Syukur Alhamdulillah, tiada apa yang lebih membahagiakan setiap penjawat awam apabila bakal menerima Bantuan Khas Aidilfitri pada 20 Mei ini. Sekurang-kurangnya dengan wang RM 500 tersebut apabila dibelanjakan akan dapat menjadi rezeki buat orang lain juga.
Memetik laporan penuh berkenaan penerimaan Bantuan Khas Aidilfitri di akbar Harian Metro, pemberian ini membabitkan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar pada 20 Mei ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Katanya, bantuan itu membabitkan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 56 dan ke bawah.
Turut menerima bantuan khas adalah pesara kerajaan yang menerima pencen, bernilai RM250.
“Pesara yang dilantik semula secara perkhidmatan kontrak dan masih berkhidmat pada 20 Mei juga layak terima sebanyak RM500.
“Pembayaran sebanyak RM250 akan dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya sebanyak RM250 akan dibayar jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat,” katanya menerusi Pekeliling Perkhidmatan Awam, hari ini.
Mohd Khairul Adib berkata, pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan sudah dikeluarkan Pihak Berkuasa Tatatertib ditangguhkan daripada menerima bantuan itu.
Katanya, mereka hanya layak diberi bantuan terbabit sekiranya Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati pegawai berkenaan tidak bersalah.
Manakala memetik berita di BERNAMA ada menyenaraikan pegawai yang layak menerima bantuan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2020 berkata kerajaan memutuskan bantuan khas itu yang akan dibayar pada 20 Mei ini dengan pesara kerajaan menerima pencen turut menerima bantuan berjumlah RM250.
“Pegawai yang layak diberi Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 adalah seperti berikut: pegawai lantikan tetap, sementara dan ‘contract of service’; pegawai yang bercuti bergaji penuh; pegawai yang bercuti separuh gaji; pegawai yang bercuti tanpa gaji; dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. Bantuan Khas Aidilfitri ini akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.
“Bantuan khas ini juga dipanjangkan kepada guru interim; pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak mendapatkan khidmat pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya,” katanya dalam pekeliling itu.
Jelas Mohd khairul Adib lagi, pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran, Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971 turut layak menerima bantuan itu.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Adib berkata Pekerja Sambilan Harian (PSH) masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 turut menerima bantuan khas itu RM500 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
“Pesara yang dilantik semula secara ‘contract of service’ dan masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 layak diberi bantuan khas itu sebanyak RM500.
“Pembayaran RM250 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya RM250 akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat,” katanya.
Sumber : Bernama & Harian Metro