Benarkah Minum Air Kelapa Akibatkan Fungsi Ubat Berkurang. Ikuti Penjelasan Pakar Ini.

Share

Masih ingat lagi ketika masih kecil, jika demam, air kelapa akan dijadikan minuman penyejuk badan. Bukan itu sahaja, airr kelapa dikatakan sebagai penawar untuk penyakit.

Malah ada juga mengatakan, air kelapa tidak boleh diminum ketika makan ubat. Ia dipercayai mengakibatkan fungsi ubat berkurang.

Sejauhmanakah kebenaran hal ini telah dijelaskan oleh pakar Dr Fatimah Salim melalui grup Makmal Makanan (MaMa).

Ikuti perkongsMiannya.

Ada ahli Maa yang bertanya mengenai potensi air kelapa dalam mengurangkan fungsi ubat. Soalan ini sebenarnya merujuk kepada tindakbalas ubat yang dimakan bersama dengan komponen kimia dalam air kelapa.

Baiklah… untuk menjawab soalan ini, kita harus ambil tahu kandungan kimia dalam air kelapa itu sendiri untuk memastikan kebarangkalian berlakunya tindakbalas komponen kimia atau fungsi badan untuk terganggu.

Air kelapa mengandungi hampir 94% bahan kimia dihidrogen monoksida (H2O- aka air). Selebihnya 5% adalah gula ringkas iaitu glukosa, fruktosa dan sukrosa, manakala 1% lagi adalah zat seperti ion potassium dan natrium, disamping sedikit hormon tumbesaran, enzim, asid amino dan vitamin.

Disebabkan kandungan ini, air kelapa sangat sesuai untuk menghilangkan dahaga dan boleh juga berfungsi sebagai penyeimbang bendalir dalam dan luar sel-sel badan (aka elektrolit).

Komponen kimia yang sering dikaitkan dengan tindakbalas air kelapa dan ubatan kepada fungsi badan ialah zat potassium aka kalium (K+) yang tinggi iaitu sekitar 250 mg dalam setiap 100 g. Contoh ubatan yang boleh terkesan dengan zat potassium yang tinggi ialah ubat darah tinggi yang bertindak sebagai perencat reseptor ACE. Ubatan sebegini boleh menyebabkan jumlah potassium badan meningkat.

Dengan pertambahan potassium dari air kelapa lagi, pastinya akan menyebabkan jumlah potasium dalam badan menjadi tinggi. Zat potassium yang tinggi dalam badan boleh menggangu fungsi jantung, apa lagi bagi mereka yang mengalami masalah buah pinggang yang sepatutnya mengumuhkan potassium berlebihan dari badan.

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan air kelapa boleh berinteraksi dengan fungsi ubat darah tinggi di mana hasilnya boleh mengurangkan tekanan darah sistolik pada pesakit hipertensi (darah tinggi). Maksudnya, mereka yang meminum air kelapa bersama dengan ubat darah tinggi mungkin boleh menyebabkan ubat menjadi lebih kuat dan pesakit berisiko menghadapi tekanan darah lebih rendah daripada yang sepatutnya (hipotensi). Antara gejala tekanan darah terlalu rendah ialah pening, pitam, lemah, loya, keliru dan tidak sedarkan diri. Kajian juga menunjukkan air kelapa boleh menghalang proses pembekuan darah (antitrombotik). Maka, elakkan mengambilnya semasa dan selepas pembedahan agar proses penyembuhan luka boleh berlaku dengan cepat.

Pun begitu, usah lah panik. Selain air kelapa, banyak lagi makanan yang kaya dengan zat potassium seperti pisang 358 mg, ubi kentang 421 mg, durian 436 mg, sayuran hijau seperti bayam 558 mg, dan kekacang (kacang hijau 1,246 mg, kacang soya 1,797 mg) dalam setiap 100 g. Cuma air kelapa adalah dalam bentuk cecair (mudah dihadam), maka mungkin lebih cepat daya serapan badan berlaku.

Sebenarnya interaksi ubat dan makanan biasa saja berlaku. Interaksi ini boleh menyebabkan sama ada meningkatnya atau berkurangnya kesan ubat terhadap badan. Contoh yang paling biasa ialah kadar serapan zat besi akan menjadi rendah jika diambil dengan susu atau kopi. Makanan tinggi kandungan zat kalsium (susu, keju, yoghurt) boleh mengganggu daya serapan sesetengah jenis antibiotik. Kesan ubat anti-kolesterol (Lipitor- statin) akan berkurangan terhadap badan jika diambil bersama dengan makanan yang tinggi kandungan lemak seperti butter, daging berlemak, santan dan juga jus limau gedang (grapefruit). Maka, pentingnya sebelum mengambil sebarang ubatan, bertanyakan kepada doktor yang merawat, ahli farmasi atau boleh juga baca pada nota kecil ubatan tersebut.

Secara umumnya air kelapa ada potensi berinteraksi dengan fungsi ubat terutamanya ubat darah tinggi. Maka, pesakit darah tinggi tidak digalakkan mengambil ubat berkaitan BERSAMA dengan air kelapa bagi mengelakkan penambah kesan ubat.

Elakkan mengambil air kelapa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan bagi mengelakkan proses penyembuhan luka menjadi lambat. Begitu juga mereka yang mempunyai masalah buah pinggang yang kurang cekap mengumuhkan zat potassium yang berlebihan.

Apa-apa pun, seperti yang saya selalu tekankan, FAHAMI tahap kesihatan badan sendiri. Lain individu, lain sensitiviti badannya, usah pukul rata. Ingat, apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat.

Kredit:Fatimah Salim via Makmal Makanan (MaMa)