Buang bunga tahi ayam atau ros, tukar dengan pohon serai atau rumpun pandan! Bunyinya memang macam kelakar, tetapi kalau dibuat sungguh-sungguh hasilnya akan menakjubkan seisi keluarga. Saya bercakap mengenai kegunaan laman depan rumah.
Terus terang saya mengakui, menjaga laman bukan tugas saya. Sebenarnya saya tidak berminat pun. Sejak mula pindah ke kediaman ini kira-kira 25 tahun lalu, saya tidak kisah pun tentang halaman depan yang sekangkang kera itu.
Orang perempuan memang lebih teliti dan berseni dalam bab menghias laman, sama seninya ketika menghias ruang dalam rumah. Maaf cakap, oleh sebab terlampau berseni, suami-suami yang buta seni seperti saya selalu pening, malah separuh sewel.
Ini contoh pening dalam rumah: Dia kerap sangat menukar kedudukan perabot, boleh kata dua tiga bulan sekali. Benda yang pada saya sudah elok dan ‘ngam’ di satu sudut, tiba-tiba esok atau lusa ditukar ke sudut lain.
Biasanya sebaik tiba di rumah selepas waktu pejabat, saya menanggalkan kasut dan terus meletakkannya di rak sebelah kanan pintu masuk. Tetapi, tiba-tiba kasut terjatuh di atas lantai, dan tangan saya tersenggol payung. Rupa-rupanya tempat rak kasut telah digantikan dengan tempayan bekas payung!
Satu lagi kejutan terjadi sebaik masuk ke bilik utama. Selepas mandi, seperti biasa saya menarik laci almari pakaian untuk mengambil seluar dalam. Saya terpegang coli! Rupa-rupanya laci yang sebelum ini tempat seluar dan pakaian dalam saya telah menjadi tempat pakaian dalam dia, adusss!
Dia tahu saya tidak suka dengan seni dan inovasinya yang kerap menukar kedudukan semua benda. Sebelum saya membebel dan mencampakkan semula coli, dia sudah berkata: “Bosan saya kalau benda hanya pada satu tempat, kenalah selalu tukar-tukar barulah terasa lain…” Dalam hati saya merungut: “Jangan engkau tukar aku pulak!”
Itu antara pertukaran posisi dalam rumah. Kalau hendak cerita semua betapa bingung saya tentang tukar-tukar barang dalam rumah, saya boleh tulis sebuah buku tebal. Mungkin judul yang paling sesuai ialah ‘Aku Tukar Kau Kang, Baru Kau Tau!’
Tetapi, seninya di laman rumah boleh saya puji. Mula-mula pindah suku abad dulu, laman itu ialah pasir gersang yang tidak ditumbuhi walau sehelai rumput. Almaklumlah tanah bekas lombong yang dijadikan kawasan perumahan dengan iklan ‘Resort Living Within the City’. Jangankan rumput, semut dan lipas pun tidak sudi memijak tapak kering kontang itu.
Entah berapa guni tanah hitam dan tanah merah saya beli dan taburkan di atas pasir kontang itu, semua atas arahan dan kreativiti dia. Setiap hujung minggu saya menjadi drebarnya ke Sungai Buluh untuk mencari benih bunga, baja dan entah apa-apa peralatan berkebun. Kata saya: “Beli saya boleh bayar, jadi drebar pun tak apa, tapi jangan suruh saya berkebun.” Memang saya tidak ambil kisah.
Ads
Terkejut saya dalam beberapa minggu laman kontang dan gersang itu mula ditumbuhi macam-macam. Dan, dalam masa kurang tiga bulan sudah ada rimbunan sana-sini. Malah sudah nampak bunga-bungaan beraneka warna.
Saya ingat selama ini dia hanya pandai menghias rak kasut dan laci bekas coli, rupanya dia ada kelebihan lain. Tidak disangka tangannya sejuk dan apa sahaja yang ditanam boleh tumbuh subur. Dia menyebut macam-macam nama bunga, yang saya ingat hanya bunga tahi ayam. Kelakar, bunga yang mekar secantik itu diberi nama tahi ayam!
Kini, laman sekangkang kera yang dulu bekas lombong, sudah menjadi hijau. Pohon cempaka sudah tinggi mencecah bumbung, bunganya putih bagai mutiara. Harumnya menusuk rongga hidung, terus ke jantung hati. Kenanga, ros dan pelbagai bunga lagi juga harum semerbak, terutama menjelang larut malam.
Ada orang kata haruman seperti itu boleh mengundang hantu. Saya tidak pasti. Tetapi sudah suku abad menetap di situ tidak pernah sekali saya nampak puntianak harum sundal malam atau lain-lain spesies hantu bergayut di dahan cempaka atau kenanga.
Lagi pun pada hemat dan logik saya yang suka lepak pada pokok cempaka adalah hantu kampung zaman dulu-dulu. Hantu di bandar lain caranya, kalau teringin bau haruman lebih baik menyelusup dan ronda-ronda kedai minyak wangi di pusat-pusat membeli-belah moden, tidak perlu mengendeng di laman saya.
Apa yang pasti taman mini itu menjadi semacam terapi minda buat isteri. Dia menghabiskan sejam pagi, sejam petang, setiap hari termasuk cuti umum. Katanya, setiap hari ada sahaja kerja di halaman. Menukar tanah dalam pasu, mengganti benih baharu, mencantas dahan dan daun, merumput, membaja, menyiram, mengalihkan pasu, bla, bla, bla.
Ads
Malah, dia mengakui masa lapangnya banyak dihabiskan memelihara laman. Sebelah pagi, pokok dan bunga dimandikan dulu, kemudian baru dia sendiri mandi. Sebelah petang, laman dimandikan sekali lagi. Hatta, sekiranya petang keluar rumah, balik tengah malam pun dia menyiram pokok dan bunga di laman. Demikianlah asyiknya si dia dengan bunga taik ayam.
Kadang-kadang naik cemburu saya sebab dia macam lebih sayangkan dan begitu mesra dengan cempaka dan bunga-bunga lain, macam buat ‘dhek’ apabila saya balik dari pejabat. Pelik lagi kelakar apabila dia memberitahu dia boleh bercakap berjam-jam dengan pokok dan bunga-bungaan itu. Kerap juga dia menembak: “Nak cakap dengan awak sepuluh minit pun susah!”
Selalu saya mendengar dia bercakap dengan pokok cempaka: “Dahan awak dah tinggi, petang esok saya cantas, bagi awak lagi cantik yerrr?” Tetapi, saya nampak daun dan ranting-ranting cempaka macam selamba dan buat ‘dhek’. Saya pula menyindirnya: “Agaknya pokok tu tak faham cakap Melayu, cer awak cakap orang putih, maklumlah itu pokok bandar…”
Selain cempaka, kenanga, tahi ayam, dan lain-lain bunga, laman yang sekangkang kera itu juga dihias dengan pelbagai tumbuhan keperluan dapur. Pasu-pasu dengan bunga beraneka warna itu diselang seli dengan pasu daun pandan, serai, kunyit, ulam raja, dan lain-lain tumbuhan keperluan belanga dan kuali.
Ditanam juga pokok tenggek burung untuk ulam, pokok limau purut yang daunnya dijadikan perencah pelbagai masakan, termasuk tomyam. Ada juga daun kari, rumpun selasih, daun bawang, rumpun kesum, kencur, pengaga.
Ads
Selama ini saya tidak ambil kisah pun tentang pohon dan daun-daun yang selalu menjadikan gulai dan masakan lebih sedap. Baru-baru ini saya menemani dia ke pasar raya, dan mengetahui benda-benda yang ada di laman itu rupanya ada harga.
Terkejut saya lima batang serai yang diikat kemas harganya RM1, daun kunyit sehelai 50 sen, dua tiga helai daun pandan, 50 sen. Daun kari, ulam raja, kesum, kencur, semua ada harga. Hatta daun limau purut pun lima enam helai harganya 50 sen. Fikir punya fikir banyak juga duit pasar dapat diselamatkan dengan tanaman tersebut.
Dia bercadang untuk menanam cili dan tomato dalam pasu, sambil menegaskan: “Awak tau tak, cili hidup sekilo RM15, kalau kita tanam tiga pasu berapa banyak duit pasar boleh selamat. Durian belanda sekilo RM12, labu manis yang awak suka tu sebiji paling tidak pun RM10. Kalau kita tanam semua tu, banyak kita boleh selamat…”
Setakat dua tiga pohon cili saya ingat okey untuk tanaman di halaman. Tetapi saya tidak berapa berkenan sekiranya dia berhasrat menanam durian belanda, labu manis, terung dan lain-lain. Susah juga sekiranya taman yang cantik itu ditukar menjadi kebun sayur.
Lagi pun ada bahayanya sekiranya labu manis merayap di halaman, takut-takut keluar dari kereta ketika pulang waktu malam saya tersungkur dan terantuk simen gara-gara tersepak buah labu atau durian belanda.
Dan, lebih penting lagi, saya lebih suka dia kekal sebagai suri rumah dan penjaga taman. Pengsan saya sekiranya setiap petang balik kerja melihat dia bertopi besar dan bersarung tangan, seperti nyonya atau apek kebun sayur di Cameron Highland.
Saya memberitahu dia biarlah taman tetap taman, cukup setakat serai, daun pandan dan kesum. Durian belanda, labu air, labu manis, terung dan lain-lain sayur kegemaran saya lebih baik beli di pasar. Tidak mengapa mahal sedikit, asalkan dia tidak menjadi nyonya kebun sayur.
Tetapi, dia berpendapat, lebih banyak sayur-sayuran ditanam di halaman, lebih banyak pula duit pasar boleh dijimatkan. Katanya: “Duit pasar yang dijimatkan itu boleh beli tudung bawal…” Ayat akhir itu saya buat-buat tidak dengar, aduss!
sumber : Abd Jalil Ali, Majalah Keluarga
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Kota Madinah ada banyak tempat menarik boleh pergi, suami Isteri boleh jalan kaki sama-sama. Sekian lama, kota suci kedua umat Islam selepas Makkah ini menjadi benteng atau tapak perlindungan iman khususnya kepada Rasulullah SAW ketika melalui zaman yang penuh mencabar.
Umat Islam digalakkan untuk mengunjungi Madinah yang menjadi tradisi terutama umat Islam di seluruh dunia ketika melaksanakan ibadat haji dan umrah. Kita mungkin boleh melancong ke banyak tempat lain, namun berada di kota suci Madinah sama sekali berbeza kerana perjalanan itu boleh disifatkan sebagai kembara iman.
Sebenarnya ada banyak tempat menarik yang boleh dilawati ketika menjejakkan kaki ke bumi Madinah. Dengan hanya berjalan kaki, anda boleh menikmati panorama indah di sepanjang perjalanan.
Bagi pasangan suami isteri pula, anda boleh berjalan bersama sambil meneroka tempat-tempat yang bersejarah ini. Berikut dikongsikan ENAM tempat bersejarah yang anda boleh lawati ketika berada di kota Madinah.
ENAM TEMPAT YANG MENARIK DI MADINAH DENGAN HANYA BERJALAN KAKI
Credit photo : FB Hjh Hana
Madinah merupakan tarikan kedua selepas Makkah bagi umat Islam. Dan seperti yang kita belajar dari sekolah lagi Madinah merupakan yang tenang dan nyaman di mana di situlah terletaknya makam Rasulullah SAW. Dan menjadi kewajiban bagi setiap umat Islam yang datang ke Madinah untuk ziarah ke makam Nabi Muhammad SAW.
Masjid Nabawi di Madinah, merupakan salah satu masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW. Seperti yang telah kita diketahui, masjid ini menjadi terbesar kedua di dunia setelah Masjidil Haram di Makkah. Rumah ibadah tersebut juga merupakan tujuan bagi umat yang ingin ziarah makam Rasulullah dan solat di dalamnya.
Sama ada dalam keadaan sedar atau tidak, banyak tarikan yang ada di Madinah. Bagi mereka yang tidak berkesempatan lagi, tidak perlu risau dan bersedih. Dengan hanya berjalan kaki, anda dapat melihat enam tarikan yang ada di Madinah.
𝗠𝗔𝗦𝗝𝗜𝗗 𝗡𝗔𝗕𝗔𝗪𝗜
Photo by pixabay from Pexels
Tidak lain dan tidak bukan tarikan utama di Madinah ialah Masjid Nabawi. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW dan merupakan masjid kedua terbesar di dunia.
Photo by pixabay from Pexels
Keistimewaan di masjid ini selain daripada mendapat ganjaran pahala 1000 kali jika solat di masjid Nabawi, ia dikelilingi dengan payung gergasi yang akan tertutup dan terbuka secara automatik mengikut suhu di sana.
RAUDHAH @ TAMAN SYURGA
Raudhah adalah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi dan sesiapa yang berpeluang menjejakkan kaki ke Madinah dan Masjid Nabawi, pasti akan berusaha untuk solat dan berdoa di dalam Raudhah.
Untuk pengetahuan anda, ‘petua’ untuk mengenali kawasan Raudhah dengan mudah adalah ia bersebelahan makam Rasulullah SAW dan hamparan karpetnya berwarna hijau berbanding kawasan lain dalam Masjid Nabawi yang karpetnya berwarna merah. Di situ, para Jemaah digalakkan untuk perbanyakkan doa kerana kawasan tersebut adalah kawasan yang dimakbulkan doa.
PERKUBURAN BAQI’
Perkuburan Baqi’ atau dikenali sebagai Jannatul Baqi’ terletak di sebelah tenggara (kiri) Masjid Nabawi. Perkuburan Baqi’ ini merupakan perkuburan yang paling mulia. Rasulullah SAW sering menziarahi perkuburan ini. Ada hadis mengatakan, ahli-ahli kubur Baqi’ adalah yang pertama akan dibangkitkan di akhirat kelak.
Sekiranya para jemaah mahu datang melawat, waktu lawatannya adalah selepas solat Subuh dan selepas solat Asar. Selain waktu itu, para jemaah dibenarkan masuk sewaktu ada jenazah yang hendak dikebumikan. Dan lawatan ini khas buat kaum Adam (lelaki) sahaja.
Di perkuburan Baqi’ ini dianggarkan lebih 10,000 sahabat Baginda SAW disemadikan di sini sekali gus mereka yang datang ke bumi Madinah al-Munawarrah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menziarahinya.
Masjid Al-Ghumamah merupakan salah satu masjid bersejarah di Madinah, di masjid ini Rasullulah SAW pernah mendirikan solat istisqo’ (solat meminta hujan) dan selepas itu awan menjadi mendung di kawasan masjid tersebut. Masjid ini masih kekal berdiri sehingga sekarang, bagi mengenang peristiwa penting sebelum Rasulullah SAW wafat.
Jarak antara Masjid Nabawi dan Masjid Ghumamah adalah dalam 300meter. Jadi tiada masalah bagi jemaah umrah mahupun haji yang ingin melawat ke Masjid Ghumamah dengan hanya berjalan kaki.
MASJID ABU BAKAR AS-SIDDIQ
Masjid Abu Bakar As Siddiq merupakan salah satu masjid yang tertua di Madinah. Menurut riwayat di masjid ini, Saidina Abu Bakar As Siddiq berdiri menunaikan solat hari raya dengan kaum muslimin terdahulu dan diimamkan oleh Rasulullah SAW. Dan ada juga mengatakan, masjid ini dahulunya adalah rumah saidina Abu Bakar As-Siddiq. Wallahu’alam.
Jarak antara Masjid Ghumamah dan Masjid Abu Bakar As-Siddiq adalah dalam 40 meter. Sekiranya anda melawat Masjid Ghumamah, anda juga boleh membuat lawatan ke Masjid Abu Bakar As Siddiq kerana jarak antara dua masjid ini yang dekat dan boleh berjalan kaki sahaja.
MASJID ALI BIN ABI TALIB
Menurut riwayat di masjid ini, Saidina Ali Bin Abi Talib berdiri menunaikan solat hari raya dengan kaum muslimin terdahulu dan diimamkan oleh Rasulullah saw. Selain dari itu, ada juga mengatakan masjid ini dahulunya adalah kediaman saidina Ali bin Abi talib. Wallahu’alam.
Masjid ini tidak dibenarkan untuk solat di dalamnya kerana jarak antara Masjid Nabawi dan Masjid Ali Bin Abi Talib sangat dekat dengan pintu masuk Masjid Nabawi. Oleh itu, jemaah hanya boleh membuat lawatan sahaja di Masjid Ali Bin Abi Talib.
Kalau dah nama ibu-ibu, pantang nampak barang baru mesti membeli kan. Bukan sahaja pinggan mangkuk, periuk malah kuali juga antara yang menjadi kemestian dalam list membeli. Bila kuali dan periuk ni bila makin banyak, rimas kan kalau dibiarkan bertelangkup atas dapur je.
Tapi kalau disimpan dalam kabinet, susah pula nak ambil sebab kadang-kadang disusun bertingkat-tingkat.
Jadi, apa kata kita cuba DIY tempat gantung kuali oleh Reezal Jelita ini. Menariknya, idea ini boleh slide keluar masuk supaya memudahkan ibu-ibu mengambil kuali untuk digunakan.
Memang mudah, kemas dan praktikal. Bukan tu je, cara ini menjimatakan kerana modal lebih kurang RM20 je semuanya.Jom cuba!
Share sikit DIY tempat gantung kuali bawah cabinet sinki.. Modal dalam RM20 saja..
1. Sebelum kejadian.
2. Drawer Slide boleh beli kat shoppe sepasang dalam RM10. Kayu tu boleh pakai apa2 kayu yg sesuai.
3. Skru kan 2 bahagian ni.
4. Hook screw ni pun boleh beli kat shoppe @ hardware.
5. Screw dulu 1 bahagian ni. Slider tu boleh cabut dulu 1 bahagian.
6. Selepas kejadian.
7. Boleh slide keluar supaya boleh capai kuali yang belakang.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Pendakwah selebriti Da’i Syed dan isterinya pengacara, Hana Ismail kini sedang menghitung hari menanti kelahiran cahaya mata sulung mereka.
Menurut Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 29, isteri kesayangannya itu tidak mengalami simptom kehamilan yang teruk malah kini teruja untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
“Insya-Allah saya dah nak menimang cahaya mata. Isteri saya dah sarat tinggal tunggu lagi dua, tiga minggu,” kongsinya.
Tambahnya lagi, isterinya berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami alahan atau mengidam yang pelik-pelik sebaliknya dia yang mengidam sesuatu.
“Hana tak ada apa-apa simptom, tiada alergi, dia baik-baik sahaja tapi rasanya lebih kepada saya. Saya yang banyak mengidam daripada dia,” kongsinya.
Sementara itu, Syed bersyukur dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dalam kerjaya lakonan dan perniagaannya.
“Nak jadi ayah ni rezeki makin banyak, Alhamdulillah. Dapat tawaran berlakon filem, ada buat agensi pelancongan dan isteri saya menjual batu-batu kristal.
Meninjau di Instagram isterinya, Hana juga mengakui teruja untuk menantikan cahaya mata pertama mereka malah kini dilihat semakin berseri-seri.
“Alhamdulillah, hajat nak ‘babymoon’ before my delivery dimakbulkan.
“Momen bersama suami disini takkan Hana lupa insyaAllah sampai bila-bila. Thank you, Cahaya selalu bawa rezeki tak disangka-sangka untuk umi and baba. Can’t wait to see you,” tulisnya di kapsyen.
Terdahulu, Syed dan Hana mendirikan rumahtangga pada 3 Disember 2022. Hana sebelum ini pernah mengalami keguguran i awal perkahwinan mereka.
Didie Alias lawat Amyza Aznan, datang beri semangat, rai hari jadi ke-19 Andre di wad. Pelakon Didie Alias telah meluangkan masa untuk melawat anak kepada sahabatnya, Amyza Aznan, yang kini sedang menerima rawatan di hospital akibat penyakit kanser paru-paru.