“Benda Ni Real, Murid Darjah Tiga Masuk Tangan Dalam Seluar.” Aurat Mak Ayah Kena Jaga Elak Imanginasi Anak Lebih ‘Power’.

Share

Umum mengetahui bahawa era perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu pesat, Internet merupakan saluran maklumat dan komunikasi yang digunakan secara meluas terbesar di dunia.

Semua maklumat diperolehi dengan mudah, bak kata ‘di hujung jari’. Teknologi canggih ini sangat berguna untuk ke arah kebaikkan. Namun jika sebaliknya itu yang merisaukan!

Kesan penggunaan internet yang salah memberi kesan negatif kepada semua manusia termasuk golongan remaja dan kanak-kanak.

Penggunaan tanpa had boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan pornografi  secara dalam talian. Secara psikologinya ia memberi impak kepada diri mereka.

Rentetan daripada itu, persekitaran dalam rumah juga mempengaruhi kanak-kanak dan remaja ini. Ia termasuk cara ibu ayah yang tidak menjaga aurat dan adab pergaulan di rumah.

Sebagaimana perkongsian saudara Tuan Amir Danau meluahkan rasa kebimbangan dengan sikap segelintir ibu bapa yang mengambil sikap  tak kisah mengenai isu seksual pada anak-anak.

Katanya, ada pasangan suami isteri dengan bersahaja bermesra serta berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

Katanya, perilaku berkenaan  walau nampak biasa-biasa tetapi memberi impak daya seksual kepada mereka.

Seterusnya ikuti perkongsian beliau.

ISU NAMPAK KECIL, TAPI DIA BUAT RANGSANGAN SEKSUAL ANAK TU LAIN MACAM

Semalam aku bersembang dengan isteri aku panjang lebar, dan isu ni besar impak dia pada anak-anak tapi ibu bapak banyak ambil santai je. Tapi maaf kalau tulisan aku terlalu straight forward. Nak bengkang-bengkok memang tak larat. Badan sakit-sakit lagi lepas jatuh hari tu.

Topik dia isu melibatkan aurat dan seksual je pada anak-anak yang membesar naik ni.

Untuk mak-mak, bapak-bapak, anak ni kan ada sampai satu usia dia membesar tu especially anak lelaki lah. Anak perempuan aku tak berapa tahu, tapi sudut anak lelaki ni.

Dia ada satu fasa tu aku panggil fasa “Kote Gatal”. Dari sekolah rendah sampai naik sekolah menengah. Tak kisah lah anak kita ni skema macam mana pun , nampak macam lembab macam mana pun, part ni kena ambil tahu.

Benda ni real, dan benda ni yang buat aku bebel panjang dekat bini aku tentang pemakaian kita dekat rumah lagi-lagi depan anak.

Kadang-kadang ada mak-mak ni, dia memang tak rasa malu apa sangat, dia anggap ni semua anak-anak dia je, dari kecik kot suap puting ke mulut anak, setakat nampak tetek pada anak ni dah bukan isu besar.

Biasa macam tu kan?

Anak-anak lelaki ni fasa kote gatal ni dia lain tau. Di luar fikir kau pun. Dulu zaman kita dulu nak kontrol bab seksual ni tak susah mana, sebab nak akses benda-benda seksual ni susah.

Tak macam budak-budak sekarang. Dari handphone je. Taip sikit lepas tu click, haa keluar terus. Tinggal pilih berselera yang mana. Macam kawan aku dulu lain, dia pergi cyber cafe, pilih pc hujung sekali lepas tu terus search.

Haram jadah betul. Struggle, tak semudah bebudak sekarang. Kawan aku lah. Ni pun diorang cerita balik. Aku mana pandai benda-benda macam tu.

Jadi bab aurat ibu bapak dalam rumah pun jangan buat main. Dia akan hidupkan daya seksual anak tu pada imaginasi-imaginasi yang lagi power.

Selama ni dia cuma nampak sekilas-sekilas je dekat TV, tapi dekat rumah dia nampak real bentuk payu dara mak dia tu, situ create nafsu dia, create imaginasi dia bab seksual ni kaw-kaw. Itu kote jadi lagi gatal. Jangan buat main.

Darjah tiga dah fikir seksual

Gambar sekadar hiasan

Aku teringat masa dulu aku sekolah rendah, darjah 3 kalau tak silap. Sekolah lelaki, dalam kelas tengok budak ni boleh masukkan tangan dalam seluar member dia dok gentel kote member dia, member dia layan. Kejap tu member dia pun balas balik sorok-sorok. Dan bukan sorang dua ke arah tu. Ada lah beberapa orang jugak. Apa yang mendorong benda-benda macam tu? Darjah 3 beb.

Cuba korang angkat tangan sikit siapa yang darjah tiga dulu macam tu? Okey hampir separuh followers angkat tangan.

Sampai satu umur, aku pernah jadi fasilitator untuk satu program ala-ala untuk Muhasabah diri student lah dekat satu sekolah ni. Sampai satu segmen bercerita tentang dosa-dosa ni, kita arahkan semua pelajar perempuan dan lelaki pejam mata. Musik background sedih-sedih dah bukak dah. Mendayu.

“Adik-adik yang dikasihi, kita ni banyak dosa. Kita tak terlepas dari dosa-dosa sepanjang hidup kita ni. Malam ni saya minta, semua jujur dengan diri sendiri. Jangan ada sesiapapun buka mata ya. Saya minta angkat tangan sesiapa yang pernah berzina. Jangan malu, angkat tangan. Takda siapa pun tahu dalam kalangan sahabat.”

Tengah diorang nangis-nangis tu hampir 80% yang angkat tangan tak kira laki tak kira perempuan. Tak tau lah zina yang macam mana yang buat diorang angkat tangan tu. Tapi ni benda gila beb. Masa tu buat untuk pelajar sekolah menengah.

Kenapa kita suruh angkat tangan masa tu pun tujuannya nak bagi diorang rasa diorang berdosa je dan tak lagi ulangi. Biar diorang tahu zina ni memang salah. Mungkin diorang tak tahu pun yang zina tu salah. Lampu pun kita padam, nampak samar-samar je.

Realitinya kalau kita tanya ibu bapak 80% ni pasal anak dia pernah berzina, kau rasa mak bapak dia percaya tak? Tak akan percaya. Di luar kotak fikir kita sebagai ibu bapak. Sebab anak kita dekat rumah anak yang baik, yang dengar cakap. Solat tak tinggal. Mencarut pun tak pernah.

Anak kesayangan lah katakan. Anak harapan. Terlupa yang kita masa bercinta sekolah menengah dulu pun, tangan merayap boleh tahan. Eh silap bukan kita. Tapi kawan aku.

Ada satu part pulak, dalam adik beradik, lelaki dan perempuan. Masing-masing terasa nak tahu, dan diorang ke arah benda-benda macam tu tanpa pengetahuan korang pun sebagai mak bapak ni. Ada jadi, mengintai adik perempuan mandi. Nak tengok payudara punya pasal. Usik-usik adik beradik perempuan sampai tahap sentuh payudara bagai. Suruh adik bukak baju nak tengok. Dia buat macam bergurau tapi memang sebab kote tu gatal.

Dan banyak lagi cerita yang berkait tentang seksual ni yang aku pernah berdepan, kalau semua masukkan dalam ni, aku ingat korang habis je posting aku ni tau-tau dah tua je nanti.

Banyak.

Take note tentang rangsangan seksual

Rangsangan seksual ni jangan buat main. Itu sebab kita mak ayah ni bab ni jangan terlalu santai, kena selalu ambil kira kesan dia pada psikologi anak. Nak pakai baju nipis takda bra ke, nak pakai baju yang jenis koler londeh bila tunduk boleh nampak dada tu ke, si bapak pulak kot jenis pakai boxer je ke sampai nampak bentuk anu tu bergerak-gerak.

Tutup ruang-ruang ke arah benda alah ni. Jangan jadikan ni semua ibarat benda-benda ringan sampai anak tak rasa bersalah langsung ke arah tu. Walaupun kau rasa tak logik, tapi percayalah. Jangan buat main.

Benda ni kadang berpunca dari rumah je, dia tengok benda-benda macam tu, kote pulak gatal. Selain pakaian, aku pesan pada bini aku bab hubungan romantik laki bini ni depan anak. Pun beragak lah. Kalau boleh biarlah tertutup. Ni kau nak ramas kopek, nak ramas anu lelaki kau, nak cium mulut macam dalam cerita mat salleh semua depan anak. Dekat sekolahlah nanti tempat anak ni ke arah benda-benda macam tu. Susah nak explain nak bagi perempuan faham macam mana keadaan kote gatal ni. Tapi bila kote gatal, dia akan ke arah benda-benda yang boleh dia dapat kepuasan lah. Asal ada perempuan je, dia cuba ke arah tu.

Ibu-ibu, ayah-ayah yang anak tengah membesar. Ambil lah tahu.

Kalau ada anak perempuan, ada anak lelaki, selalu ajarkan anak perempuan tu untuk bagitau kau kalau ada adik beradik lelaki ke arah seksual macam tu. Pegang dada dia ke, usik bontot dia ke, dia kena cerita. Ajar dia untuk tak malu nak bercakap isu-isu macam tu pada kau. Biarlah anak-anak lelaki kau tu semuanya jenis solat tak tinggal. Itu cerita lain.

Tempat tidur anak perempuan pun pisahkanlah dengan anak lelaki. Kalau anak lelaki dekat rumah jenis pakai boxer je atau jenis pakai spender je tegurlah, larang. Suruh pakai pakaian yang sopan sikit. Tutup semua ruang ni. Lagi-lagi bila anak perempuan kita dah start membesar dan dah tumbuh payudara.

Semoga keluarga kita semua terpelihara dari segala kesan hasil dari rangsangan seksual yang kecil ini. Tanpa yang kecil, mana mungkin wujudnya yang besar. Maaf lah, nak buat kelakar macam takda mood pulak. Kebetulan aku baru tengok cerita lawan-lawan tadi.

P/s : Ni bukan cerita pasal lelaki gila seks ke, perempuan yang gila seks ke. Bukan-bukan, benda yang boleh merangsang seksual ni bahaya. Bayangkan anak pulak ada bilik sendiri, bila ada benda-benda yang merangsang dia ke arah tu, dia boleh je kunci pintu, dan buat sesuatu yang memuaskan nafsu dia. Handphone ada.

Mau dia hantarnya gambar kote dia dekat mana-mana pakcik ke kan. Kau nak tau macam mana? Tak akan tau lah. Itu yang kena rajin check handphone anak tu. Kalau dengan anak pun kau sembang hak privasi, aku ingat baik kau sambung makan nasi tu tak payah sibuk dekat sini. Jadikan sembang isu seksual ni perkara yang terbuka, bukan perkara yang tertutup. Supaya anak beringat dan tak segan untuk bercakap dengan kita.

Apa yang pasti, era teknologi ini makin mencabar mendidik anak-anak. Usah bersikap ‘santai’ dan ‘tak kisah’, ia akan menjadi ‘barah’ untuk generasi akan datang. Moga kita cakna isu ini.

Sumber: Tuan Amir Danau

*Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club