Beraya 3 Tahun Sekali, Pasangan Ini Elak Buka FB Pagi Raya Jika Tak Mahu Rasa Sedih!

Share

Setahun sekali berkumpul, pasti terasa gembiranya. Namun ada insan di sekeliling kita yang terpaksa melupakan sejenak kegembiraan untuk berkumpul bersama ibu ayah dan seluruh keluarga demi menggalas tanggungjawab pada kerjaya.

Selain anggota polis, tentera, bomba, pegawai imigresen merupakan badan beruniform yang terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga keamanan negara. Dan bercuti di hari raya bukanlah yang selalu didambakan mereka sejak menerima tawaran kerja itu.

Bagi Nurul Jannah Juma’ah, 32 dan suaminya Mohd Noor Azihan Hassim, 35 tahun yang merupakan pegawai imigresen di Bahagian Operasi Kawalan KLIA, tidak dapat pulang berhari raya adalah satu perkara biasa bagi mereka berdua. Sejak bujang lagi kedua-duanya sudah tidak pulang bercuti bersama keluarga dan apabila dipertemukan jodoh bersama, mereka sepakat mengambil giliran yang sama.

“Isu tak balik beraya dah jadi perkara biasa bagi kami sejak dulu lagi. Masa bujang dulu, ketika tahun pertama bertugas terasa juga sedihnya. Tapi bila dah lebih 10 tahun berkhidmat, semua itu dah jadi perkara biasa.

Bukan tak sedih tapi mungkin dah awal-awal lagi set minda kerja yang semacam ini. Bagi saya tak ada masalah kerana suami pun ada sekali. Cuma pagi raya tipnya jangan sekali-kali buka Facebook. Melihat gambar rakan-rakan dan ahli keluarga di pagi raya automatik hati rasa sayu dan sedih kerana tak dapat beraya bersama. Jadi caranya kena kerja sahaja, jangan buka media sosial. ,” luah Jannah memulakan bicara awalnya.

Meriah Di Malam Raya

Jannah sudahpun berkhidmat lebih 10 tahun manakala suaminya berkhidmat lebih 12 tahun di jabatan yang sama.

Bagi pasangan yang dikurniakan dua orang anak comel, Muhammad Nur Zyadzachary, 5 tahun dan Nurul Hannah Sausan, 4 tahun, bertugas di hari raya sememangnya menyeronokkan.

“Semua pegawai sememangnya diberikan cuti mengikut sistem giliran tiga tahun. Jadi selepas tiga tahun barulah kami boleh bercuti di hari raya. Kalau kebetulan off di hari raya, itu satu bonus buat kami.

Sebenarnya tidak jadi masalah kerana ketika bekerja pun suasana raya masih lagi terasa. Malam raya merupakan waktu yang cukup meriah buat semua staf. Kami biasanya diminta untuk hiaskan pejabat mahupun pantry dengan mood raya menjelang esok hari.

Kalau bertugas di pagi raya biasanya kami akan jalankan tugas seperti biasa dan bila waktu rehat barulah kami menjamu selera yang disediakan buat staf. Dapatlah beraya bersama rakan-rakan sekerja. Memang meriah.

Malah suatu ketika dulu pernah kami diarahkan untuk bertugas dengan pakaian raya di waktu pagi raya. Semuanya melaram dengan baju raya masing-masing. Seronok juga ketika itu. Lari dari kebiasaan,” kata anak kelahiran Shah Alam ini lagi.

Tinggalkan Anak

Bagi Jannah dan suaminya, bertugas di hari raya tidaklah menjadi soal. Namun meninggalkan anak beraya sendiri dengan keluarga adalah perkara yang lebih dikisahkan mereka.

“Menjelang raya, dua tiga hari sebelum raya, saya akan hantar anak-anak pulang beraya bersama mak di Melaka. Dapatlah mereka beraya dengan sepupu mereka.

Pada saya bagi kita yang sudah dewasa beraya itu mungkin sudah biasa, nak-nak lagi bila terpaksa bekerja. Cuma saya mahu anak-anak merasai momen beraya mereka dengan indah supaya ada satu kegembiraan yang mereka boleh kenang nanti.

Kalau diikutkan sedih juga tak dapat bersama-sama mereka tapi apakan daya demi tugas. Biasanya selepas habis bekerja, petang raya saya dah ambil anak-anak. Jadi dapatlah kami beraya bersama-sama,” katanya lagi.

Sumber: Majalah Keluarga isu Jun 2018