Setiap pasangan suami isteri menantikan kehadiran si kecil dalam hidup mereka. Timbul rasa berdebar dan dalam masa yang sana teruja setiap kali melihat perkembangan si bayi termasuklah mengetahui jantina bayi ketika membuat imbasan.
Bagi pelakon dan pengacara, Ain Edruce yang kini hamil lapan bulan mengakui masih belum mengetahui jantina anak yang bakal dilahirkan itu.
Ain, 30, atau nama sebenarnya Nurulain Edruce berkata, setiap kali membuat pemeriksaan dan imbasan, bayi dalam kandungan ‘menyorok’.
” Setiap kali buat pemeriksaan kesihatan, bayi saya sangat ‘pemalu’. Susah betul saya nak tengok muka. Buat pemeriksaan 3D pun, memang tak boleh tengok, dia asyik menyorok saja.
” Doktor selalu cakap anak saya pemalu, tapi doktor mungkin lupa saya tak pemalu. Mungkin ikut bapa dia,” jelas Ain berseloroh.
Meskipun suaminya yang juga seorang ahli perniagaan dikenali dengan sifat pemalu, Ain bagaimanapun menganggap suaminya itu sebagai pembawa tuah dan rezeki dalam kehidupan mereka.
” Saya anggap banyak rezeki selepas kahwin ini disebabkan Mirul. Bagi saya, he is my lucky charm… dia bawa rezeki kepada keluarga kami.
” Memang susah sangat nak tengok. Itu yang saya tak sabar nak bersalin dan tengok wajah bayi. Jantina pun tak tahu, bukan tak nak beritahu, tapi memang tak nampak.
” Seronok juga tak tunjuk jantina, sebab orang sekeliling saling berteka-teki mengenai jantina bayi dalam kandungan saya” ujar Ain lagi.
Ain yang dijangka melahirkan bayi pada 25 mei ini berharap dapat melahirkan anak secara normal.
” Sekarang usia kandungan sudah lapan bulan dan saya sangat gementar, Insya-Allah bulan depan bersalin. Doktor kata dalam 22 Mei, tapi saya menjangkakan lebih awal dari itu.
” Perasaannya sangat takut. Saya jumpa ramai kawan yang baru bersalin dan tanya perasaan dan pendapat mereka secara pembedahan atau normal.
” Ini kerana ramai cakap akan sakit, tapi saya tidak tahu apa perasaan sebab tidak pernah ada pengalaman bersalin.
” Walaupun takut, tapi teruja juga sebab nak tengok bayi macam mana. Tak sabar nak tengok muka macam mana.
” Kalau boleh nak cuba bersalin normal. Sebab lepas saya bersalin nanti dan tamat tempoh berpantang, saya terus masuk penggambaran JKK musim terbaharu.
” Kalau dapat bersalin normal senanglah saya nak jaga. Orang kata normal lebih senang sembuh jika dibandingkan dengan pembedahan,” katanya.
Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada Disember 2019 dan Ain telah mengumumkan kehamilannya pada 29 November tahun lalu.
Sumber: Harian Metro
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club