Membantu meningkatkan imun tubuh dalam melawan penyakit seperti selesema mahu pun demam, umumnya boleh diperolehi daripada pengambilan makanan yang berkhasiat dan tinggi vitamin c.
Selain itu, cara alternatif juga boleh dilakukan dengan menggunakan bahan yang sedia ada di dapur.
Nak tahu caranya, di sini dikongsikan untuk manfaat semua.
antibiotik semulajadi
Dah 3-4 hari Ammar batuk-batuk. Buat cara steam bawang putih dan lemon tak jalan, minum air delima tak jalan juga. Semalam tengah malam dah mula demam. Mamanya juga dah mula jangkit.
Bila demam kena lah start dengan antibiotik. Jadi tadi mama dia start bancuh antibiotik semulajadi ni.
Saya tawakal juga ni, petua diberi seorang doktor juga.
Guna 2 bahan sahaja:
1. Madu asli
2. Separuh bawang holland
Bawang dipotong 4-6 bahagian
Masukkan madu 2 sudu kecil. Guna sudu plastik untuk handle madu.
Biarkan 1 jam hingga dia mula keluar jus
Nak cepat goncangkan sikit bekas ya
Dah dapat airnya bagi minum 1 sudu pada baby. (Baby 12 bulan keatas saja)
Dewasa pun boleh. Rasa dia macam ubat batuk ada efek mint mint sikit.
Alhamdulillah memang berkesan petua antibiotik bawang & madu ni. Bawang ada anti bacteria dan anti inflamasi semulajadi. Madu pula dah sememangnya penawar.
Pagi ini batuk dalam 70% berkurang. Kahak pun bunyi dalam dada baby dah mula longgar.
Sekarang bukan sebarang boleh pergi klinik dan hospital kalau ada simptom demam dan batuk. Silap haribulan kena kuarantin berhari-hari. Tak nak lah sampai begitu.
Kita cuba dulu cara semulajadi ni InsyaAllah menjadi.
sumber : Noraliza Alwi
Bawang Mentah Lebih ‘Berkhasiat’ Berbanding Bawang Yang Dimasak, Bantu Cegah Sakit Jantung & Strok
Bawang merah sering digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit untuk rawatan tradisional sejak berkurun lamanya. Selalunya bawang merah ditumis sebagai bahan penyedap dalam masakan.
Sama seperti bawang putih, bawang merah juga turut dikenali sebagai ‘superfood’ kerana ia mengandungi pelbagai nutrien yang bermanfaat untuk kesihatan.
Tahukah anda bahawa bawang mentah lebih banyak khasiatnya berbanding bawang yang dimasak? Berikut kupasan daripada saintis Dr Suri Roowi
BAWANG MENTAH LEBIH BERKHASIAT BERBANDING BAWANG YANG DIMASAK ?
1. Bawang merah mentah kaya bahan khasiat seperti organosulfur dan flavonoid.
2. Bahan ini bersifat antiplatelet dan antikanser terutamana antikanser usus, perut dan kerongkong.
3. Sumber bersifat antiplatelet biasanya digunakan untuk mencegah terjadinya penggumpalan darah. Sumber ini boleh digunakan oleh pesakit dengan masalah pembuluh darah sumbat seperti penyakit jantung koronari dan penderita stroke.
4. Justeru, makan bawang merah mentah bagus untuk membantu mengelakkan penyakit-penyakit ini.
5. Sebaliknya, bahan khasiat ini akan mudah hilang jika bawang dimasak. Kajian ke atas 12 pesakit menunjukkan sifat antiplatelet akan musnah dalam masa 3 dan 6 minit selepas bawang dimasak. Selepas 10 minit memasak, bawang sebaliknya berubah sifat dan ia merangsang aktiviti platelet (jadikan darah mudah bergumpal).
6. Bawang kuning tinggi mineral seperti fosforus, potassium, magnesium dan zat besi. Manakala, bawang merah pula tinggi antioksidan dan vitamin C.
7. Simpan bawang dalam freezer selama 5 minit untuk elakkan pedih mata. Kaedah ini juga tinggikan khasiat bawang di mana bahan antioksidan (quercetin) akan terhasil dengan lebih banyak lagi.
Justeru kurangkan `membawang’, sebaliknya makanlah bawang mentah sebagai ulam untuk membantu mengelakkan sakit jantung dan ‘stroke.’
Sumber kredit: Dr Suri Roowi Top image: Photo by mart-production from Pexels
Bahaya Tidur Dalam Kereta. Dr Ni Beri Penekanan Dari Sudut Automotif, Sila Takenote!
Menempuh perjalanan yang jauh bersama keluarga tercinta atau teman-teman dengan menaiki kereta pastinya amat meletihkan. Bahkan tidak dinafikan, sering kali juga terasa mengantuk semasa pemanduan.
Umumnya merawat kelesuan dan rasa mengantuk, ada segelintir antara kita akan tidur seketika di dalam kereta dengan enjin kereta tidak dimatikan.
Namun hakikatnya, tindakan ini akhirnya akan membawa bahaya apabila berlakunya kebocoran karbon monoksida dan akan mengakibatkan punca kematian seseorang.
Bagaimana sebenarnya ia boleh terjadi?
Memahami situasi ini, seorang doktor yang juga meminati bidang aoutomotif berkongsi ilmu agar lebih ramai antara kita faham dan sekali gus mengelakkan perkara merbahayakan terjadi lagi.
Ini perkongsiannya.
Hari ini kita dikejutkan dengan berita tentang insiden yang menyebabkan seorang wanita dimasukkan ke hospital dan mengorbankan 3 lagi sahabatnya.Dilaporkan punca kematian adalah keracunan karbon monoksida akibat #kebocoran gas itu pada kenderaan mangsa. Ia berlaku ketika mereka tidur di dalam kereta yang enjinnya dibiar hidup.
Susulan itu, ramai yang kongsikan fakta tentang keracunan monoksida dan bagaimana ia boleh membahayakan nyawa. Namun, ada beberapa perkara yang kurang diberi penekanan.
Anda tahu tak apa maksud kebocoran karbon monoksida pada kenderaan? Mana datang gas ini? Ia bocor dari mana ke mana? Bagaimana nak elakkan kebocoran gas ini?
Pembakaran bahan api dalam enjin kenderaan menghasilkan beberapa jenis gas yang berbahaya kepada kesihatan, dan salah satu daripada adalah karbon monoksida.
Lazimnya gas ini akan dikeluarkan dari enjin melalui sistem ekzos yang terdiri daripada beberapa bahagian. Sistem ini juga berfungsi untuk mengurangkan bahaya gas-gas berkenaan.
Gas pembakaran dari silinder enjin akan melalui:
Manifold/extractor
Exhaust pipe
Oxygen sensor
Catalytic converter
Muffler/silencer
Tailpipe
Catalytic converter berfungsi untuk mengubah karbon monoksida kepada gas yang lebih selamat iaitu karbon dioksida. Kereta yang dibangunkan selepas tahun 80-an pasti ada komponen ini.
OK! Setelah mengetahui hal ini, dah boleh teka di manakah boleh berlaku kebocoran karbon monoksida? Betul, pada sistem ekzos kenderaan, khususnya pada komponen-komponeen sebelum catalytic converter.
Kebocoran boleh berlaku di sambungan antara enjin, manifold/extractor, exhaust pipe, catalytic converter atau pada komponen itu sendiri, menyebabkan banyak karbon monoksida terbebas.
Catalytic converter ini diwajibkan untuk kenderaan masa kini untuk pastikan asap yang dihasilkan oleh kenderaan lebih selamat dan memberi impak kesihatan yang minima.
Namun, ada pemilik kenderaan membuang catalytic converter dan peredam daripada sistem ekzos kerana ia dapat meningkatkan sedikit prestasi enjin kenderaan mereka. Ini modifikasi bahaya.
Jadi, apakah yang langkah-langkah yang kita boleh lakukan untuk elakkan keracunan karbon monoksida akibat kebocoran gas itu daripada sistem ekzos kenderaan kita?
1. Jika ekzos berbunyi kuat dan kasar, serta ada bau asap yang menyengat hidung, itu merupakan antara tanda kemungkinan ada kebocoran pada ekzos. Bawalah kenderaan untuk diperiksa.
2. Jika keluar notifikasi/amaran logo enjin, periksa sekali sistem ekzos. Logo enjin itu juga akan menyala jika oxygen sensor mengesan ada masalah dengan pembakaran dan gas ekzos.
3. Jangan sesekali buang catalytic converter daripada sistem ekzos kenderaan kita. Ia adalah modifikasi yang membahayakan kesihatan dan alam sekitar, serta menyalahi undang-undang.
4. Tinggalkan amalan memanaskan enjin kenderaan jika kenderaan berada di kawasan yang agak tertutup, seperti di dalam garaj, kolong rumah, bangsal tertutup, dan sebagainya.
5. Tak usah tidur di dalam kenderaan yang enjinnya dibiarkan hidup, tidak kira tingkap kenderaan terbuka atau tertutup, pendingin hawa dihidupkan atau dimatikan. Nak tidur dalam kereta, matikan enjin.
Semoga bermanfaat!
Kamarul Ariffin Nor Sadan
(doktor ke mekanik ni?)
Nota: Saya seorang doktor, tapi suka juga bab automotif. Jadi, ambil peluang ni untuk jelaskan hal ni dari sudut automotif. Sudut perubatan, dah ramai doktor lain yang beri penjelasan.
Sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan
6 Masalah Biasa Ketika Hamil, ‘Enjoy’ Detik Indah , Ibu Jangan Risau Ya!
Mengandung? Sesetengah daripada kita takut untuk kembali mengandung lagi gara-gara alahan dan pelbagai masalah atau simptom lain yang kembali bakal menyerang.
Bagi wanita yang mengandung anak sulung mungkin tidak biasa dan terkejut dengan kesemua masalah ini. Jangan terlalu risau, kesemua ini adalah perkara biasa dan bakal dilalui oleh semua ibu mengandung. Apa yang anda perlu lakukan adalah menikmati waktu-waktu indah selama 9 bulan ini.
Sembelit
Sehingga 50% wanita hamil menghadapi masalah ini. Sembelit berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya akibat pengaruh hormon kehamilan yang melambatkan perjalanan usus, mungkin disebabkan kurang pengambilan air dan makanan berserat tinggi, pil zat besi dan juga tekanan rahim ke atas usus besar.
Untuk mengatasi masalah ini, wanita hamil harus meminum air sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas sehari serta mengambil makanan berserat tinggi seperti bijirin, sayuran dan buah-buahan.
Buasir
Masalah buasir juga kerap berlaku apabila wanita hamil mengalami sembelit. Meneran semasa sembelit, batuk berpanjangan, hamil (saiz rahim yang membesar) memberikan tekanan ke atas bahagian rektum (usus besar) serta saluran vena padanya. Ini menyebabkan pengembangan vena tersebut dan disebut buasir.
Kadangkala ia boleh terjulur keluar seperti daging lebih ataupun berdarah (kebiasaannya darah sejurus selepas membuang najis, berwarna merah cerah dan tidak sakit). Sakit boleh timbul jika buasir mengalami gangguan bekalan darah.
Elakkan sembelit dengan mengambil minuman atau makanan yang bersesuaian. Elakkan juga mengenakan tekanan ke dalam abdomen. Jangan ambil ubat sembarangan sebaliknya dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat-ubatan. Bagi sesetengah kes, buasir dijangka hilang selepas kelahiran tersebut.
Pedih Hulu Hati
Hormon kehamilan menyebabkan lebih banyak asid gaster (asid di dalam perut) terhasil. Pada masa yang sama, hormon kehamilan juga menyebabkan perut lambat kosong. Tambahan pula, tekanan rahim ke atas perut juga boleh menjadikan keadaan semakin nyata.
Kesemua ini menyebabkan asid gaster naik memasuki saluran esofagus di bahagian atasnya dan menyebabkan rasa pedih hulu hati.
Bagaimanakah mengatasinya?
– Duduk tegak selama sejam selepas makan. Berkemungkinan anda memerlukan ubat-ubatan yang mengandungi antasid. Sekiranya masalah berterusan, dapatkan nasihat doktor.
– Kurangkan minuman sewaktu makan. Seelok-eloknya minuman diambil di antara waktu makan tersebut dan dikurangkan semasa makan.
– Makan dalam kuantiti yang kecil pada setiap kali tetapi kerap (contohnya daripada 3 kali sehari kepada 5-6 kali sehari).
Kekejangan kaki
Kebiasaannya masalah kekejangan kaki berlaku pada trimester kedua dan ketiga kehamilan. Hindari masalah ini dengan mengambil makanan atau pil tambahan kalsium dan mengambil makanan bersumber potassium seperti pisang, buah oren dan sebagainya.
Bengkak Kaki
Kebiasaannya berlaku pada kaki dan semakin nyata pada waktu awal malam setelah sehari berdiri/berjalan dan pada trimester ketiga kehamilan. Ia disebabkan tekanan kandungan yang mengganggu aliran darah daripada bahagian kaki ke dalam jantung.
Elakkan masalah ini dengan berbaring dan mengangkat kaki ke atas (melebihi paras jantung), mengiring sebelah kiri (bagi mengurangkan tekanan kandungan ke atas saluran vena utama).
Dapatkan nasihat doktor terutama jika anda mengalami edema pada keseluruhan badan (muka, tangan dan sebagainya) serta sebelum anda mengambil ubat-ubatan.
Keputihan
Ia lebih kerap dialami wanita hamil akibat perubahan hormon. Berkemungkinan ia adalah jangkitan kulat (candidiasis). Ibu hamil yang mengalami masalah ini perlu mengambil ubat anti kulat selepas mendapat nasihat doktor.
Masalah yang berulang atau berlarutan boleh diperiksa lebih lanjut dan diberikan ubat bersesuaian. Anda juga mungkin mengalami penyakit lain tanpa disedari seperti kencing manis dan sebagainya.