Hati ibu mana yang tak luluh. Seorang kanak-kanak lelaki, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, baru berusia dua tahun, dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga pada Isnin.
Difahamkan, si kecil ini berada di rumah neneknya yang hanya kira-kira 90 meter dari anak sungai. Namun, dalam sekelip mata, dia tiba-tiba hilang dari pandangan. Ahli keluarga yang menyedari kehilangannya segera mencarinya, namun bayangnya langsung tak kelihatan.
Memetik Sinar Harian, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Asmadi Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.02 malam.
Ads
Kami bergegas ke lokasi sejauh 26 kilometer dan tiba pada jam 8.49 malam. Kanak-kanak tersebut dipercayai hilang di sekitar kawasan kampung berkenaan. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai oleh penduduk kampung telah dijalankan, namun gagal menemukan sebarang jejak,” katanya
Menurut beliau, pihaknya turut mendapatkan bantuan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu usaha mencari.
Ujarnya, SAR masih diteruskan sehingga hari ini.
Ads
IBU SAUDARA MOHON BANTUAN ORANG RAMAI
Dalam pada itu, ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki ni turut meminta bantuan orang ramai untuk hebakan mengenai kehilangan anak saudaranya.
Ads
Kala ini sudah tentu tangisan ibu dan ayah memecah kesyian, doa tidak putus-putus dipanjatkan. Hanya berharap Hud Aryan segera ditemui dalam keadaan selamat.
Nahas jalan raya, tujuh mangsa maut, dua beradik belum tahu ibu bapa sudah tiada. Dua kanak-kanak yatim piatu yang masih menerima rawatan di Hospital Melaka belum dimaklumkan mengenai pemergian ibu bapa mereka dalam kemalangan meragut tujuh nyawa itu.
Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, masih di unit rawatan rapi (ICU) manakala adiknya Nur Sofea Humaira, 4, telah ditempatkan di wad biasa hospital sama.
Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, saat ini adalah lebih penting untuk menjaga emosi kanak-kanak itu lebih-lebih lagi mereka dalam keadaan kesakitan.
Menurutnya, Nur Sofea baru sahaja selesai menjalani pembedahan susulan paha retak pada pagi Rabu, manakala Muhammad Uwais Al-Qarni yang berada di ICU masih menunggu masa untuk menjalani pembedahan.
“Mereka belum tahu lagi (pemergian ibu bapa) walaupun mereka sedar kerana kita tak mahu menganggu emosi mereka.
“Kita tak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah,” katanya.
Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, kesemua penumpang bas warga Singapura yang cedera telah dibenarkan pulang.
Ujarnya, selain dua beradik terbabit, seorang lagi pemandu lori membawa muatan pakaian terpakai dan tercedera dalam kemalangan itu masih dirawat di Hospital Melaka.
“Pemandu berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU setelah mengakami cedera parah terutamanya di bahagian kaki,” ujarnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, pada Isnin.
Turut maut pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang merupakan warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan manakala kenderaan MPV Toyota Estima sebuah treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju ke arah utara.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 telah tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.
Katanya, bagaimanapun bas pelancongan yang tiba di tempat kejadian telah terlanggar tayar tersebut lalu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar penghadang jalan dan bertembung dengan kereta Perodua Bezza serta Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga itu.
“Akibat kemalangan itu, tujuh mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital Melaka dan Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Ardell Aryana direntap hijab, kemeja-T jadi pengganti penutup kepala. Kelibat para sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika tiba di Turki selepas dibebaskan daripada tahanan pihak berkuasa Israel menjadi perhatian ramai yang menantikan khabar terkini mengenai mereka.
Beberapa rakaman video yang kini tular di media sosial memperlihatkan wajah-wajah aktivis yang masih mampu tersenyum biarpun baru sahaja melalui detik sukar apabila dilayan seperti haiwan oleh tentera Israel.
Antara individu yang paling mendapat perhatian ialah pelakon dan aktivis, Ardell Aryana. Sebelum ini, keberadaannya menimbulkan persoalan ramai sebelum akhirnya disahkan turut ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Penampilan Ardell yang menggunakan baju-T berwarna putih sebagai penutup kepala bagi menggantikan hijab nyata menyentuh hati orang ramai. Tindakan itu melambangkan kekuatan serta ketabahan wanita Muslim yang tetap menjaga aurat walau dalam keadaan terdesak.
Bukan Ardell sahaja, beberapa aktivis wanita lain turut kelihatan tidak lagi memakai tudung yang sama seperti sebelum mereka ditahan di atas kapal.
Menurut aktivis Turkiye, Semanur Sonmez Yaman, mereka diperlakukan dengan kasar hingga tudung-tudung mereka dirampas oleh tentera Israel.
“Rakan aktivis wanita yang tidak memakai tudung kemudian memberikan mereka (sukarelawan Muslim) baju untuk menutup kepala,” katanya.
Kisah ini bukan sekadar menggambarkan kekejaman rejim Israel terhadap tahanan wanita Muslim, tetapi juga memperlihatkan semangat persaudaraan dan maruah yang tetap dipertahankan walaupun dalam situasi penuh tekanan.
Wanita campak bayi baru lahir dari tingkap apartmen, menangis teresak-esak di mahkamah. Keputusan akhir melibatkan seorang wanita muda yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh bayi perempuannya lima tahun lalu ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Hakim Rofiah Mohamad menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh baharu untuk menyampaikan keputusan, bagi memberi ruang kepada mahkamah meneliti secara menyeluruh laporan sosial tertuduh, hujahan daripada pihak pendakwaan serta rayuan oleh barisan peguam bela.
“Selepas mendengar rayuan, laporan sosial tertuduh serta hujah daripada pihak pendakwaan, mahkamah mendapati adalah amat susah untuk membuat keputusan terhadap kes ini.
“Oleh demikian, mahkamah memerlukan masa untuk meneliti kesemuanya iaitu laporan sosial, rayuan dan hujah pendakwaan sebelum membuat keputusan terhadap kes ini.
“Maka, saya menetapkan mahkamah akan bersidang semula pada 8 Ogos ini untuk keputusan akhir kes,” kata beliau ketika prosiding berlangsung pada Jumaat.
SESI MAHKAMAH PADA AWALNYA DITANGGUHKAN SEKETIKA APABILA TERTUDUH, M SANTHIEA, 23, TIDAK DAPAT MENAHAN PERASAAN SEJURUS GAMBAR BAYI DAN BARANG-BARANG BUKTI DIKEMUKAKAN. DIA KELIHATAN MENANGIS TERESAK-ESAK DAN DITENANGKAN OLEH PEGUAMNYA, RSN RAYER, SERTA IBUNYA SEBELUM PROSIDING DISAMBUNG SEMULA.
Dalam pembelaannya, Rayer memohon agar mahkamah mempertimbangkan latar belakang tertuduh yang ketika kejadian baru berusia 18 tahun dan masih menuntut di sebuah kolej swasta.
“Tertuduh telah ditahan reman selama empat bulan di penjara dan hukuman itu telah memberi satu pengajaran kepada tertuduh dan keluarga.
“Selain itu, ketika kejadian, tertuduh cuba membunuh diri selepas melahirkan bayinya kerana takut untuk menghadapi keluarganya terutama ibu bapa.
“Oleh itu, saya mohon mahkamah menggantikan hukuman penjara kepada bon berkelakuan baik berikutan tertuduh merupakan seorang pesalah muda dan telah menghadapi ‘living in hell’ akibat perbuatannya itu,” hujah Rayer.
Namun begitu, pihak pendakwaan berpendirian bahawa kepentingan awam tidak boleh diketepikan dalam kes ini, memandangkan ia melibatkan kematian seorang bayi yang baru dilahirkan.
“Bayi tersebut disahkan masih hidup sewaktu dilahirkan. Dalam mempertimbangkan kes ini, pihak pendakwaan ingin menegaskan bahawa faktor kepentingan awam perlu diberi keutamaan, memandangkan mangsa ialah seorang bayi yang tidak mampu bersuara atau mempertahankan diri.
“Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan mesti mencerminkan betapa seriusnya kesalahan ini, agar menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat serta pencegahan kepada mana-mana pihak daripada mengulangi kesalahan yang sama.
“MAHKAMAH TELAH DIARAHKAN UNTUK MENELITI SEBAB KEMATIAN BAYI SERTA FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA KES INI. TERTUDUH DIDAPATI TELAH MEMBUANG BAYI TERSEBUT DENGAN CARA YANG TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN, MELEMPARKAN BAYI MELALUI TINGKAT BANGUNAN. SEKIRANYA BAYI TERSEBUT DIBIARKAN HIDUP, DIA KINI BERUSIA LIMA TAHUN,” KATA TIMBALAN PENDAKWA RAYA, NURUL KHAIRIAH DAHALAAN.
Kes ini berpunca daripada kejadian pada 10 Julai 2020, apabila tertuduh didakwa membuang bayi perempuannya dari tingkap sebuah unit kediaman di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam, sekitar jam 8.25 pagi. Ketika itu, dia baru sahaja melahirkan anak dan dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat komplikasi serta kehilangan darah serius.
Pada awalnya, M Santhiea didakwa mengikut pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan itu digugurkan dan diganti dengan Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang merangkumi kesalahan infantisid iaitu membunuh anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat perubahan hormon selepas bersalin.
Jika disabit kesalahan di bawah seksyen ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Sepanjang tempoh siasatan, tertuduh ditahan reman selama empat bulan kerana tidak dibenarkan ikat jamin. Namun selepas permohonan dibawa ke Mahkamah Rayuan, dia dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM90,000 serta tertakluk kepada beberapa syarat ketat seperti larangan meninggalkan negeri dan perintah berkurung selama 12 jam setiap hari.
Mahkamah akan menyambung semula prosiding bagi keputusan muktamad pada 8 Ogos ini.