Sesetengah orang perempuan, tidak keterlaluan jika dikatakan seakan begitu obses dengan produk tupperware.
Pantang sekali kalau ada sesiapa yang hilangkannya. Boleh tak senang duduk dibuatnya.
Malah bukan suatu yang menghairankan bila rata-rata Encik suami pun faham bebelan yang bakal didengar bila bekal yang diberikan tidak dibawa pulang dengan selamat.
Kisah seperti ini turut dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini bila mana anaknya tertinggal botol air tupperware di sekolah. Beliau sanggup patah balik untuk ambilnya.
Ikuti kisah yang mencuit hati ini berkenaan tupperware.
Pergi ambil anak kat sekolah tadi dah jam 6:30 dah pun. Sampai kat jaga, Asyraff naik motor aku. Baru nak gerak, dia cakap,
“Ayah. Beg duit adik tertinggal kat kelas. Ada duit RM8 lagi dalam untuk untuk belanja esok dan lusa.”
“Biar la beg duit tu. Esok pagi ayah pergi tengok.”
Aku malas nak masuk dalam sekolah dah. Jauh juga jaga ke kelas dia. Kami pun bergerak pulang. Baru sekejap bergerak, Asyraff cakap lagi,
“Botol air pun tertinggal ayah.”
“Sreeettttt!”
Terus aku brek emergency.
“Kenapa tak cakap. Duit hilang ayah boleh niatkan sedekah. Kalau botol air hilang, bukan setakat Adik kena marah. Ayah pun mungkin hilang nyawa. Tupperware ke dik?”
“Tak tahu jenama apa.”
Ah, Tupperware ke, Tipuware. Kalau tinggal botol air kat sekolah boleh hilang nyawa woih.
Yang kelakarnya, waktu anak aku masuk kelas, ada seorang lagi lelaki di temani anaknya baru keluar dari kelas darjah 3 tingkat atas. Dari jauh aku laung,
“Kenapa tu bang?”
“Tertinggal botol air cikgu!” Balasnya dari kejauhan.
“Tupperware ke?” Jerit aku lagi.
“Yaaaaa!”
“Kahkahkah.”
Kami gelak bersama. Laju dia gerak balik. Tak sempat nak ambil gambar bukti. Lewat balik pun boleh kena soal siasat juga weh. Bahaya main dengan kaum wanita ni. Seram.
Waktu keluar pintu sekolah, jaga pula tegur,
“Tertinggal apa cikgu?”
“Nyawa.”
Senyum je jaga dengar jawapan aku. Entah dia faham entah tidak. Lantakkan.
Gitu je aku jawab lantas pecut balik rumah dengan penuh kelegaan.
sumber :Mohd Fadli Salleh