
Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali masih belum bersedia untuk berkongsi wajah dan nama anak lelakinya kepada khalayak walaupun sudah lebih dua bulan menimang cahaya mata.
Menurut kata Nabila, salah satu perkara yang menjadi kebimbangannya dan suami adalah risiko penyakit ain yang boleh menimpa bayinya itu.
Nabila atau Nur Nabila Mohd Radzali, 33, berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan suaminya.
“Saya dan suami ada pemahaman yang sama dan bersetuju untuk tidak dedahkan wajah dan nama anak buat masa sekarang.
“Saya sedar ramai yang bertanya, cuma saya pasti semua akan tahu juga. Mana yang boleh kita simpan hanya untuk keluarga, kita simpan dulu.
“Ya risau juga dengan penyakit ain dan sekarang pun macam-macam kes berlaku membabitkan bayi. Saya tak nak ambil risiko, tambahan pula bila menjadi figura awam ni saya risau mungkin akan diperhatikan.
“Orang biasa pun boleh jadi mangsa inikan pula saya yang kerjanya perlu berjumpa orang ramai,” katanya.
Nabila bagaimana pun berkata dia akan berkongsi wajah buah hati tersayangnya bersama suami bila sampai masanya kelak.
“Insya-Allah kalau sudah bersedia nanti saya akan kongsi di media social,” ujarnya berkongsi.
Terdahulu, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.
Yuran Tadika, Taska Naik Hingga 25 Peratus Tahun Depan, Ibu Ayah Rancanglah Bajet Dengan Bijak

Isi Kandungan
ToggleYuran tadika, taska naik hingga 25 peratus tahun depan, ibu ayah rancanglah bajet dengan bijak. Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan.
Yuran Tadika, Taska Naik Hingga 25 Peratus Tahun Depan
Kenaikan itu adalah susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.
PERSATUAN TADIKA ISLAM MALAYSIA (PERTIM) DAN PERSATUAN PENDIDIK INSTITUSI PENDIDIKAN NEGERI JOHOR, YANG MENAUNGI PENGUSAHA TADIKA, SELAIN PERSATUAN PENGASUHAN DAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK BERDAFTAR MALAYSIA YANG MENAUNGI PENGUSAHA TASKA MENGESAHKAN KENAIKAN YURAN PERKHIDMATAN DITAWARKAN KIRA-KIRA 4,500 AHLI MEREKA SUSULAN KENAIKAN KOS OPERASI.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.
Ibu Ayah Rancanglah Bajet Dengan Bijak
Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.
PADA PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2025 JUMAAT LALU, KERAJAAN BERSETUJU MENAIKKAN KADAR GAJI MINIMUM KEPADA RM1,700 SEBULAN DARIPADA RM1,500 KINI BERKUAT KUASA 1 FEBRUARI TAHUN DEPAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norazlina Adom, berkata yuran baharu taska seluruh negara akan naik antara 13 hingga 20 peratus mulai tahun depan, susulan pengumuman gaji minimum baharu.
Katanya, kira-kira 3,000 taska di seluruh negara termasuk 250 di Johor akan mengenakan yuran baharu itu mulai Januari depan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor berkata, pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan itu sangat dialu-alukan susulan bebanan kerja kakitangan taska yang berat dalam memastikan keselamatan bayi serta kanak-kanak jagaan mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah dijangka susulan pengumuman gaji minimum baharu mulai Februari depan.
Katanya, peningkatan kos operasi perkhidmatan dan barangan sudah pasti dipindahkan kepada pengguna yang akan merasai bebanan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Tadika Mahal Tidak Jamin Anak Hebat. Ini Sebab Ibu Bapa Kena Tahu. Baca Penjelasan Pakar Ini!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Harga Barang Bakal Naik Lagi? Pakar Ekonomi Beri Ramalan 2025

Peningkatan harga barang dan perkhidmatan dijangka akan memberi kesan kepada ramai tahun depan, terutamanya selepas beberapa perkara yang disebut dalam Belanjawan 2025. Antaranya peluasan skop SST dan kenaikan gaji minimum ke RM1,700 sebulan. Pembaca pastinya tertanya-tanya, adakah perubahan ini akan menambah beban kos hidup harian kita?
Sebagaimana laporan Sinar Harian, pandangan Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menjelaskan mengenai isu yang menjadi bualan masyarakat kini. Menurut pakar ekonomi ini, jangkaan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang susulan peningkatan gaji penjawat awam serta penyasaran subsidi petrol RON95.

“Lazimnya peniaga memang sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan harga dan wujud peluang itu kerana mulai 1 Disember ini gaji penjawat awam meningkat sebelum kenaikan gaji minimum berkuat kuasa 1 Februari 2025.
“Peniaga melihat pengguna mempunyai kuasa beli yang lebih dan mereka menaikkan harga dengan alasan terpaksa membayar gaji lebih, kos overhead selain peningkatan kos belian barang premium yang diimport serta barang-barang tersenarai bawah peluasan SST,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan peluasan skop SST secara progresif berkuat kuasa 1 Mei 2025.
Barjoyai turut tidak menolak kemungkinan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berkenaan berlaku dalam peratusan yang agak tinggi kerana peniaga akan mengambil kira kesan pengganda daripada kenaikan kos dan cukai yang mereka alami.

“Kesan berangkai berlaku di segenap peringkat perniagaan misalnya, di peringkat pengeluar kerana apabila gaji naik dan berlaku peluasan cukai, mereka akan mengalami kenaikan kos. Kenaikan kos itu akan diserap dalam harga barang.
“Apabila pemborong ambil barang itu dengan harga yang naik, barang itu akan pergi kepada peruncit dengan harga turut meningkat sebelum ia sampai kepada peniaga makanan.
“Peniaga makanan pula akan menaikkan harga pada kadar jauh lebih tinggi daripada kenaikan kos,” ujarnya.
Barjoyai menjelaskan, akhirnya akan dapat dilihat bahawa semua peringkat perniagaan menaikkan harga sekali gus menjadikan kenaikan harga berlaku secara meluas.
“Jadi peningkatan harga diramal agak besar walaupun kadar inflasi negara hari ini tidak sampai dua peratus.
“Bagaimanapun saya tidak dapat anggarkan peratus kenaikan harga ini secara spesifik. Namun ketika ini kos makanan semuanya sedang meningkat dan ia akan terus menaik,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggerakkan secara lebih agresif pasukan pemantau untuk pastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya melebihi apa yang sepatutnya.
Sumber: Sinar Harian
Calon SPM Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah, Sepatutnya Duduki Ujian Bertutur

Isi Kandungan
ToggleCalon SPM maut dalam perjalanan ke sekolah, sepatutnya duduki ujian bertutur. Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu hari ini.
Calon SPM Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah
Motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Kilang Berapi, Merlimau, Jasin, Melaka. Kejadian itu berlaku ketika remaja itu dalam perjalanan ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata dalam kemalangan kira-kira 7.30 pagi itu, Adib Irfan Mohd Nizam, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.

Sepatutnya Duduki Ujian Bertutur
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang mangsa dari arah Umbai menghala ke SMK Dang Anum terbabas dan mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan itu sebelum melanggar tembok batu di bahu jalan di Jalan Kilang Berapi.
“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah pada badan dan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: BERNAMA
Baca artikel lain juga: Keluarga Rayu Kembalikan Telefon Bimbit, Suami Meninggal Kemalangan. 7 Tahun Tunggu Zuriat!
Nahas Pelajar UiTM Dungun, Muhammad Ammar Danish Sebak Ingat Kenangan Manis Bersama Rakan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my