Ajal maut ditangan Tuhan. Siapa sangka, baru sahaja dua bulan berkahwin, penyanyi veteren Salamiah Hassan, 71 tahun berpisah buat selama-lamanya dengan suami tersayang, Gerry Hughes, 68, yang dilaporkan meninggal dunia semalam.
Berita sedih itu disahkan anaknya yang juga penyanyi Atilia Haron, hari ini yangberkongsi kisah sedih di Insta Story miliknya.
“Kami sekeluarga menerima berita pemergian Gerry Hughes pada Jumaat pagi dan mama sedang dalam perjalanan ke Tasmania, Australia.
“Kami harap semua dapat memberikan masa untuk kami meratapi pemergian yang mengejutkan ini. Al-fatihah,” tulisnya.
Memetik dari Harian Metro, Atilia tidak dapat berkongsi punca kematian Allahyarham kerana masih menunggu perkembangan daripada ibunya.
“Nanti bila mama sampai rumah sana saya maklumkan. Saya nak tunggu mama sampai Tasmania untuk maklumkan kepada kami. Mama berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri undangan persembahan,” katanya.
Terdahulu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Gelombang dan Menghitung Hari itu melangsungkan pernikahan dengan Hughes yang berasal dari Liverpool, England dan menetap di Australia pada 1 September lalu.
Salamiah dan Hughes yang juga kenalannya sejak 15 tahun lalu dinikahkan dalam majlis sederhana di Burnie, Tasmania.
Untuk makluman, Salamiah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Raja Ahmad Shah dan Raja Atilia.
Allahyarham Raja Haron meninggal dunia pada 28 Julai lalu akibat masalah jantung.
Sumber : Instagram Atilia Haron, HMetro