Berbakti Hingga Hujung Nyawa! Rebah Ketika Perbarisan, Anggota RELA Meninggal Dunia

Share

Seorang anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) meninggal dunia selepas menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan, pada Khamis, akibat serangan jantung.

Anggota terbabit, Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) kira-kira jam 10 pagi semalam.

Allahyarham adalah ketua kontinjen RELA Negeri Sembilan dan dikatakan rebah selepas berjalan lalu melintasi pentas utama sebelum dikejarkan ke HTJ.

Ketua Polis Daerah Seremban, Arifai Tarawe, berkata pihaknya dimaklumkan oleh anggota bertugas kaunter aduan mengenai kes kematian seorang lelaki di Jabatan Kecemasan HTJ, pada jam 12.25 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati si mati adalah anggota RELA berusia 53 tahun telah jatuh dan tidak sedarkan diri semasa perbarisan lintas hormat di Dataran Seremban, kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan ketika pemeriksaan pada tubuh badan si mati.

“Bedah siasat dibuat dan Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja`afar Seremban mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh masalah jantung ‘Coronary Artery Occlusion’,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, BERNAMA melaporkan Pengarah RELA Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Kanan, Muhammad Faiz Musa menyifatkan pemergian Muhammad Noh yang telah berkhidmat selama 13 tahun sebagai kehilangan besar kepada pasukan berkenaan.

“Hari ini beliau ditugaskan sebagai ketua perbarisan untuk kontinjen RELA negeri. Allahyarham yang juga Ketua Jurulatih Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) Politeknik Nilai di sini dikenali dengan sifat yang suka membantu, terutama dalam hal berkaitan kejurulatihan kawad kaki selain penugasan anggota.

“Bukan sahaja di RELA, malah Allahyarham juga sering membantu agensi-agensi lain yang memerlukan latihan kawad kaki… saya difahamkan pagi tadi Allahyarham sihat dan bersemangat. Beliau juga tidak pernah ketinggalan setiap kali ada perbarisan Hari Kebangsaan,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, RELA akan turut membantu dengan menyalurkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga Muhammad Noh yang bertugas sebagai penyelia di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Sembilan.

Sumber : BERNAMA,