Pinggan mangkuk adalah antara produk yang wajib ada di ruang dapur. Kebiasaannya pinggan mangkuk ini akan dipakai untuk kegunaan harian. Pun begitu, pasti akan ada stok pinggan mangkuk tersimpan di ruang dapur untuk kegunaan pada masa-masa tertentu.
Tidak dinafikan, tujuan memiliki lebih banyak stok pinggan mangkuk ini bagi setiap wanita mempunyai pelbagai alasannya yang tersendiri. Paling biasa, hendak digunakan semasa menjamu dan merai kunjungan tetamu.
Hal ini, tentu sahaja memerlukan kaedah pengurusan dan storan pinggan mangkuk yang berkesan untuk memastikan ruang dapur terlihat kemas dan tidak padat dengan lambakan pinggan mangkuk tersebut. Ingin ketahui caranya, jom semak 5 kaedah
yang praktikal.1.Bahagikan mengikut set
Susun pinggan, mangkuk hidang , cawan dan sebagainya di dalam set yang sama. Cara ini sangat popular digunakan oleh ramai antara kita. Mudah untuk dicari kerana disusun di tempat yang sama set.
2.Susun di dalam almari kaca
Memilih untuk menyimpan koleksi pinggan mangkuk di dalam almari kaca juga bukan sahaja menjadikan ia nampak tersusun. Malah turut berfungsi sebagai salah satu elemen dekorasi yang cukup istimewa. Sebaiknya susunan pinggan mangkuk hendaklah dapat memperlihatkan ciri dan rekaan istimewa pinggan tersebut dengan mudah. Sekali gus menjadikan ruang dapur seakan galeri yang memukau
.
3. Aturkan di rak terbuka
Peletakan pinggan mangkuk di susun rapi di bahagian rak terbuka juga satu idea yang ringkas dan menarik. Menggandakan impak dekorasi, pilihan pinggan mangkuk hendaklah disusun dengan kombinasi pelbagai warna yang menarik.
4. Simpan di dalam kabinet tertutup
Menyimpan pinggan mangkuk di dalam kabinet tertutup penuh umpamanya adalah cara yang paling ‘selamat’. Anda tidak perlu terlalu memberi perhatian pada cara susun atau sebagainya kerana pinggan mangkuk tersebut terlindung daripada pandangan. Apa yang penting pinggan mangkuk tersebut disimpan di dalam keadaan mudah dicapai dan sebaiknya disusun mengikut setnya.
5. Cawan digantung
Selain cawan disusun dan diletakkan secara biasa, ada baiknya gunakan kaedah yang berbeza dan menjimatkan ruang. Sebagai contoh memilih peletakan rod besi yang dilengkapi dengan penyangkut untuk menggantung cawan. Ia nampak begitu kemas dan tersusun rapi. Malah lebih mudah untuk dicapai jika ingin digunakan.