Keibubapaan

Belum Masanya Kongsi Wajah Anak, Nabila Razali Bimbang Penyakit Ain!

Share

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali masih belum bersedia untuk berkongsi wajah dan nama anak lelakinya kepada khalayak walaupun sudah lebih dua bulan menimang cahaya mata.

Menurut kata Nabila, salah satu perkara yang menjadi kebimbangannya dan suami adalah risiko penyakit ain yang boleh menimpa bayinya itu.

Nabila atau Nur Nabila Mohd Radzali, 33, berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan suaminya.

“Saya dan suami ada pemahaman yang sama dan bersetuju untuk tidak dedahkan wajah dan nama anak buat masa sekarang.

“Saya sedar ramai yang bertanya, cuma saya pasti semua akan tahu juga. Mana yang boleh kita simpan hanya untuk keluarga, kita simpan dulu.

“Ya risau juga dengan penyakit ain dan sekarang pun macam-macam kes berlaku membabitkan bayi. S

aya tak nak ambil risiko, tambahan pula bila menjadi figura awam ni saya risau mungkin akan diperhatikan.

“Orang biasa pun boleh jadi mangsa inikan pula saya yang kerjanya perlu berjumpa orang ramai,” katanya.

Nabila bagaimana pun berkata dia akan berkongsi wajah buah hati tersayangnya bersama suami bila sampai masanya kelak.

“Insya-Allah kalau sudah bersedia nanti saya akan kongsi di media social,” ujarnya berkongsi.

Terdahulu, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.