Belimbing Buluh Berbuah Banyak, Buatkan Sambal Hitam Yang Enak Ni. Nak Cepat Masak Begini Caranya!

Share

Sekarang ini macam-macam resipi berasaskan belimbing buluh telah ramai kongsikan di media sosial. Sebelum ini viral dengan kek belimbing buluh dan macam-macam lagilah. Jadi kali ini Dr Kamarul Ariffin juga ingin berkongsi resipi berasaskan belimbing buluh bila mana staffnya telah memberinya 2kg belimbing buluh.

Menurutnya, tidak pandai membuat kek jadi belimbing buluh yang diterimanya dijadikan sambal hitam ekspress.  Jadi buat anda penggemar sambal hitam ini bolehlah mencuba resipi yang dikongsikan ini.

Sambal Hitam by Kamarul Ariffin Nor Sadan

Bahan-bahan:

1 kg belimbing buluh

2 genggam ikan bilis

10-15 biji cili padi

15 biji bawang merah (kecil)

garam secukup rasa

Cara masakan boleh lihat pada kapsyen setiap gambar. Jom lihat

Sambal hitam ni berasal dari Pahang. Ramuan dia hanya 4 bahan sahaja, tapi rasa dia boleh buat nasi tambah 4 kali

Mula-mula, bersihkan belimbing buluh. Buang jambul dia. Belimbing buluh ni rasa dia sangat masam, manis, dan ada kelat-kelat sedikit. Makan begitu sahaja, memang merembes air liur, mencurah-curah.

Kalau buat sambal hitam, kurang sikit masam dia. Kalau cara tradisi, kena rebus 4-5 jam dalam tin biskut sampai belimbing ni gelap warnanya. Kita buat stail moden. Masak dalam periuk tekanan eletrik. Kenapa?

Sebab guna periuk tekanan, hanya perlu 10 minit sahaja. Letak air ½ cawan, set pada “High Pressure” untuk 10 minit. On! Lepas tu biarkan periuk tu buat kerja sendiri. Tak payah tunggu.

Sementara tu, kita urus ramuan lain. Masukkan ikan bilis, bawang dan cili dalam pengisar. Dah letak dalam pengisar baru teringat ikan bilis belum siang. Haha! Kena keluarkan balik, siang dulu.

Selepas kisar, tumis bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak. Dalam 5-10 dah selesai. Ngam-ngam periuk tekanan pun dah berbunyi.

Lepaskan stim periuk tekanan sampai habis, dan buka! Ni dia belimbing buluh kita, dah gelap sikit tapi masih basah. Lebihan air ni saya cedok dan buang.

Untuk lagi kering, saya set periuk tekanan kepada fungsi “Stir Fry”. Jangan lupa kacau belimbing buluh ketika ni, kalau tidak ia akan hangus.

Selepas 15-20 minit, kebanyakan air dah tersejat. Boleh sambung keringkan dalam periuk tekanan jika mahu. Saya tak mahu, haha, sebab lenguh tangan dalam periuk.

Jadi alihkan semua belimbing tadi dalam kuali yang berisi bahan tumisan. Gaul rata. Kita sambung keringkan di dalam kuali.

Kacau kacau kacau, sampai hancur belimbing buluh kita tadi. Ada orang suka sambal hitam yang belimbingnya betul-betul lumat, ada pula yang suka ada kasar-kasar. Ikutlah citarasa masing-masing. Jangan lupa letak garam jika tak cukup masin, dan sambung masak.

Selepas 15-20 minit, dia akan jadi warna macam ni. Barulah sesuai dengan sambal hitam. Ada orang buat basah sedikit, ada orang buat kering terus. Kalau betul-betul kering, boleh tahan lama sikit.

Masak cara bandar ni, kurang satu jam dah selesai.

OK kita buat “plating” cantik-cantik. Sambal ni rasa dia sikit masam, masin, pedas dan umami! Memang bangkit selera. Kalau buat cara moden ni, dalam satu jam dah siap semua. Jimat masa.

Sumber : Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club