Selagi hidup di dunia ini, kita memang tidak boleh lari daripada terus diuji. Ada orang kata, dengan ujian itulah juga yang menjadikan diri seseorang menjadi dewasa dan lebih matang . Namun ujian yang datang bukanlah mudah untuk ditempuh, silap percaturan tidak dapat diurus dengan baik dan menjadikan hidup merana sepanjang hayat.
Lalu tidak hairanlah setiap kali melihat anak-anaknya diuji dengan pelbagai dugaan, mak-mak kita dulu akan memberi nasihat yang cukup pendik namun besar maknanya, ayat keramat itu adalah “Sabar, banyak-banyakkan bersabar.”
Memahami lagi erti sabar ini, melalui perkongsian Puan Raudzah Arippin di akaun fbnya membuatkan terkesan di hati. Apatah lagi jika kita sendiri sedang lalui ujian hidup. Memang benarlah, sabar itu kuncinya dan harus dijaga rapi.
Ini Perkongsiannya.
Ketika ke Kedah tempoh hari, saya berjumpa sahabat lama saya, Sumayyah Abd Rahman. Mayyah, sahabat baik saya sejak kami sama-sama belajar di UPM dulu (1996-2000).
Kami duduk berbual lama juga. Lalu Mayyah bercerita perihal pemergian arwah ibunya. Dan salah satu perkara yang dia cerita ini, buat saya berfikir dalam.
“Uda, dulu mak aku selalu pesan, kena sabar”
“Tapi masa tu aku tak faham. Aku fikir sabar tu, sebagai sabar macam biasa”
“Tapi bila mak aku dah tak ada, baru aku faham, sabar yang mak-mak kita pesan ni sebenarnya lebih besar dari perkataan sabar tu sendiri. Ia sesuatu yang ‘beyond’ dari sabar, yang kita tak akan faham selagi kita tak alami ujian yang sebenar dan berfikir betul-betul”
Lalu saya pun terdiam.
Telah berulang kali saya mencatatkan sebelum ini, begitu jugalah pesan emak pada saya, lebih lagi bila suami saya jatuh sakit. Sakit yang berat.
Emak tidak pernah beri nasihat panjang berjela. Emak cuma pesan,
“Sabar. Sabar banyak-banyak”
Dan sabar yang emak maksudkan rupanya, sama sahaja dengan apa yang emak Mayyah pesan.
Ia bukan sekadar bersabar dari perasaan sedih. Tapi lebih dari itu. Sabar itu satu nasihat positif yang akan memberi kesan kepada seluruh tindakan, dan juga emosi kita.
Saya merenung semula banyak hal.
Tuhan menetapkan, setiap jalan ada likunya. Malah kita menyangka mungkin Tuhan akan mengurangkannya bila kita sudah rasa ujiannya sudah maksimum. Tetapi tidak. Dia akan tetap menguji. Dan tetap juga, sabar itulah yang perlu dijadikan teman baik.
Banyak kali saya gagal juga sebenarnya. Bergelut mengurus kehidupan, dan mengurus emosilah yang sangat berat. Saya jadi cepat marah dan tidak tahan dengan tekanan. Sebab itulah agaknya mak selalu pesan suruh sabar. Ia bukan senang. Tidak.
Sabar dalam menghadapi ujian hidup yang berat, memerlukan rasa sabar itu jauhhh lebih besar dari emosi sedih, perit dan payah, itu tidak sama dengan sabarnya engkau bila selipar hilang masa solat Jumaat.
Dan saya fikir, sabar itu benar benar diperlukan dalam mengurus emosi. Emosi yang berat, yang negatif.
“Ya Uda. Bila hang kata pasal cabaran sebenar adalah cabaran mengurus emosi tu, aku sangat setuju. Itulah cabaran sebenar hidup kita.” Kata Mayyah sebelum kami berpisah pada hari itu.
Begitulah.
Pesan emak saya dan emak anda semua juga barangkali, “Banyak-banyak bersabar” itu tetap akan menjadi nasihat pendek yang mengesankan.
Usah berfikir negatif dengan pesan itu. Ia sebenarnya pesanan ringkas penuh bermakna, yang jika kita dalami maksudnya, ia akan mengawal seluruh tindakan dan fikiran kita kepada yang lebih baik. Mendorong perasaan supaya lebih bertenang.
Itu saja. Moga faham maksud saya. Terima kasih ya baca sampai habis.
sumber : Raudzah Arippin