“Bella Performed Well!” Tampil Bak Puteri Serlahkan Semangat & Keberanian Adik Bella

Share

Seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun yang lebih dikenali sebagai Adik Bella hari ini dilaporkan hadir ke Mahkamah Sesyen untuk memberikan keterangan dalam prosiding tertutup tentang kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya, tahun lepas.

Sebelum remaja itu memberi keterangan, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan kes itu akan dijalankan secara tertutup kerana Bella adalah mangsa selain merupakan saksi kanak-kanak yang keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak.

Zilfinaz pada prosiding sebelum ini berkata pihaknya memohon supaya seorang perantara dan peneman Bella dilantik mengikut peruntukan di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 untuk berada bersama remaja itu di sebuah bilik lain semasa perbicaraan dijalankan.

“Dua individu ialah pegawai psikologi dari Jabatan Peguam Negara Dr Nor Jumawaton Shahruddin selaku perantara dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Noor Faiidah Mohamed selaku peneman Bella,” katanya kepada Hakim Izralizam Sanusi.

Bagaimanapun, kehadiran adik Bella hari ini mencuri tumpuan khalayak apabila datang dengan ceria senyuman terukir indah, lebih kelihatan sihat berbanding ketika ditemui sebelum ini.

Malah yang paling menjadi perhatian adalah busana gaun berwarna biru yang sinonim dengan watak utama animasi tersebut, iaitu Puteri Elsa. Lebih manis, sebuah mahkota turut terselit rapi di bahagian atas tudung yang dipakainya.

Turut berada di tempat kejadian, seorang individu di laman Facebook miliknya, Mona Din berkongsi momen-momen ketika bertemu dengan gadis remaja itu. Malah dalam perkongsian terbaru, Puan Mona Din berkongsi meskipun tiada orang awam boleh masuk ke dalam mahkamah semasa prosiding berlangsung, tetapi adik Bella dikatakan berjaya memberikan kenyataan dengan sangat baik!

Perkongsian yang dibuat oleh Puan Mona Din turut menarik perhatian pengikut di laman facebooknya. Rata-rata netizen meninggalkan komen positif yang terus mendoakan kebaikkan untuk remaja istimewa itu.

Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber : Facebook Mona Din

Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, dengan menggunakan  kod KELGST5 di sini