Baru Setahun Minat Berlari, Ibu Anak Dua Ini Telah Kumpul 43 Medal. Badan Pun Makin Solid, Wajah Lebih Sihat & Cantik!

Share

Banyak faedah yang diperolehi bila seorang ibu itu aktif bersenam dan bersukan, bukan sahaja memiliki tubuh badan yang ideal malah sedar atau tidak dengan sendirinya seseorang itu akan terlihat lebih muda daripada usianya sebenar.

Lihat sahaja ibu anak dua ini, jika dilihat sekali pandang persis anak dara dan siapa sangka umurnya kini adalah 42 tahun. Apa sebenarnya yang dilakukan olehnya?

Jom baca perkongsian kisah ini dan diharapkan  selepas ini lebih ramai ibu-ibu terinspirasi untuk aktif bersenam dan bersukan dengan turut serta program larian seperti Nancy.


Saya mulai menyertai aktiviti run pada tahun 2018 tatkala usia saya sudah mencecah 41 tahun. Medal saya yang pertama adalah Dinasty Hotel Charity Run iaitu Fun Run 3KM. Itupun saya menggantikan orang lain.

Suasana yang seronok masa tu menyebabkan saya terus berminat untuk join mana-mana run yang ada. Selepas itu event kedua saya terus melompat ke 21KM Half Marathon, 16 Mac 2018. Kemudian saya dan suami join hampir kesemua acara run yang ada di Miri dan ada juga di luar Miri seperti Bintulu, Kuching Marathon dan Borneo Marathon di Kota Kinabalu Sabah.

Suami adalah pendorong saya. Dulu dia sekadar menemankan saya sahaja, tetapi sekarang dia pula sudah ‘ketagih’ untuk berlari bersama. Setakat ni, anak-anak baru 3 kali turut serta, iaitu kalau ada Fun Run kurang daripada 6KM. Saya galakkan mereka bersama-sama agar memupuk minat tesebut dari kecil.

Setelah genap setahun (2018-2019) Run, saya dan suami sudah mengumpul 43 medal. Manakala pada April hingga September 2019 ni, ada 7 acara dalam senarai yang bakal kami sertai.

Penjagaan medal 

Tiada petua khas untuk saya menjaga medal, saya lap dan bersihkan daripada habuk sahaja. Saya juga peruntukkan 1 ruang untuk menggantung medal iaitu di laluan tangga ke tingkat atas rumah saya. Setiap kali melihat medal itu, saya akan berasa seronok dan bersemangat. Maka itulah yang menjadikan hari-hari saya semakin indah.

Rutin harian 

Biasanya anak-anak ke tuition jam 6.00-8.00 malam, masa itulah saya dan suami akan berlatih di gym dan berlatih running. Balik dari sekolah saya akan terus memasak untuk makan malam dan prep meal saya dan suami keesokan hari. Masa itu juga saya akan bertungkus lumus menyiapkan seberapa banyak tugas-tugas rumah yang boleh. Kami akan bertolak ke pusat tuition anak-anak jam 5.45pm dan terus bersenam di gym.

Jam 8.00 malam mereka habis tuition dan kami pun habis bersenam dan terus menjemput mereka. Begitulah rutin setiap hari sehinggalah Jumaat. Pada hari Sabtu pagi, kami akan buat LSD sampai 21km kalau ada event HM21KM yang perlu kami sertai.

Hari minggu pula kami akan rehat sepenuhnya dan beriadah bersama anak-anak. Kadang-kadang menonton wayang, picnic, trekking atau shopping. Mana-mana permintaan anak-anak yang dapat ditunaikan. Kalau event di luar Miri, seperti hiking di Pinacales di Mulu National Park dan mendaki Gunung Kinabalu, saya dan suami akan menjemput ibu mertua dan bapa mertua datang ke Miri untuk menjaga anak-anak buat sementara waktu kami di sana.

Kekal bertenaga

Saya konsisten bersenam dan menjaga pemakanan sudah hampir 3 tahun. Apabila saya konsisten bersenam, semua kerja saya menjadi lebih mudah sebab saya sentiasa bertenaga. Saya akan sentiasa positif dan sentiasa bersemangat. Saya memang menjaga diet dengan konsisten. Tanpa sebarang suplimen, saya bergantung sepenuhnya kepada real food. Amat jarang saya menikmati makan di luar, kecuali masa cheat meal iaitu lunch hari Ahad . Selebihnya saya memang memasak di rumah dan dibawa ke tempat kerja.

sumber : Nancy Maria