Sempena ulang tahun perkahwinan bersama isteri, Datin Wong Mew Choo, pemain badminton lagenda negara berkongsi ucapan yang cukup sweet buat kesayangannya itu. Pasangan ini baru semalam (10 November) menyambut ulang tahun ke 7.
Di dalam perkongsian tersebut, Datuk Lee Chong Wei turut berkongsi detik-detik awal perkenalan mereka dan bagaimana dia akhirnya memberanikan diri untuk memulakan langkah pertama.
Petik kelopak bunga
“Satu ketika dahulu, dia ada di sana. Ada ketikanya dia memandang saya, kadang-kadang buat tak tahu sahaja. Saya naif dan malu untuk meminta nombor telefonnya. Terlalu bodoh untuk mengetahui apa yang ada di dalam fikiran seorang wanita.
“Walaupun saya ini agak bodoh, tapi rakan sepasukan saya lagi teruk. Dia suruh saya ‘petik’ kelopak bunga untuk lihat jika dia (Wong Mew Choo) sukakan saya.
“Saya cakap tiada duit jadi saya disuruh petik bulu tangkis. Saya ikut. Baru saya tahu yang bulu tangkis ada 16 bulu,” tulisnya.
Ibu kepada dua anak
Tambahnya lagi, dia adalah lelaki yang paling bertuah kerana berjaya memperisteri wanita idamannya
“16 tahun berlalu, dia kini adalah ibu kepada dua orang anak lelaki saya. Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang ketujuh tahun isteriku.
Bertuah dapat memenangi hati
“Saya adalah lelaki yang paling bertuah di muka bumi ini apabila kamu bersetuju untuk mengahwini saya. Maaf kerana tidak dapat bersama kamu sekarang kerana tuntutan kerja.
“Orang cakap saya bertuah kerana dah menang banyak trofi. Tapi pada saya, saya bertuah kerana dapat memenangi hati kamu,” tulisnya.
Perkongsian LCW nyata cukup menghiburkan , rata-rata netizen menyifatkan ia sesuatu yang romantis dan sweet.
Tak kurang yang mengatakan mereka juga baru tahu bulu tangkis itu ada 16 bulu.
Sumber: IG leechongweiofficial