Pasangan

“Barulah Hati Isteri Berbunga-Bunga” ‘The Pocket Rocketman’ Kongsi Tip Bahagia, Tak Perlu Selalu Jadi Romantik!

Share

Bukan senang menjadi suami dan bukan mudah menjadi seorang isteri. Namun bagi Dato Azizulhasni Awang yang mesra disapa ‘Jijoe’ berkongsi tip rumah tangga bahagianya bersama isteri.

Akui Jijoe dia tidak perlu sentiasa untuk romantik setiap masa namun tahu caranya bila masa yang lebih sesuai.

Bapa kepada empat cahaya mata ini turut berkongsi tips menjadi suami romantik dan bertanggungjawab di laman media sosialnya.

“Suami perlu romantik ke? Sejujurnya saya ni bukanlah romantik mana pun. Kalau nak ikutkan, saya ni komando punya style. Tegas, keras dan hati kering.

“Pada kebanyakkan masa saya cuba juga untuk imbangkan dengan kelembutan dan tolak ansur terutamanya bila dengan anak-anak. Akan tetapi ada juga waktunya bilamana komando tu terlebih-lebih isipadunya.

“Isteri saya ni selalu jugak cakap nak tu nak ni, bagi macam-macam hint sampaikan dia selalu juga cakap saya ni tak romantik. Saya pekakkan telinga je lah bila kena sound macam tu. Sebab orang lelaki kan penyabar dan lebih bijak.

“Seperti acara Keirin, kita kena ada perancangan yang teliti dan penuh dengan taktik untuk menewaskan pihak lawan. Jadi, dalam soal ini, pada percaturan saya, kalau kita selalu sangat over romantik ni, effect dia akan berkurangan.

“Walaubagaimanapun, we have to give credit when it’s due. Bila sampai waktu dan ketikanya, baru lah saya melakukan henjutan,” ulasnya panjang lebar.

Tambah anak kelahiran negeri Terengganu ini lagi, sikap romantik itu perlu ada pada suami namun perlu bijak menggunakannya agar dapat mengekalkan bahagia berumahtangga bersama isteri.

“Bagi saya, it’s all about timing. Bila sampai waktu dan ketikanya, saya akan keluarkan sifat romantis tu. Bukan tak ada, tetapi orang lelaki ni lebih gemar simpan romantik dia dekat hempedu.

Bila romantik itu digunakan pada tempat dan waktu yang betul, maka effect dia akan jadi berganda-berganda. Barulah hati si isteri berbunga-bunga. Senyum pun sampai ke telinga.

Percayalah nanti si isteri mesti akan bagi ungkapan “romantik juga you ni erk”. Tips saya, bagi jelingan maut, sengetkan sebelah je mulut dan jawab “I malas nak tunjuk je” sambil angkat kening dua kali.

“Akan tetapi dia ada beda antara romantik dan kewajipan. Romantik tu benda yang si suami boleh play around ikut citarasa. Tetapi kewajipan adalah benda yang telah termaktub dalam hukum,” tulisnya.

Bapa penyayang ini juga turut berpesan agar jangan terlalu berkira dengan anak dan isteri kerana itulah yang perlu dilakukan seorang suami.

“Satu lagi perkara yang penting saya nak kongsi berdasarkan pengalaman peribadi sendiri. Kita ni janganlah nak berkira sangat dengan isteri. Insan yang jaga makan minum kita, mendidik dan besarkan anak-anak kita dan sebagainya.

“Kalau kita buat semua ini kerana mencari keredhaan Allah swt, nescaya Allah akan melimpahkan dengan pelbagai kebaikan di dunia dan akhirat,” tambahnya lagi yang turut berkongsi petikan surah Al Baqarah untuk semua.

Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Al-Baqarah 261)