Bawang Goreng Lebih Sedap Bila Buat Sendiri & Ini Cara Nak Pastikan Rangup!

Share

Biarpun dipasaran  banyak dijual bawang goreng ‘ready made’, namun ramai ibu-ibu memilih untuk buat sendiri.

Sebab apa?  Lain tak bukan kerana keaslian rasanya, ternyata yang dibuat sendiri lebih sedap. Itu hakikatnya!

Rasanya lebih fresh, ranggup dan menyelerakan.  Pun begitu, tak semua percubaan membuat sendiri bawang goreng rangup di rumah menjadi.

Bagi yang tak pernah buat, dan ingin mencuba kali pertama menyediakan bawang goreng ada yang terhangus atau mungkin juga terlembik dan tidak sedap rasanya.

Di sini dikongsikan petua dan cara yang betul membuat bawang goreng rangup.

PETUA 1: PILIH BAWANG

Pastikan pilih bawang  yang segar dan elakkan daripada memilih bawang yang lembik dan hampir busuk.

PETUA 2 : TOS HINGGA KERING

Bila bawang dicuci,  pastikan selepas itu ditoskan hingga kering agar ketika digoreng tidak lembab dan dapat digoreng ranggup.

PETUA 3 :HIRIS NIPIS

Pastikan bawang dihiris nipis bagi memastikan ianya dapat digoreng sempurna.

PETUA 4 : TABURKAN GARAM

Menaburkan sedikit garam akan membuatkan bawang yang digoreng dapat mengekalkan kegaringan selain memberi rasa bawang goreng tersebut lebih enak.

Kuantiti garam jangan terlalu banyak, cukup sekadarnya bagi memastikan keaslian rasa bawang dapat dikekalkan.

PETUA 5 :GAUL BERSAMA TEPUNG

Taburkan tepung pada hirisan bawang juga dapat membantu menjadikan bawang yang digoreng menjadi ranggup dan enak dimakan.

Pilihan tepung pula bervariasi, boleh gunakan sama ada tepung gandum, tepung beras mahupun tepung jagung. Setiap jenis tepung mempunyai tekstur dan hasil tersendiri.

PETUA 6 : MINYAK YANG BANYAK

Pastikan semasa menggoreng,  minyak diisi penuh di dalam kuali.  Ini bagi memastikan bawang dapat digoreng sempurna.

PETUA 7 : API SEDERHANA

Kawalan api juga sangat penting.  Sebaiknya guna api sederhana dan bukannya api yang besar atau kecil. Bila kekuningan barulah dikaub balik bagi memastikan bawang masak sekata dan sempurna.

PETUA 8 : SIMPAN

Selepas digoreng biarkan seketika hingga benar-benar sejuk.  Untuk cara yang lebih berkesan,  letakkan bawang goreng di atas kertas tisu agar minyak yang berlebihan dapat diserap sepenuhnya.

Kemudian pastikan bawang goreng disimpan di dalam bekas kedap udara.

Praktis 8 petua ini akan menjadikan bawang yang digoreng terasa begitu enak dan kekal ranggup untuk dimakan pada bila-bila masa. Selamat mencuba!