Masih ingat lagi ketika masih kecil, jika demam, air kelapa akan dijadikan minuman penyejuk badan. Bukan itu sahaja, airr kelapa dikatakan sebagai penawar untuk penyakit.
Malah ada juga mengatakan, air kelapa tidak boleh diminum ketika makan ubat. Ia dipercayai mengakibatkan fungsi ubat berkurang.
Sejauhmanakah kebenaran hal ini telah dijelaskan oleh pakar Dr Fatimah Salim melalui grup Makmal Makanan (MaMa).
Ikuti perkongsMiannya.
Ada ahli Maa yang bertanya mengenai potensi air kelapa dalam mengurangkan fungsi ubat. Soalan ini sebenarnya merujuk kepada tindakbalas ubat yang dimakan bersama dengan komponen kimia dalam air kelapa.
Baiklah… untuk menjawab soalan ini, kita harus ambil tahu kandungan kimia dalam air kelapa itu sendiri untuk memastikan kebarangkalian berlakunya tindakbalas komponen kimia atau fungsi badan untuk terganggu.
Ads
Air kelapa mengandungi hampir 94% bahan kimia dihidrogen monoksida (H2O- aka air). Selebihnya 5% adalah gula ringkas iaitu glukosa, fruktosa dan sukrosa, manakala 1% lagi adalah zat seperti ion potassium dan natrium, disamping sedikit hormon tumbesaran, enzim, asid amino dan vitamin.
Disebabkan kandungan ini, air kelapa sangat sesuai untuk menghilangkan dahaga dan boleh juga berfungsi sebagai penyeimbang bendalir dalam dan luar sel-sel badan (aka elektrolit).
Komponen kimia yang sering dikaitkan dengan tindakbalas air kelapa dan ubatan kepada fungsi badan ialah zat potassium aka kalium (K+) yang tinggi iaitu sekitar 250 mg dalam setiap 100 g. Contoh ubatan yang boleh terkesan dengan zat potassium yang tinggi ialah ubat darah tinggi yang bertindak sebagai perencat reseptor ACE. Ubatan sebegini boleh menyebabkan jumlah potassium badan meningkat.
Dengan pertambahan potassium dari air kelapa lagi, pastinya akan menyebabkan jumlah potasium dalam badan menjadi tinggi. Zat potassium yang tinggi dalam badan boleh menggangu fungsi jantung, apa lagi bagi mereka yang mengalami masalah buah pinggang yang sepatutnya mengumuhkan potassium berlebihan dari badan.
Ads
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan air kelapa boleh berinteraksi dengan fungsi ubat darah tinggi di mana hasilnya boleh mengurangkan tekanan darah sistolik pada pesakit hipertensi (darah tinggi). Maksudnya, mereka yang meminum air kelapa bersama dengan ubat darah tinggi mungkin boleh menyebabkan ubat menjadi lebih kuat dan pesakit berisiko menghadapi tekanan darah lebih rendah daripada yang sepatutnya (hipotensi). Antara gejala tekanan darah terlalu rendah ialah pening, pitam, lemah, loya, keliru dan tidak sedarkan diri. Kajian juga menunjukkan air kelapa boleh menghalang proses pembekuan darah (antitrombotik). Maka, elakkan mengambilnya semasa dan selepas pembedahan agar proses penyembuhan luka boleh berlaku dengan cepat.
Pun begitu, usah lah panik. Selain air kelapa, banyak lagi makanan yang kaya dengan zat potassium seperti pisang 358 mg, ubi kentang 421 mg, durian 436 mg, sayuran hijau seperti bayam 558 mg, dan kekacang (kacang hijau 1,246 mg, kacang soya 1,797 mg) dalam setiap 100 g. Cuma air kelapa adalah dalam bentuk cecair (mudah dihadam), maka mungkin lebih cepat daya serapan badan berlaku.
Ads
Sebenarnya interaksi ubat dan makanan biasa saja berlaku. Interaksi ini boleh menyebabkan sama ada meningkatnya atau berkurangnya kesan ubat terhadap badan. Contoh yang paling biasa ialah kadar serapan zat besi akan menjadi rendah jika diambil dengan susu atau kopi. Makanan tinggi kandungan zat kalsium (susu, keju, yoghurt) boleh mengganggu daya serapan sesetengah jenis antibiotik. Kesan ubat anti-kolesterol (Lipitor- statin) akan berkurangan terhadap badan jika diambil bersama dengan makanan yang tinggi kandungan lemak seperti butter, daging berlemak, santan dan juga jus limau gedang (grapefruit). Maka, pentingnya sebelum mengambil sebarang ubatan, bertanyakan kepada doktor yang merawat, ahli farmasi atau boleh juga baca pada nota kecil ubatan tersebut.
Secara umumnya air kelapa ada potensi berinteraksi dengan fungsi ubat terutamanya ubat darah tinggi. Maka, pesakit darah tinggi tidak digalakkan mengambil ubat berkaitan BERSAMA dengan air kelapa bagi mengelakkan penambah kesan ubat.
Elakkan mengambil air kelapa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan bagi mengelakkan proses penyembuhan luka menjadi lambat. Begitu juga mereka yang mempunyai masalah buah pinggang yang kurang cekap mengumuhkan zat potassium yang berlebihan.
Apa-apa pun, seperti yang saya selalu tekankan, FAHAMI tahap kesihatan badan sendiri. Lain individu, lain sensitiviti badannya, usah pukul rata. Ingat, apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat.
Pernah tengok tak selalu kat dinding rumah atau perabut ada benda kecil halus je selalu melekat. Nak kata serpihan pokok pun tak, nak kata macam sarang serangga pun ye juga, kan?
Sedar tak sedar, tiba-tiba naik sana sini benjol kat badan. Nak kata sebab nyamuk, rasa macam tak ada nyamuk dalam bilik. Malah, benjolan tu kadang-kadang tak hilang pun walaupun dah berminggu. Dah la tak hilang, sakit dan gatal pula tu!
Rupanya benda yang melekat dan penyebab kita dapat benjol tu dari Kamitetep atau Phereoeca Uterella.
Apa Itu Kamitetep?
Kamitetep adalah larva atau ulat daripada sejenis rama-rama, biasanya akan membawa cengkerang yang bersaiz seperti biji timun untuk dijadikan tempat tinggal. Kecil saja, kira-kira sebesar ulat sampah.
Kepompongnya siap untuk metamorfosis menjadi kupu-kupu. Kepompong yang dibuat oleh larva ini biasanya terdiri daripada serat sutera yang dicampurkan dengan pasir atau debu dan juga boleh berasal daripada tanah.
Kepompong berbentuk kuaci ini biasanya akan mempunyai jalan keluar dari depan dan belakang atau dua arah untuk memudahkan ulat di dalamnya masuk dan keluar. Walaupun kamitetep tidak akan keluar sepenuhnya dari kompompong, tetapi hanya sebahagian atau separuh badan yang akan keluar untuk mencari makanan.
Kamitetep adalah serangga atau hama parasit, serangga beracun kecil ini biasanya akan memakan fabrik kain dan jaring labah-labah kecil. Padanlah selalunya ia juga suka melekap pada sarang labah-labah!
Haiwan ini biasanya tinggal di tempat yang tersembunyi tetapi mempunyai suhu yang hangat seperti di bawah katil atau sofa, kerana haiwan ini juga akan makan di atas kain yang terdapat di sekitarnya.
Oleh itu, korang mesti membersihkan kawasan-kawasan ini dengan tekun jika tidak mahu terkena sengatan ini.
Tubuh kamitetep setelah menjadi rama-rama akan mempunyai sayap yang panjangnya sekitar 13 mm. Perkara yang sangat mengagumkan dan mengerikan adalah, rama-rama dari kamitetep masih dapat bertelur sebanyak 200 biji dalam satu putaran telurnya. Telur akan disembunyikan di tempat yang mereka anggap selamat sehingga boleh menetas!
Beracun
Semasa menyengat atau menggigit, biasanya kamitetep akan meninggalkan bulu di tempat yang disengat. Bulu itu yang akan menyebabkan lebam dan bengkak dengan rasa sakit dan gatal yang teruk.
Bengkak dan lebam yang disebabkan oleh sengatan serangga biasanya akan berlangsung selama beberapa hari bahkan lebih dari satu minggu kemudian akan menjadi hitam jika dibiarkan.
Luka digigit kamitetep boleh dirawat dengan mengoleskan balsem atau juga boleh menggunakan ubat gatal. Tetapi biasanya gatal akan terasa lagi setelah kesan balsem hilang.
Terdapat cara tradisional yang cukup berkesan untuk merawat gatal setelah digigit serangga beracun ini dengan meletakkan pita atau pelekat pada benjolan daripada bekas gigitan kamitetep.
Setelah pita diletakkan di bahagian benjolan, tarik secepat mungkin sehingga bulu penyengat haiwan akan dikeluarkan oleh pita tersebut. Selain itu, korang juga boleh menggunakan kapas yang sebelumnya telah direndam dalam minyak tanah atau juga menggunakan kapur barus yang dicampurkan dengan air dan kemudian digunakan pada bekas gigitan kamitetep, menurut perkongsian pestcontroljakarta.com
Cara membasmi kamitetep disarankan dengan bantuan pihak pest control kerana haiwan ini suka bersembunyi sehingga akan sulit ‘menangkap’ dan menghapuskannya.
Sama ada sedar atau tidak, ada buah-buahan dan sayur-sayuran bila kita makan, perut akan rasa kurang selesa. Badan rasa lemah sahaja, terasa perut ‘berangin’ semacam.
Ada individu yang mengelakkan diri daripada makan buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu kerana tidak mahu rasa kurang selesa pada perut. Rasa tidak selesa ini boleh menganggu aktiviti harian.
Buah & Sayur Ada Yang Boleh Sebabkan Angin
Kenapakah memakan sesetengah buah atau sayur boleh menyebabkan angin dan ‘kembang urat’?
Sebenarnya jenis tumbuhan seperti nangka, sukun, tarap, kekacang (legumes) dan yang seangkatan dengannya mengandungi bahan kimia. Ianya dari kumpulan karbohidrat seperti raffinose, stachyose, verbascose yang tidak boleh dicerna oleh tubuh manusia kerana kekurangan atau ketiadaan enzim alfa-galactoside.
Keberadaan enzim ini adalah bergantung kepada genetik dan peningkatan usia. Maka, usahlah hairan jika dulu kita makan tiada masalah dan kini mudah terkesan. Disebabkan ketiadaan enzim khusus, maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh bakteria yang ada dalam usus besar kita melalui fermentasi.
Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut.
Sekiranya gas ini tidak dikeluarkan, ianya akan terus terkumpul/ terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’. Harus diingat ‘angin’ ini ialah ‘benda asing’ yang berada dalam badan. Maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisma yang mampu menggangu keseimbangan proses kimia badan yang lain.
Kembang Urat, Awas Ye Mak-mak
Ketidakseimbangan kimia badan ini akan menyebabkan kita berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu. Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’.
Tujuannya adalah sebagai ‘signal’ untuk kita berbuat sesuatu atau badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (Self-healing). Bahagian mana yang terkesan dan bagaimana, adalah bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang mudarat kepada system badan.
Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang pergi berurut. Ada yang ambil ubat tahan sakit, ada juga yang ambil ubat buang angin. Ada yang baik sendiri hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semula jadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi.
Pun begitu, sesetengah orang tidak mengalami masalah ‘angin’ ini disebabkan mempunyai enzim alpha-galactoside yang cukup dan/ atau juga memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.
TIP UNTUK SISTEM PENGHADAMAN YANG BAIK:
1) Amalkan senaman yang bersesuaian untuk mengaktifkan sel-sel badan termasuklah dalam sistem penghadaman. Bakteria yang baik sukakan badan yang sihat untuk ditumpang (win win situation).
2) Kunyah makanan jenis ini lama-lama untuk mengecilkan saiz makanan. Air liur mungkin mengandungi enzim alpha-galactoside yang boleh membantu dalam proses penguraian bahan kimia karbohidrat ini dan mengurangkan fermentasi oleh bakteria dalam usus besar.
3) Jenis kekacang atau beras pulut boleh rendam dulu untuk memudahkan proses penghadaman, seterusnya mengurangkan fermentasi oleh bakteria.
4) Amalkan sayuran dalam diet pemakanan sebagai sumber serat (prebiotik) dan fitokimia yang bagus.
5) Kurangkan makanan terproses. Kurangkan pengambilan gula tersedia.
6) Boleh tambahkan makanan difermentasi yang mengandungi mikrob baik (sumber probiotik) seperti yoghurt, tempoyak, tapai untuk mempelbagaikan flora bakteria dalam usus.
Petua terbaik hilangkan segala bengkak pada anggota badan termasuk bengkak kelenjar, ketumbuhan, bengkak gusi, kaki, mata dan sebagainya.
Perkongsian seorang sahabat yang pernah menderita kanser stage 3. Sepanjang dalam proses rawatan inilah doa yang di amalkan sehingga kini beliau sembuh sepenuhnya.
Kemudian diikuti dengan doa surut bengkak. Semasa baca doa ini pejam mata dan bayangkan Allah mengecutkan bengkak, mematikan akar dan menyembuhkan segala luka.
Setap usaha yang kita lakukan sandarkan pada Allah. Dapatkan nasihat Doktor kemudian susuli dengan doa-doa syifa’ agar kita sentiasa tenang dan hampir dengan Allah SWT.
Kredit: Aminah Mat Yusoff
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Tangguh SPM, gadis 17 tahun perlu jalani rawatan kanser ovari. Seorang remaja perempuan yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terpaksa menangguhkannya kerana perlu menumpukan rawatan kanser ovari yang dihidapi sejak tahun lalu.