Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit.
Malaysia mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.
Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi waktu malam.
Kini kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur.
Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat.
MANDI AIR SUAM
Mandi pada malam hari (sebelum tidur) dengan air suam boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi. Mandi menggunakan air panas juga dapat membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.
Mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stress. Mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain. Ia membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur).
Nasihat saya mandilah setelah balik bekerja dan bersukan, walaupun di malam hari. Gunakanlah air yang suam atau hangat untuk membersihkan diri. Mandi di malam hari tidak mendatangkan mudarat.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad