Pengalaman membeli di atas talian memang cukup memudahkan kita, semuanya dapat dilakukan dihujung jari dengan sepantas kilat. Tidak perlu lagi kita bersesak-sesak membawa anak-anak dan keluarga untuk keluar membeli belah.
Namun, ramai juga antara kita mempunyai pengalaman yang tidak seronok bila membeli secara online ini. Itu kita tidak nafikan, contohnya sering kita dengar perkongsian teman-teman bila pesan barang lain, terima barang lain pula. Malah lagi mengecewakan andai dapat barang yang telah rosak dan tidak boleh digunakan.
Jika ini yang berlaku, sewajarnya apa tindakan kita?
Tidak mahu terus berdiam diri, ada baiknya ikut cara yang dilakukan oleh peguam ini bila dirinya juga terkena mendapat produk yang telah rosak. Jom semak perkongsian bermanfaat ini.
Pengalaman terima barangan rosak secara pembelian online. Cara-cara untuk selesaikan.
Jumaat lepas saya ada terima bungkusan dari Lazada untuk pembelian Smart TV Samsung 49 inci, harga termasuk dengan penghantaran adalah RM1,607.00.
Kalau barangan bersaiz besar begini, saya memang yakin dengan Lazada sebab sebelum ini sudah pernah beli TV bersaiz besar untuk rumah saya, rumah emak saya dan untuk kegunaan pejabat. Tidak pernah ada isu dan penghantaran cepat dan selamat dengan harga yang berpatutan. Memang puas hati.
Tiba-tiba kali ini saya terima TV tersebut sudah pecah dibahagian kiri. Pecah, retak dibelakang TV dan skrinnya juga sudah retak. Jadi sebagai pengguna, saya akan mendapatkan hak saya semula. Saya kongsikan cara-caranya.
Langkah 1
Masuk aplikasi Lazada anda dan lihat dibahagian akaun anda. Pergi ke bahagian senarai pesanan barang ‘View all Orders’.
Langkah 2
Pergi ke barangan yang dipesan tetapi rosak dan tekan ‘return’. Nyatakan komen dan masukkan gambar sokongan sebagai bukti. Kemudian hantar dan tunggu jawapan dari penjual atau pekedai yang menjualkan barangan dari Lazada.
Pada peringkat ini penjual yang akan memberi maklum balas. Penjual akan memutuskan sama ada akan pulangkan atau tidak atas alasan.
Memandangkan aduan dibuat hari Sabtu, jadi masa menunggu saya 5 hari. Sama ada akan dipulangkan atau tidak. Saya pun tunggu. Sehinggalah semalam, saya mendapat jawapan yang penjual ENGGAN untuk menerima semula barangan yang rosak ini atas alasan kesilapan dari syarikat penghantar dan bukan penjual.
Langkah 3
Selepas terima maklum balas teesebut. Lihat dibahagian yang ditulis ‘Request Rejected’. Tekan perkataan tersebut.
Langkah 4
Anda akan lihat ‘view decline reason’ dan ‘dispute’. Tekan dahulu view decline reason, lihat jawapan mereka. Sama ada munasabah atau tidak. Bagi kes saya, pihak penjual menyalahkan syarikat penghantar.
Langkah 5
Tekan perkataan dispute (pertikaian) dan pilih sebab-sebab pertikaian dalam senarai pilihan. Kemudian sekali lagi nyatakan komen dan gambar sokongan sebagai bukti. Kemudian hantar dan tunggu jawapan dari Customer Service Lazada.
Dalam proses ini kita perlu tunggu. Sama ada mereka akan benarkan untuk kita memulangkan barangan dan mereka membayar semula wang kita.
Jadi sebagai langkah persediaan awal, andai kata mereka enggan menerima barang tersebut dan memulangkan barangan kita. Saya telah bersedia dengan langkah-langkah seperti berikut:
1. Mendapatkan nama penuh syarikat bagi Lazada, alamat dan nombor syarikat.
2. Mendapatkan nama penuh syarikat penjual, alamat dan syarikat.
Butiran 1 dan 2 ini perlu untuk saya teruskan kepada nombor 3.
3. Merangka saman bagi tuntutan kecil di mahkamah bagi menuntut semula nilai kerugian. Sebenarnya boleh juga adukan kepada tribubal pengguna tetapi memandangkan saya selalu ke mahkamah, saya akan memfailkan di mahkamah. Lebih mudah untuk saya.
4. Menuntut sehingga saya berjaya mendapat hak saya.
Kita ini pengguna. Jangan kita berdiam diri tidak kiralah sama barangan bernilai puluhan ringgit atau ribuan ringgit, sekurang-kurangnya kita lawan. Kuasa pengguna. Zaman ini, zaman pengguna, hak kita akan didengar. Tidak macam dulu, kalau mengadu pun tiada siapa ambil tahu.
Kalau saya mendapat maklum balas dari khidmat pelanggan Lazada saya akan maklumkan. Manalah tahu mereka hendak dengar aduan saya. Sebelum ini tidak pernah timbul isu.
sumber : Nor Zabetha