“Belanja Keluarga Tanggung Jawab Abang. Jangan Guna Duit Ita.” Suami Tinggal Nota & Duit Nafkah Buat Isteri. Sweetnya!

Share

Mungkin ramai yang tak tahu soal duit belanja bulanan patut diberikan kepada isteri. Tak kurang ada yang anggap itu tidak dikira sebagai nafkah. Tetapi sebenarnya itu tanggung jawab seorang suami selaku ketua keluarga.

Satu perkongsian oleh Dr Ahmad Zakimi Ini wajar dijadikan contoh buat semua.


“Nanti Ita check atas meja. Kot ada apa-apa rezeki ya. Love you.”

Biasanya aku akan menghantar whatsapp begitu jika aku siap dulu ketempat kerja setiap pagi. Jika isteri pergi dulu, biasanya dia akan periksa sendiri atas meja apa yang ada sambil-sambil dia sediakan sarapan pagi untuk kami.

Jika sempat, aku kongsikan sepotong ayat Alquran atau hadis pada nota. Kalau tak sempat aku hanya tinggalkan nota ringkas atau hanya duit saja.

 

Setiap hari aku akan bagi duit belanja makan minum untuk kami sekeluarga. Bermula dari 18 tahun lepas lagi. Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.

Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Almaklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi.

“Abang, takyah lah bagi duit belanja banyak sangat. Ita pun kerja. Ada gaji,” ujar isteri.

“Eh mana boleh. Belanja makan dan pakai keluarga mesti abang. Itu kan nafkah. Tanggungjawab abang. Jangan sesekali guna duit ita,” balas aku.

Duit isteri adalah untuk belanja diri dia sendiri. Bukan untuk keluarga.

Setiap kali aku memberi, isteri akan tanya, “eh abang! Banyak sangat ni. Nanti abang tak cukup duit lak.”

“Alah tak banyak mana pun. Abang ada lagi ni,” balasku. Itu selalu akan aku jawab.

Tak ternilai dengan wang ringgit pun pengorbanan seorang isteri kepada kita dan keluarga.

Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan.

“Alah, takde duit. Benda boleh settle lah. Kita kan anak jantan” – aku bermonolog kadang-kadang.

Rezeki sikit, sikit lah. Jika banyak maka banyak lah. Alhamdulillah, masih cukup untuk kami sekeluarga.

‎”Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa’ : Ayat 31)

Segala makan minum, pakaian, rumah, kereta, pendidikan anak-anak dan lain-lain keperluan rumahtangga aku yang bertanggungjawab. Itu kewajipan. Itu juga prinsip aku.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”. (Surah al-Nisa’ ayat 34)

Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai Allah.

Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami.

Semoga si suami seluruhnya dimurahkan rezeki. Amin.

Dr Zek

Sumber: Dr. Ahmad Zakimi