Lazimnya, bila sebut barli apa terbayang difikisaran enak dimasak bubur atau tidak pun dibuat air yang menyegarkan.

Pun begitu, jangan tak percaya barli jugan boleh dijadikan alternatif menggantikan nasi. Malah sesuai untuk dimakan buat mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Hal ini dijelaskan dengan detail oleh dr Zubaidi dan semoga bermanfaat.

MAKAN BARLI PENGGANTI NASI

Nasi adalah makanan ruji orang Melayu di Malaysia. Ramai yang tidak nampu untuk meninggalkan nasi.

Dalam ceramah kesihatan, saya mencadangkan bagi pesakit metabolik seperti pesakit diabetes, hiperkolestrolemia dan hipertensi, agar menukarkan nasi dari beras putih kepada beras perang atau beras rebus (parbolied). Ini kerana beras putih mempunyai nilai GI yang terlalu tinggi berbanding dengan beras yang saya sebutkan tadi.

Mengambil barli dalam makanan dikatakan amalan sunnah.(Maaf saya tidak jumpa hadis yang berkaitan). Namun apa yang terbukti, pengambilan barli sangat baik untuk kesihatan. Ia mampu mencegah dan merawat penyakit.

Sebagai contoh untuk sarapan, boleh campurkan barli yang direbus dengan buah kurma, kismis, buah teen dan madu. Untuk makan tengahari atau malam, boleh gantikan nasi dengan barli, dimakan bersama lauk kari ikan bersama sayur yang ditumis.

Gambar hiasan

Banyak manfaat barli, antaranya:

1. Merawat kencing kotor

Kencing kotor merujuk kepada jangkitan pada saluran/pundi kencing. Dengan mengamalkan minum air barli, ia membantu merawat masalah ini.

Ini kerana air barli bersifat alkali. Ia juga bersifat diuretik, yang meningkatkan penghasilan air kencing. Ini membantu pesakit kencing lebih banyak, dengan secara tidak langsung mengeluarkan kuman bakteria dari pundi dan saluran air kencing.

IKLAN

Air barli juga bersifat anti-keradangan yang membantu masalah penyakit ginjal kerana ia dapat menurunkan tahap asid urik dan kreatinine. Bagi pesakit ginjal (yang belum menjalani hemodialisis), minum air barli tanpa gula, sangat membantu merawat masalah ini.
Barli juga kaya dengan magnesium, yang dapat mencegah penghasilan batu karang.

Minum 2-3 gelas air barli sehari sehingga masalah tersebut berkurangan, dan kemudiannya sembuh.

2. Membantu Menurunkan Berat Badan

Barli kaya dengan serat, terutama beta-glucan. Ia memberikan rasa kenyang dalam jangka masa yang lama, mengelakkan dari rasa cepat lapar. Ia juga baik untuk sistem penghadaman badan dan meningkatkan metabolisma. Menggantikan nasi dengan barli dapat membantu menurunkan berat badan.

3. Merendahkan Tahap Kolestrol

Menggantikan beras dengan barli dapat mengurangkan tahap kolestrol jahat dalam darah, lalu mengurangkan risiko mendapat masalah sakit jantung. Ini kerana serat beta-glucan dalam beras barli dapat mengurangkan penyerapan kolestrol dari makanan ke perut dan usus.

4. Menjadikan Jantung Lebih Sihat

Menggantikan beras dengan barli juga dapat merendahkan tahap kolestrol di dalam darah, mencegah keradangan dan meminimakan proses pengoksidaan yang menyebabkan pemendakan kolestrol dalam saluran darah. Dengan ini ia membantu mencegah penyumbatan saluran arteri atau dikenali atherosclerosis.

Gambar hiasan

Barli mempunyai sejumlah vitamin B (niacin) dan vitamin E yang dapat melambatkan proses keradangan dan pengoksidaan. Selain menghalang berlakunya atherosclerosis, barli juga dapat merendahkan tekanan darah tinggi yang menjadi punca bagi masalah serangan sakit jantung dan stok.

5. Membantu Sistem Penghadaman

Mengambil barli menggantikan nasi juga membantu penghadaman makanan dan baik untuk kesihatan perut dan usus. Barli bersifat alkali dan ini bagus untuk pesakit gastritis. Barli juga mempunyai banyak serat yang menjadi sumber prebiotik. Air barli juga mempunyai elektrolit yang seimbang, bagus untuk mereka yang mengalami cirit-birit.

6. Mengawal Tahap Gula pada Diabetes

Mengambil barli menggantikan nasi juga bagus untuk pesakit diabetes. Dua faktor yang terdapat pada barli, iaitu kandungan fiber yang tinggi dan kandungan serat beta-glucan yang melambat penyerapan gula dari makanan. Oleh itu barli mempunyai nilai Index Glisemik yang rendah, iaitu 45 berbanding beras putih GI 75.

7. Kulit Yang Lebih Sihat dan Cerah

Mengambil barli menggantikan nasi atau meminum air barli dapat menggalakkan perkumuhan dan mengeluarkan toksik dari badan. Ini menjadikan kulit yang lebih sihat dan cerah.

Barli mengandungi bahan asid azelaic yang digunakan untuk merawat jerawat. Ia dapat mengurangkan keradangan pada kulit, mengelakkan daripada liang pora kulit tersumbat. Barli juga bersifat antioksida yang dapat melawan radikal bebas. Ini melambatkan proses penuaan.

Ambil barli yang dikisar dan campurkan sedikit air untuk dijadikan mask muka. Biarkan selama 10 minit dan kemudian bilas dengan air yang bersih. Amalkan beberapa kali seminggu. Insya Allah kulit bertambah bersih, cantik dan tegang.

8. Menyejukkan Tubuh

Air barli sangat bagus untuk menghilangkan rasa panas badan. Hentikan pengambilan air berkarbonat, dan bertukar kepada air barli. Campurkan setitik stevia dan perahan limau. Sesuai diambil dalam keadaan suam ataupun sejuk.

9. Membekalkan Nutrisi Penting Kepada Ibu Hamil

Sama ada mengambil air barli atau menggantikan nasi putih dengan barli sangat bagus untuk ibu yang hamil. Selain membekalkan vitamin dan mineral, ia membantu mencepatkan proses penghadaman, mencegah sembelit, mengawal kadar gula dalam darah untuk mengelakkan masalah diabetis semasa hamil.

Air barli dapat mengeluarkan toksik dan air yang berlebihan dari badan. Ini boleh mencegah daripada edema.

Para ibu yang menyusu anak meningkatkan kadar penghasilan susu badan. Campurkan air barli yang panas dengan 1 sudu teh jintan manis, biarkannya selama 5-10 minit dan kemudian minumnya.

10. Meningkatkan Kekuatan Sistem Imuniti Badan

Sistem pertahan badan adalah perkara yang penting, untuk melindungi tubuh badan daripada jangkitan dan serangan kuman seperti demam, selesema dan lain-lain. Mengambil barli menggantikan nasi atau mengambil air barli sangat bagus untuk meningkatkan sistem imuniti tubuh kerana ia dipenuhi dengan pelbagai nutrisi seperti vitamin B, zat besi, kalsium, magnesium, zink dan selenium. Barli juga mengandungi zat besi, bagus untuk mencegah daripada anemia dan keletihan (fatigue).

Semoga bermanfaat.

sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad