaan pesakit boleh merosot dengan sangat drastic”,ujarku kepada lelaki dihadapanku menerangkan keadaan isterinya.
“Keputusan darah juga menunjukkan fungsi hati turut terjejas dan perlu kepada pengambilan darah secara bersiri untuk monitor keadaan dia”,tambahku panjang lebar.
Dia hanya mendengar dengan tekun.
Selepas beberapa ketika dan juga perbincangan dengan isteri,dia memandangku,
“Doktor,boleh tak kalau kami nak minta discaj atas risiko sendiri?”
“Boleh saya tahu sebab mengapa puan tidak mahu dimasukkan ke wad?”,tanyaku inginkan kepastian daripada pesakit memandangkan segala risiko sudah diterangkan termasuk kematian.
Demam denggi bukan boleh dibuat main-main.Tanya sahaja kepada pegawai perubatan yang pernah dipanggil menghadiri Mortality Meeting apabila ada pesakit denggi meninggal dunia,boleh murung dibuatnya.
Wanita 30-an dihadapanku ini hanya mendiamkan diri.Matanya hanya tertacap pada permukaan lantai.
Enggan bersuara dan hanya membiarkan si suami yang berkata-kata.
“Kami masih ada anak kecil doctor,kalau dia masuk wad,siapa yang nak jaga anak-anak?”,balas suami.
“Encik kan ada.Keadaan isteri encik sangat merbahaya jika dibenarkan pulang sekarang.Boleh merisikokan nyawa”,tegasku.
Si suami tetap berkeras mahu isterinya dibenarkan pulang.
Alasannya:
“Saya tidak pandai nak urus budak kecil,susahlah saya nanti doktor”
Allahu,aku mengucap panjang di dalam hati.
Isterinya hanya menunduk dan mendiamkan diri.Entah apa perasaannya sekarang tidak dapat aku bayangkan.Dihidap demam denggi yang mungkin boleh meragut nyawa,tetapi suami mahu berkeras untuk membawanya pulang,atas alasan sukar untuk menguruskan anak-anak.
…
Ini bukan kali pertama aku berhadapan dengan situasi sebegini dimana masalah akan timbul apabila si isteri perlu dimasukkan ke wad dan si suami pula sukar membenarkan atas alasan tidak pandai mengurus anak-anak.
Sama juga keadaannya apabila salah seorang anak perlu dimasukkan ke wad atas sebab-sebab tertentu tetapi si ayah tidak membenarkan atas alasan susah untuk menguruskan anak-anak yang lain kerana si ibu sudah pasti akan menemani dan menjaga anaknya yang sakit itu di hospital.
Tanyalah kepada mereka yang bekerja di dalam sektor kesihatan,acapkali berlaku situasi sebegini.Ini hanya satu sahaja kisah daripada beribu kisah yang hampir sama cuma dilakonkan watak yang berbeza.
Susah sangatkah untuk para suami di luar sana untuk belajar menguruskan anak-anak?
Atau semenjak dilahirkan sampai merangkak kemudiannya berjalan hanya sang isteri yang bertekah memandikan anak?
Hanya isteri yang menjirus dan menukarkan lampin anak setiap kali?
Hanya isteri sahaja yang tahu menyediakan makan minum anak-anak?
Hanya isteri sahaja yang tahu sukatan membancuh susu anak?
Sampai tahap nyawa isteri menjadi taruhan pun persoalan begini yang bermain di fikiran?
Ini tidak termasuk lagi bagi kes-kes isteri menghidap penyakit kronik seperti kegagalan fungsi hati,buah pinggan,kanser dan sebagainya,bukan kata nak menguruskan anak,siap ada yang bermain kayu tiga pula dibelakang isteri.
Na’uzubillah.
Bayangkan jika jawapan suami kepada isteri sebegini:
“Tak apa sayang,jika itu yang terbaik,masuk sahaja kedalam wad.Anak-anak jangan risau,pandailah nanti abang uruskan,bukannya abang tak biasa”
Sudah semestinya perit sakit yang ditanggung secara fizikal akan terasa ringan,apatah lagi beban emosi,pastinya rasa bahagia mendakap jiwa.
Ingatlah wahai para suami,melindungi isteri dan anak-anak dari segi keselamatan dan KESIHATAN juga tanggungjawab kita.
Belajarlah bagaimana menguruskan anak kecil sedari bayi yang baru lahir.
Ya,memang pada awal akan ada yang berasa takut,tetapi selepas kerapkali dilakukan,ia akan menjadi rutin yang kita sudah terbiasa dengannya.
– Seawal mendukung si kecil kali pertama dan mendendangkan azan di telinganya
– Belajar menguruskan dan menanam uri
– Usah takut memandikan anak yang baru lahir
– Belajar mencukur rambut anak jika ingin lakukan sendiri
– Belajar bagaimana menukarkan lampin
– Belajar memahami tabiat tidur dan penyusuan anak terutamanya 6 bulan pertama,yang mana seringkali menjadikan ibu bapa stress kerana anak kerap kali menangis di tengah malam dan sebagainya.’
– Bangunlah di tengah malam untuk membancuh susu atau menukarkan lampin anak.
– Dan banyak lagi yang perlu dipelajari ,tidak termasuk lagi mengemas rumah,memasak,membasuh kain dan sebagainya.
Ini hanyalah secebis contoh daripada apa yang boleh kita lakukan,sekurang-kurangnya apabila isteri kita tidak sihat atau memerlukan rawatan lanjut di hospital,atau pergi berkursus bagi yang bekerjaya,atau apa-apa jua situasi,tiada lagi persoalan :
“Siapa mahu uruskan anak-anak”
Barulah kita boleh digelar Suami kiriman Tuhan ?
Semoga bertambah sakinah dan mawaddah apabila suami isteri bergandingan dan berpimpinan tangan menguruskan rumahtangga bersama-sama.
Tidak hina seorang suami menguruskan anak dan melakukan kerja-kerja rumah,bahkan lebih mulia dan selari dengan ajaran Baginda Rasulullah s.a.w.
Asmi Syabil
Coretan hujung minggu.
Suami dan bapa yang masih bertatih.
27/7/2019
11:24