Dua buah keluarga ini sememangnya cukup dikagumi akan hubungan baik antara mereka. Biarpun Norman dan Abby Abadi suatu ketika dahulu bergelar suami isteri dan kemudiannya berpisah. Lalu masing-masing bertemu dengan pasangan baru, namun hubungan mereka masih baik.
Bahagianya melihat kemesraan dan kasih sayang antara dua keluarga besar ini. Ke mana sahaja pasti seiringan termasuklah dalam soal anak-anak. Tidak hairanlah ada yang melabelkan mereka sebagai keluarga contoh. Apa tidaknya, banyak aktiviti dan program yang mereka lakukan bersama baik menonton wayang, menyambut kelahiran anak dan keluarga besar ini juga sering bercuti bersama.
Berpeluang menemubual Memey, isteri kesayangan Norman Hakim ini, akuinya mereka sekeluarga memang gemar mengadakan aktiviti bersama.
“Kami memang kerap buat aktiviti bersama yang melibatkan keluarga besar. Memandangkan anak-anak suka dan gembira apabila ada aktiviti beramai-ramai. Sebab itu, kalau ada peluang, ruang dan masa memang kami akan buat penuhi segala jadual aktiviti, yang biasanya memang akan bersama-sama dan melibatkan famili besar.
“Waktu PKP memang banyak masa di rumah kerana waktu itu aktiviti diperketatkan. Sekarang sudah longgar barulah kami berani bawa anak-anak pergi bercuti, makan-makan, bawa anak-anak lakukan aktiviti outdoor, lasak. Tetapi kami masih tetap kawal dan #kitajagakita tetap dipraktikkan,” ujar Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi.
Menyentuh mengenai hubungan baiknya dengan bekas isteri suami, akui Memey dia dan Abby Abadi miliki banyak persamaan. Dek kerana itu mereka boleh duduk bersama dan berbincang banyak perkara termasuk hal anak-anak.
“Persamaan saya dan kak Abby memiliki hobi dan minat yang sama iaitu bercuti. Idea bercuti memang kami kerap plan bersama. Asal anak-anak ada cuti laju je kami akan plan. Tetapi biasanya kami akan plan awal. Contoh 2-3 sebelum pergi bercuti kerana ini membabitkan perbelanjaan, pakaian dan juga lokasi.
“Semua itu melibatkan saya dan Abby untuk diskus bersama. Ini bagi memastikan semua teratur dan berjalan lancar memandangkan ada anak kecil dan membawa keluarga besar. Kami perlukan sistem yang teratur, semua selesa dan ada aktiviti bersama.
Pengurusan dan sistem teratur
Dalam pada itu, Memey mengakui bila melibatkan anak kecil, mereka memerlukan sistem yang teratur. Kerana itulah pentingnya pengurusan.
“Sebab itu dari awal kena plan. Saya dan kak Abby memang selalu sepakat terutama pengurusan perbelanjaan, tempat semuanya dah buat check list. Supaya nanti tidak kelam kabut dan last minute. Kalau kita back pakers tak kisah last minute tapi bila melibatkan keluarga besar tak boleh. semua kena ada sistem dan pengurusan yang baik.
“Kami jarang mengambil agensi kerana ia melibatkan kos yang besar. Tetapi kami akan ‘sit down’ dan cari alternatif sedaya mungkin apa yang boleh kurangkan perbelanjaan, kami akan buat.
“Apabila melibatkan keluarga besar memang tak boleh lari dari kos yang besar. Tetapi kalau melibatkan pengurusan yang baik akan memudahkan segala urusan, anak-anak pun dapat tempat yang selesa, aktiviti yang okey dan plan yang terbaik,”jelas Memey lagi.