Begini Cara Kumpul Tabungan Untuk Percutian Idaman Bersama Keluarga. Boleh Praktik!

Share

Pastinya ramai yang bercadang untuk pergi bercuti pada waktu terdekat ini. Namun bagi yang belum mempunyai bajet, tak mengapa, masih ada masa lagi untuk mengumpul dana atau tabungan bercuti.

Bagi yang mempunyai keluarga yang besar, tentunya memerlukan bajet yang banyak. Jika tidak menabung tentu akan akan menjejaskan duit tabungan kecemasan.

Sebenarnya ada beberapa cara untuk membuat tabungan perlancongan buat keluarga anda atau diri sendiri. Nak tahu caranya ikuti panduan ini.

1.Buat senarai bajet dan rancang awal

Perkara paling utama adalah membuat perancangan awal dan senaraikan bajet yang diperlukan ketika melancong. Ini amat penting kerana dari situ kita dapat membuat anggaran jumlah wang yang diperlukan untuk percutian tersebut. Ambil tahu nilai matawang Negara yang ingin dilawati dan senaraikan dahulu kos pengangkutan, kos penginapan, kos makanan dan kos aktiviti yang mahu dilakukan ketika percutian tersebut.

Bagaimanapun, lebih jimat jika anda pergi secara berkumpulan kerana ia boleh mempengaruhi bajet anda. Sebagai contoh, sekiranya anda menggunakan khidmat kereta sewa, perbelanjaan untuk kereta sewa tersebut akan lebih berbaloi sekiranya dibayar oleh 3 atau 4 orang berbanding seorang sahaja. Kan lebih jimat!

2. Kurangkan perbelanjaan pada hari cuti

Jika kebiasaannya anda menghabiskan kira-kira RM100 hingga RM200 ketika keluar pada hari minggu, cuba kurangkan nilai tersebut supaya lebih banyak wang dapat disimpan untuk melancong.

Lebih-lebih lagi jika anda gemar berkunjung ke kafe hipster yang menyajikan hidangan yang agak tinggi harganya. Untuk mencapai matlamat percutian idaman, anda boleh berhenti melawati tempat-tempat seperti itu dan bertukar kepada kafe-kafe yang lebih berpatutan.

Selain itu, cuba juga kurangkan perbelanjaan harian anda seperti menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dan membawa bekal makanan tengah hari dari rumah.

3. Kaedah paksa reka dan tabung percutian

Kaedah paling efektif untuk memastikan anda menyimpan setiap bulan adalah dengan mengasingkan 10 hingga 15 peratus daripada gaji anda untuk percutian idaman. Anda perlu menetapkan matlamat dan mendisiplinkan diri sendiri untuk melakukannya.

Sebagai contoh, anda mahu mengumpul kira-kira RM2,000 untuk melancong ke Bangkok, Thailand. Oleh itu, jika pendapatan anda adalah RM3,000 sebulan, anda boleh menyimpan 10 peratus daripada jumlah tersebut (RM300) untuk percutian idaman anda. Jadi, dalam tempoh 7 bulan, simpanan percutian anda sudah mencecah RM2,100 dan anda sudah boleh menikmati percutian anda!

Dalam pada itu, anda juga boleh menyimpan tabung di dalam bilik tidur agar dapat memberi inspirasi kepada anda untuk terus menabung.

4. Cari tawaran berbaloi

Jika ingin berjimat, anda perlu rajin memeriksa tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati di laman web syarikat penerbangan dan melalui aplikasi mudah alih anda.

Syarikat penerbangan sering menawarkan diskaun untuk tiket penerbangan ke pelbagai destinasi mengikut musim-musim tertentu. Jadi, anda perlu peka dan selalu melayari laman web syarikat penerbangan supaya tidak terlepas tawaran hebat!

Selain itu, banyak aplikasi baru yang kini menawarkan tiket masuk ke pameran atau harga yang lebih murah untuk melakukan aktiviti-aktiviti di destinasi percutian.

Anda juga digalakkan untuk mengikuti tips ‘backpackers’ di laman social Facebook atau Twitter kerana mereka sering memuat naik itinerary dan perkongsian menarik yang secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi kos percutian anda.

5. Buat jualan pre-loved

Sekiranya almari pakaian anda telah penuh, mungkin inilah masanya untuk anda mempertimbangkan mengadakan jualan ‘pre-loved’ bagi mengumpul wang percutian.

Teliti semula pakaian dan barang-barang di rumah anda yang masih dalam keadaan baik dan jarang digunakan.

Bukan sahaja anda dapat mengumpul wang lebihan malah boleh melapangkan ruang peribadi anda dan apabila pergi bercuti nanti, anda boleh membeli pakaian dan barangan baru!

Pelbagai lagi perkara lain yang boleh mempengaruhi bajet percutian anda. Paling utama, tetapkan destinasi dan jenis percutian idaman anda dan rancanglah dengan teliti. Perancangan teliti boleh mengurangkan risiko anda terlebih berbelanja dan merosakkan ‘mood’ anda ketika bercuti.

Sumber: www.aia.com.my