
Kita biasa mendengar bahawa jika menggunakan sudu besar boleh menjejaskan khasiat madu. Malah penggunaan ini dalam pengendalian madu adalah tidak dibenarkan. Persoalannya adakah ianya satu mitos atau ada kebenarannya. Untuk cuba menjawab persoalan ini ikuti pencerahan daripada pakar kimia, Fatimah Salim ini.
Ikuti perkongsian ini.
Ada yang bertanya mengenai penggunaan jenis sudu untuk mencedok madu. Ada yang kata, tidak boleh menggunakan sudu besi untuk mencedok madu.
Jawapan saya: TIADA masalah untuk guna sudu besi mencedok madu.
Mungkin yang buat kenyataan tidak mengalakkan pengunaan sudu besi disebabkan sifat asidik madu. Madu bersifat asidik disebabkan kandungan bahan kimia asid organiknya. Skala pH madu biasanya antara 3.4 – 6.1.
Disebabkan bahan berasid boleh menghakis logam (seperti sudu besi ini) dikuatiri komponen logam boleh bercampur dalam madu. Maka, ada yang melarang dalam penggunaan.
Begini, kita bukan tinggalkan sudu dalam madu, hanya mencedok sahaja. Maka tiadalah potensi tindakbalas berlaku. Jika kita tinggalkan sudu logam dalam madu untuk tempoh masa yang LAMA, mungkin akan berlaku tindakbalas. Macam konsep peralatan memasak dengan bahan berasid juga.
Cuma bukan semua madu mempunyai tahap keasidan yang sama. Contoh madu tualang mempunyai pH sekitar 3.5-4.0, madu Manuka pula pH 3.2-4.2 dan madu kelulut 2.0-3.0. Jadi, potensi tindakbalas juga berlainan. Sekali lagi, kesan tindakbalas ini hanya berlaku jika sudunya dibiarkan berendam dalam madu untuk tempoh masa yang lama.
Nota:
1) Skala pH ialah skala yang digunakan untuk mengukur tahap keasidan dan kealkalian bahan yang larut air. Semakin kecil nombor, semakin berasid sifat bahan itu.
2) Madu tinggi dengan kandungan gula fruktosa (~ 39%) dan gula glukosa (31%). Sebab itu rasanya manis. Maka, bagi yang mengawal kandungan gula, perlu lebih peka.
Kredit: Fatimah Salim
Uqaira Dah Dua Bulan. Ramai Geram Tengok Anak Kamal & Uqasha, “Dah Pandai Ajak Borak”

Akhirnya selepas berusia dua bulan, pasangan selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose tampil berkongsi wajah anak sulung mereka, Hawra Uqaira yang cukup comel.
Terbaru, Uqasha turut memuat naik video gelagat Uqaira yang kini sudah pandai berinteraksi ketika diagah ibu dan ayahnya. Memang comel.
Tambah Uqasha lagi menerusi kapsyennya, anak kesayangannya itu kini suka berjaga di waktu malam dan ini sudah semestinya satu cabaran buat mereka.
“Anak oh anak pukul 1 pagi ajak ibu borak.
“Haa sekarang mata luas malam-malam ni, so pukul berapa nak sleep ni baby? Anak korea jepun cina ni?,” tulisnya di kapsyen.
Si comel Hawra kelihatan cukup comel dengan matanya yang buntang ketika diagah oleh ibunya.
Meninjau diruangan komen rata-rata wargamaya begitu teruja melihat si comel Uqaira yang kini semakin membesar dan sihat.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik. Pasangan ini menyambut kehadiran cahaya mata sulung mereka pada 27 April lalu.
Menarik: Saling Tukar Shift Jaga Anak, Kamal Adli Bangga Sifat Keibuan Uqasha!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Nekad Bersedekah Walau Duit Berbaki RM6.90, Wanita Ini Kongsi Coretan Bikin Netizen Sebak.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mahu ikatan perkahwinan yang dibina sentiasa bahagia dan berkekalan hingga ke syurga.
Namun dalam setiap perkahwinan pastinya adanya cabaran yang ditempuhi. Susah senang tetap ditempuhi demi keluarga.
Sebagaimana perkongsian wanita ini yang pernah melalui detik sukar dalam rumahtangganya bersama suami dan anak-anak.
Juga kuasa doa dan sedekah itu adalah anugerah memberi kekuatan untuk terus berjuang demi keluarga.
Malah, para netizen yang mengikuti kisahnya turut meluahkan rasa sebak mengikuti coretannya itu.
Seterusnya ikuti perkongsiannya.
Ini kisah tahun 2020. Saya tak akan lupakan momen itu.
Petang tu, Syahindah datang dan ingatkan saya untuk ke sekian kali, “Mama, nanti abah dapat gaji kita beli kasut roda tau!”
Yes! Masa tu memang dah niat nak tunaikan hajatnya yang satu ini.
“Beres. Esok gaji abah masuk. Nanti mama order kat Shopee!”
Tak sabar nak shopping kat Shopee!
Esoknya, pagi-pagi lagi saya dah semak akaun bank suami. Kebiasaannya begitulah. Saya yang akan menguruskan segala urusan belanjawan rumah. Menyelesaikan komitmen bulanan.
Mengasingkan perbelanjaan untuk keperluan rumah, anak-anak dan sebagainya.
Tapi, pagi itu hati saya berdebar-debar. Saya lihat nilai baki dalam akaun langsung tak ada perubahan. Sama saja nilainya macam semalam.
Gaji Suami tak masuk

Saya tanya suami, “Abang, gaji selalu masuk pukul berapa? Pagi kan?”
Namun, sehingga ke petang nilainya masih sama. Saya mula cuak. “Abang, gaji kena tahan lagi ke?”
Saya pandang dia. Dia pandang saya. Tak ada siapa mampu menjawab.
Akhirnya, persoalan terjawab. Sejarah lama berulang kembali. Gaji suami ditahan lagi. Kali pertama berlaku lebih kurang enam bulan sebelumnya, pada tahun yang sama. Kedua-dua tanpa notis!
Hidup seadanya
Maka begitulah, keputusan drastik terpaksa diambil. Lupakan tentang kasut roda, lupakan tentang segala hajat yang lain. Bulan itu, kami teruskan hidup dengan apa yang ada. Jika sebelumnya gaji ditahan selama tiga bulan berturut-turut, kali ini entah sampai bila …
Satu malam tu, sementara tunggu Maghrib, saya basuh pinggan. Masa nak bilas, saya buka paip. Guess what! Tak ada setitik pun air yang menitis! Terus saya teringat sesuatu
Laju saya pergi cari bil air yang saya terima beberapa hari lepas. Bil amaran supaya kami selesaikan tunggakan dalam tempoh 14 hari. Congak-congak … memang dah lebih tempoh yang diberikan. Maka, memang sah air dah kena potong!
Beberapa bulan sebelumnya memang bil air kami melambung tinggi. Jumlahnya beratus-ratus setiap bulan yang kebiasaannya tak pernah pun cecah seratus. Puncanya masalah paip bocor yang kami tak sedar sehingga berbulan-bulan. Syukur masa tu kami dah sedar dan panggil orang datang baiki.
Memang dah rancang gaji bulan itu nak guna untuk setelkan semua bayaran tertunggak, tapi siapa sangka … tak sempat. Ternyata Allah dah ada perancangan lain yang lebih baik untuk kami.
Ketika saya beritahu suami air dah kena potong, berkali-kali dia minta kepastian. Ya, saya faham. Di saat-saat begitu, itu bukanlah khabar yang diharapkan. Apabila saya mengesahkannya, ketika itulah saya melihat kelopak matanya mula bergenang. Sayunya hati saat melihat air matanya menitis tanpa henti. Saya tahu dia rasa bersalah dan tertekan.
Sungguh, gaji ditahan lagi untuk kali kedua adalah sesuatu yang tak dijangka pun, tapi entah kekuatan apa yang Allah berikan ketika itu sehinggakan saya rasa tenang-tenang sahaja. Saya tak ada fikir yang bukan-bukan sepertimana ketika pengalaman yang pertama.
Doa mohon petunjuk

Selesai solat Maghrib, segala yang berlegar-legar dalam fikiran saya sejak tadi laju meluncur keluar melalui doa ini, yang saya ingat sampai sekarang.
“Ya Allah, aku selalu berniat untuk jadi kaya supaya aku dapat bersedekah sebanyak-banyaknya. Aku selalu cemburu kepada mereka yang ada banyak duit dan boleh bersedekah sebanyak mana yang mereka mahu.
Jika ini cara yang engkau pilihkan untuk aku bersedekah dalam jumlah yang banyak, maka aku halalkan segala hak kami yang ada di situ. Aku sedekahkan semuanya kerana-Mu. Semoga Engkau gantikan kami dengan yang lebih baik. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Kaya.”
Ketika itu, air mata turun mencurah-curah tak dapat saya tahan. Bukan sedih sebab duit dah tak ada, tapi ketika itulah Allah hadirkan satu perasaan yang sukarnya saya nak gambarkan.
Rasa tenang.
Rasa puas.
Rasa lega.
Terasa bagaikan terangkat satu beban yang maha berat di bahu. Tak ada walau sekelumit pun rasa marah pada sesiapa. Tak ada langsung rasa risau dengan nasib kami yang entah bagaimana selepas tu.
Dan sesuatu yang pasti, itulah momen yang saya rasa paling kaya sepanjang hidup!
Dan ternyata bantuan Allah itu sangat pantas melalui insan sekeliling. Masalah tunggakan bil air berjaya dilunaskan pada malam itu juga. Keesokannya, kami sekeluarga kembali berpeluang mendapat nikmat air.
Bulan itu kami melalui hari-hari yang tawar, namun tenang. Hidup perlu diteruskan. Beberapa komitmen bulanan menunggu untuk dilangsaikan. Hidup berbekalkan saki-baki wang ehsan adik-beradik yang semakin susut.
Kami berjimat sehabis mungkin. Yang mana perlu dahulukan, didahulukan. Yang belum mendesak, letak ke tepi dahulu.
Niat sedekah walaupun tengah susah

Suatu petang, saya skrol FB. Tiba-tiba melintas satu berita tentang kematian mengejut suami seseorang. Melihat nama si isteri yang di-‘tagged’, saya sebak! Saya kenal dia! Kami bukan kenal rapat pun. Hanya sesekali berurusan berkaitan buku atau berbalas komen di status saya.
Tapi entah kenapa, saya amat terkesan dengan berita itu. Fikiran saya asyik teringat-ingat nombor akaun yang disertakan pada status tu. Saya dah tak boleh nak tumpu benda lain. Bagaikan ada satu perasaan yang mendesak-desak untuk saya berikan juga sumbangan.
Tapi, macamana? Saya tak ada duit! Hakikat yang buatkan saya terus resah. Dan ofkos, sedih.
Ligat saya fikir jika ada duit saya yang tersesat di mana-mana. Dan ketika itulah terlintas wajah Faizah Ahmad. Saya mesej dia.
“Cik Pae, saya nak kongsi berita sedih. Ada seorang customer saya, hari ni saya dapat tahu suaminya meninggal. Dia ada anak lima yang masih kecil. Saya teringin nak bagi sumbangan, tapi sekarang ni saya tak ada duit. Boleh tak cik Pae gunakan duit komisen dropship saya tu untuk bagi pada dia.”
“Sekejap ya, saya cek. Setakat ni komisen kak long RM120. Kak long nak saya bagi untuk dia berapa banyak?”
“Semua!”
Semua? Ya, semua. Gerak hati saya mahukan begitu.
Hakikatnya masa tu, hanya itulah sumber duit yang saya masih ada untuk menampung apa yang tidak cukup.
Dalam keadaan begitu, jumlah itu sangat besar nilainya. Tapi itulah keputusan yang tak sedikit pun saya kesal malah saya berasa lega selega-leganya.
Keputusan yang berlandaskan kepada gerak hati dan keyakinan bahawa Allah bukan saja-saja membiarkan berita sahabat saya itu melintas di wall FB saya.
Keputusan yang sekaligus meletakkan diri pada kedudukan ‘tidak punya apa-apa’. Keputusan yang juga bermakna duit yang ada dalam akaun akan kekal RM6.90 sahaja.
Fikiran saya ketika itu hanya mahu berniaga dengan Allah. Hanya itu.
Rezeki datang mencurah
Dan sesungguhnya, janji Allah itu benar. Allah tak tunggu lama untuk tunjukkan keajaiban-Nya.
Keesokan pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang, minta nombor akaun. Sebak saya sebaik melihat nilai dalam akaun yang tiba-tiba bertambah RM 2 ribu. Ya Allah, cepatnya Allah ganti!
Petang pula, kami didatangi tetamu yang datang mengejut. Bergegas saya naik ke atas, pakai tudung dan apabila saya turun, dia beritahu ada bawakan makanan sikit.
Saya ke dapur dan terkedu. Saya fikir sekadar makanan untuk minum petang yang boleh saya hidangkan, rupa-rupanya penuh bekalan barang dapur untuk kami sekeluarga. Ayam, ikan, telur, minyak, beras, sos dan segala bahan basah untuk memasak.
Ya Allah, baiknya Allah! Dicukupkan keperluan kami melalui mereka. Sebak!
Saya minta diri buatkan air. Ketika itu, saya kembali gelisah. Hanya ada air. Nak jamu apa? Keropok keping yang mak mertua bawakan beberapa hari lepas baru sahaja habis anak-anak goreng pagi tadi.
Saya buka kabinet, dengan harapan biskut kering gula yang suami beli hari tu masih ada. Dah habis juga! Allahu ….
Ketika itulah terdengar bunyi hon di luar rumah. Poslaju hantarkan satu kotak besar. Ya, memang saya tahu abang ipar ada cakap nak kirimkan serunding. Tapi tidaklah saya jangkakan sebesar itu kotaknya.

Di dalamnya ada tepung, biskut, kopi, teh, susu, ikan bilis dan segala jenis barang kering yang penuh satu kotak. Juga beberapa jenis keropok kering yang boleh digoreng. Dapatlah kami menjamu tetamu.
Ya Allah macam tak percaya!
Hari itu, subhanallah, lengkap stok makanan di dapur kami, barang basah dan barang kering yang sangat cukup untuk keperluan seminggu dua. Juga duit untuk membayar segala komitmen yang lain.
Cepatnya Allah ganti! Semuanya kami tak cari pun, tapi Allah yang hantar. Indahnya cara Allah cukupkan keperluan kami melalui mereka ini.
Betapa cantiknya Allah susun sehinggakan tak sempat pun nak susah hati dengan baki duit yang hanya tinggal RM6.90 semalam.
Selesai mengiringi mereka pulang, saya ternampak ada surat dalam peti pos. Saya ambil dan baca. Hilang senyuman yang baru mekar tadi sebaik melihat surat lawyer yang minta menjelaskan bayaran tunggakan kereta. Allah … .
Ketika itu, saya tidak terfikir yang lain kecuali untuk cuba memohon lanjutan tempoh moratorium yang ditawarkan ketika itu.
Dua hari kemudian,
“Kak long, saya masukkan 5 ribu. Bayar duit tunggakan kereta dan selebihnya buat belanja anak-anak ya.”
Subhanallah!
Diam tak diam, tiga bulan kami hidup tanpa pendapatan, menjalani hari-hari esok yang tak pasti, namun ajaibnya dalam tempoh itu sedikit pun kami tidak berasa kekurangan.
Betapa satu nikmat yang paling besar bagi saya adalah dikelilingi oleh sangat ramai orang yang baik-baik, yang tak pernah lokek menawarkan bantuan.
Buat sahabat yang pernah bertanyakan saya, “Kenapa tak beritahu sedang susah?”
Saya tahu dia rasa bersalah. Maka, inilah jawapannya.
Kerana Allah terlebih dahulu mencukupkan keperluan kami tanpa saya sempat pun meminta-minta. Allah hantarkan hamba-hamba-Nya yang terpilih untuk menolong kami dengan cara yang begitu indah dan tersusun sekali. Segalanya tepat pada masa yang kami perlukan.
Betapa Allah lebih tahu bila dan apa yang kami perlu.
Sepanjang tempoh itu memang saya banyak menangis. Bukan menangis sebab kesedihan, tapi menangis kerana mengenangkan keindahan dan kasih sayang Allah.
Jika mahu dihitung nikmat yang kami dapat dengan ujian yang kami terima, sangat jauh bezanya. Nikmatnya terlalu banyak sehinggakan tak terasa pun pahitnya ujian itu. Betapa baiknya Allah sehingga saya jadi malu hendak mengeluh dengan ujian yang sedikit itu.
Sungguh, pengalaman ini mengajar saya tentang banyak perkara.
Paling penting, Allah first!
Apa pun yang berlaku cari Allah dahulu. Jangan mulakan dengan mencari-cari salah orang kerana makin dicari salah orang, makin kita sukar untuk tenang.
Fokus kepada apa yang kita boleh kawal. Kita jadi resah bila kita sibuk nak membetulkan perkara yang kita tak boleh kawal. Redha dan tawakal. Buat kerja kita dan selebihnya serah kepada Allah.
Faham dan sematkan betul-betul dalam hati bahawa hidup ini adalah medan ujian. Bila kita faham tentang hakikat itu, kita akan fokus cari jalan untuk lulus ujian. Bukan memprotes. Ya, mungkin Allah datangkan ujian yang sama untuk kali kedua kerana saya masih belum lulus pada ujian pertama.
Ujian tanda Allah sayang. So, please …. embrace the moment!
Kadang, dalam keadaan kekalutan kita jadi terlupa betapa ini adalah momen istimewa yang sepatutnya kita raikan. Momen untuk kita bermanja-manja dengan Dia.
Jika kita bersungguh menikmati momen itu, maka kita akan dapat rasakan betapa indahnya hidup ber-Tuhan, betapa dekatnya Dia dengan kita dan betapa manisnya ujian itu.
Pengalaman itu juga buatkan doa saya kini berubah.
Saya tidak lagi minta Allah bagi saya kaya supaya saya dapat bersedekah. Tapi saya minta Allah bagi saya RASA kaya supaya saya sentiasa mampu bersedekah walaupun dalam apa juga keadaan.
Sumber: Farizah Shamsudin
*Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
“Pernah Terfikir Pergi Balik Hari UK Ke Malaysia” Kasih Iris Leona Guna Duit Sendiri Balik Tanah Air

“Saya pernah terfikir hendak pergi balik hari dari UK (United Kingdom) ke Malaysia, tetapi saya tidaklah berbuat demikian,” kata pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona, 24, mengenai tindakannya sanggup kerap pulang ke tanah air kerana sukar membiasakan diri dengan kehidupan di luar negara.
Difahamkan, sejak meninggalkan tanah air untuk melanjutkan pelajaran ke UK pada September 2022, Leona sudah beberapa kali balik ke sini.
Leona yang juga anak pelakon popular, Azhar Sulaiman berkata, dia bukan tidak bersyukur dan tidak menyalahkan mana-mana pihak yang melihatnya sebagai anak manja kerana sikap dan imejnya itu.
Leona berkata, dia menggunakan wang saku hasil pendapatannya sebagai pempengaruh media sosial untuk menampung kos dia pulang ke tanah air.
“Saya bersyukur dikurniakan rezeki dan terima kasih buat pihak pengurusan saya yang merencana kerjaya saya sebaik mungkin. Mereka berusaha keras untuk mencari peluang pekerjaan dari aspek media sosial dan sebagainya.
“Mungkin ada segelintir pihak yang salah sangka yang saya mengambil wang saku daripada keluarga, namun hakikatnya saya sudah bekerja sejak habis sekolah lagi. Malah, semasa di UK pun kebanyakannya saya menggunakan wang saya. Namun, saya tidak dinafikan yuran dibayar oleh ibu bapa saya,” katanya.
Sementara itu, Leona menjelaskan statusnya masih lagi solo kerana ibunya tidak membenarkan dia bercinta buat masa sekarang.
Biarpun menyambung pelajaran di luar negara, Leona menjelaskan tidak tertarik dengan lelaki ‘mat salih’ untuk dijadikan kekasih dan lebih meminati lelaki Asia.
“Tidak sama sekali kerana saya tidak meminati jejaka berbangsa ‘mat salih’. Saya hanya keluar dan mengenali lelaki Asia, jadi tidak terkejut jika saya katakan di UK saya hanya keluar dengan lelaki Asia.
“Saya terbuka untuk mengenali ‘mat salih’ namun beberapa sebab yang membuatkan saya lebih cenderung menjadikan lelaki Asia sebagai kekasih.
“Ada banyak sebab. Antaranya lelaki Asia lebih berbudi bahawa, bersopan santun dan baik. Untuk mencari teman lelaki, saya tidak memandang rupa mereka. Asalkan mereka baik dan tahu melayan saya sepatutnya, itu sudah memadai,” tambahnya.
Sumber : Harian Metro