Masalah tidak cukup tidur sememangnya bukan satu masalah besar lagi bagi semua ibu. Selepas berhempas pulas melahirkan anak, ibu yang kepenatan biasanya akan mula tidak cukup tidur sehinggalah bayi mula tidur nyenyak.
Itulah pengorbanan terbesar yang dialami wanita bergelar ibu. Dek kerana tidur yang tidak cukup serta rutin harian yang baru, wanita akan mula meninggalkan kesan lebam dan bengkak pada bawah mata.
Hal ini jika tidak diubati akan menjadi berlarutan dan lama kelamaan, lebam dan kusam pada bawah mata ini menjadi sebati pada wajah. Wajah pastinya jadi tidak berseri dan penampilan wanita pasti kurang cantiknya.
Jadi janganlah dibiarkan masalah lebam dan bengkak mata yang anda alami ini sebaliknya rawat masalah anda dengan cara di bawah ini. Tidak perlu menggunakan kos yang mahal tetapi hanya menggunakan tiga bahan ini sahaja.
Guna Limau Nipis
Lebihan limau nipis yang dibuat air atau masakan jangan pula dibuang. Sebaliknya simpan sahaja kulitnya dan sapulah di bawah mata yang lebam akibat tidak cukup tidur. Biarkan kering seberapa ketika kemudian barulah muka dicuci dengan air yang bersih. Lakukan ini berulang kali sehingga mata reda.
Kulit Timun Penyejuk Mata
Sama seperti limau nipis, begitu juga dengan hirisan timun. Kulit timun jangan pula dibuang sebaliknya ditekan pada kawasan mata yang bengkak dan lebam. Sapukan rata dan biarkan ia menjadi kering. Kemudian barulah dicuci dengan air yang bersih. Timun yang bersifat sejuk mampu meredakan mata yang bengkak.
Kulit Telur Mujarab
Petua orang-orang lama yang patut anda cuba adalah menggunakan kulit telur. Telur yang dipecahkan, di bahagian dalamnya akan meninggalkan lebihan lendir. Ambil lendir ini dan sapukan pada mata yang bengkak dan lebam ini. Biarkan hingga ia mengering. Kemudian tanggalkan lendir seperti masker ini daripada wajah dan bilaslah bersih.