Bayi Lahir Pramatang! Doktor Kasi Bayangan Akan Meninggal. Ibu Bapa Harap Dapat Rai Aidilfitri Bersama

Share

Pasangan mana yang tidak mahu cahaya mata. Malah kehadiran zuriat ini seakan mengikat lagi kasih sayang suami isteri. 

Tidak kira, untuk kelahiran pertama atau seterusnya, keterujaan itu sangat dirasai. Setiap anak ada keistimewaan tersendiri. 

Namun bagi pasangan ini, anak mereka Ayesha Nuha menjadi perhatian sejak kisahnya dikongsikan oleh ibunya. Ayesha Nuha adalah seorang bayi pramatang yang dilahirkan pramatang pada 9 Jun 2022.

Menurut ibu kepada bayi ini, Nor Faizah Ismail, dia dan suami Md Aidil Faat hanya mampu berdoa selepas doktor memberi bayangan bahawa si cilik itu mungkin tiada harapan untuk terus hidup.

“Sebelum bersalin, doktor pakar dah maklumkan bahawa baby akan meninggal. Tapi kuasa Allah yang maha hebat, baby Nuha berjaya membesar berkat doa orang sekeliling,” tulisnya pada kapsyen video di TikTok.

Faizah turut mengakui telah bersedia dengan sebarang kemungkinan, namun terkejut anaknya terus bertahan.

“Sebelum ini saya pernah alami keguguran. Kali ini kelahiran pramatang. Anak saya lahir pada usia kandungan enam bulan. Doktor tak bagi kami harapan sebab organ penting 

baby sangat tak matang. Kami hanya mampu reda.

“Nuha dilahirkan secara normal walaupun dia berada dalam keadaan songsang. Keadaannya 50 – 50 masa tu, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU). Doktor cuma minta kami bersedia dengan apa-apa kemungkinan.

[TRENDING] Kepala Aku Dihayun Jurulatih.” Remuk Hati Kakak Allahyarham Prebet Iman Bila Temui Nota Adiknya Di ‘Ragging’ Selepas 5 Bulan Pemergiannya

[EKSKLUSIF] Kalau Nak Jadi Perdana Menteri Kenalah…Nasihat ‘Deep’ Tun M Kepada Umar

“Dua bulan Nuha dalam NICU. Banyak komplikasi berlaku. Nuha juga jalani pembedahan saluran jantung selepas dua minggu dilahirkan. Pembedahan itu sangat berisiko. Kami suami isteri pasrah tapi yakin Nuha anak yang kuat,” ujarnya.

Menurut Faizah, dia dan suami tidak menyangka si comel itu mula menunjukkan reaksi positif selepas dua bulan dia ditahan di NICU.

Biarpun masih menjadi penghuni hospital, Nuha menunjukkan perubahan sedikit demi sedikit sehinggalah dibenarkan untuk pulang ke rumah, pada bulan ini.

“Selepas pembedahan dan keluar NICU, Nuha dipindahkan ke wad bayi tapi dia masih perlu dipantau oleh doktor. Dari situ doktor nampak peluang Nuha untuk terus hidup adalah cerah. Kami memang lega sebab di NICU dia sangat kritikal.

“Lapan bulan lebih Nuha dalam hospital. Saya dan suami berulang alik sepanjang masa dari rumah kami di Pontian ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terletak di Johor Bahru. Akhirnya Nuha dibenarkan balik ke rumah pada bulan ni, kami bersyukur sangat,” ujarnya.

Pada Rabu, Nuha sekali lagi dimasukkan ke hospital kerana paras oksigen yang tidak stabil, namun Faizah berharap situasi itu tidak berpanjangan dan besar harapannya dia dapat pulang sebelum Aidilfitri tidak lama lagi.

“Nuha baru keluar hospital bulan ni. Hari ini (Rabu) dia dimasukkan ke hospital semula kerana oksigen menurun sikit. Mungkin dia belum sesuai dengan keadaan di rumah, ada risiko balik rumah.

“Kali ini saya tak pasti berapa lama Nuha akan dipantau oleh doktor. Tapi saya berharap dia cepat sihat. Saya yakin Nuha kuat. Raya tahun ini kami tidak merancang untuk ke mana-mana, cuma kami harap dia ada bersama kami,” ujarnya lagi.

Menurut Faizah, dia bersyukur dengan sokongan orang ramai, malah kembali bersemangat selepas ramai insan senasib dengannya turut ‘hadir’ memberi sokongan secara dalam talian.

“Saya kongsi di TikTok sebab nak cari semangat. Masa tu Nuha belum keluar hospital. Saya cuma mahu cari member yang boleh bagi semangat, terutamanya yang senasib dengan saya. Komen-komen mereka membuatkan saya rasa tidak berkeseorangan.

“Video-video TikTok itu juga menjadi kenangan buat kami sekeluarga. Selain mendoakan anak saya, ramai yang senasib turut berkongsi cerita yang mana ujian mereka jauh lebih hebat berbanding saya. Mereka sentiasa tanya perkembangan kesihatan Nuha.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang doakan kami. Saya juga nak berterima kasih kepada staff nurse NICU dan wad A4 di HSA,” ujar Faizah mengakhiri bicara.

[ARTIKEL PANAS]

[TIPS]

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club