Kisah Doktor ini dimuat naikmenerusi satu ciapan di laman Twitter Public Health Malaysia bagi mendoakan supaya Dr Fatihah Shahrudin dan bayinya selamat.
Dr Fatihah yang ketika itu hamil 29 minggu menerima rawatan di Hospital Kajang telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.
Katanya, bayi tersebut mungkin terpaksa dikeluarkan jika keadaan Dr Fatihah semakin buruk.
“Mohon doakan Dr Fatihah bt Shaharudin. Semoga dia dan anaknya selamat.
“Tolong doakan mereka, juga doakan dua anaknya yang masih kecil dan suami beliau yang juga positif di rumah,” katanya.
Sementara itu, difahamkan bayinya itu terpaksa dikeluarkan melalui proses C-section dan dilaporkan keadaan kedua-duanya kini stabil namun masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Sebelum itu, Dr Fatihah berkongsi keadaan dirinya dengan ahli keluarga.
“Semakin teruk ayah, ini pun tunggu nak masuk ke ICU (unit rawatan rapi). Doakan yang terbaik untuk Tehah.”
Itu pesanan WhatsApp yang dikirim Dr Fatihah Shahrudin, 29, kepada ayahnya, Shahrudin Abu Bakar, 56, sebelum beliau dimasukkan ke ICU di Hospital Sungai Buloh.
Bapa saudaranya, Mohd Ali Mohd Derus berkata, ujian yang dilalui Dr Fatihah cukup getir. selain Dr Fatihah, ahli keluarganya termasuk suami dan dua lagi anaknya, turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang dikuarantin di rumahnya.
“Selain suami dan anak, adik Dr Fatihah serta ibu dan ayahnya juga disahkan positif. Tehah memang kerap hantar anak mereka untuk dijaga ibu bapanya di Beranang, Selangor disebabkan rumah mereka dekat.
“Tapi Alhamdullilah, malam tadi doktor (di Hospital Sungai Buloh) maklumkan bayinya selamat dilahirkan dan terpaksa dikeluarkan lebih awal bagi mengelak sebarang komplikasi lebih buruk,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Menurutnya lagi, Dr Fatihah pada mulanya dimasukkan ke Hospital Kajang pada 30 Mei lalu selepas dimaklum dijangkiti kuman pada paru-parunya, sebelum disahkan positif sehari selepas itu.