Bantu Rakan ‘Istimewa’ Ke Tandas, Beratur Ambil RMT. Sifat Baik Adik-Adik Ini Raih Pujian Ramai!

Share

Zaman persekolahan, zaman paling seronok bersama kawan-kawan. Mereka ibarat adik beradik kita ketika di sekolah kerana setiap hari jumpa mereka di kelas. Tak perlu ramai, cukup seorang dua yang sentiasa ada bersama kita ketika susah dan senang. Tak terbayang bagaimana hambar hidup jika tiada mereka di sisi. Kan?

Bila sebut susah dan senang bersama, tak semua orang boleh menerima kekurangan seseorang. Hanya yang betul-betul ada hati yang ikhlas dan suci sahaja tidak pandang kekurangan itu sebagai penghalang untuk terus berkawan, malah ia mendidik mereka menjadi seseorang yang lebih bertanggungjawab.

Misalnya seperti satu kisah yang dikongsikan oleh seorang guru ini menerusi laman Facebook miliknya, iaitu Sylvester Ronny Pulene yang berkongsikan kisah dua sahabat membantu rakannya dipercayai istimewa untuk membuang air kecil di tandas sekolah. Jom ikuti perkongsiannya.

Erti sebuah Persahabatan (Pementas Enggau Kaban)

Selepas waktu rehat, semasa menuju ke kelas saya terserempak dengan tiga sahabat ini (Murid tahun 1). Dua orang rakannya tengah membantu untuk membuka tali pinggang kerana salah seorang dari mereka ingin membuang air.

Murid “J” ini sememangnya istimewa. Dia adalah bekas murid saya di prasekolah. Dia masih tak pandai mengurus diri sendiri. Bahkan semasa di Tahun 1, dia masih lagi menggunakan ‘pampers’. Tapi mungkin hari ini dia tak guna ‘pampers’.

Perbualan mereka juga tidak begitu jelas, agak perlahan. Tapi yang membuatkan saya bangga yang dia mempunyai ramai kawan di dalam kelas yang cukup prihatin dengan keadaan dia. Bahkan kadang-kadang kawannya sanggup tolong dia beratur untuk ambilkan makanan RMT di kantin sekolah.

Dia juga seorang yang sangat peramah walaupun dia agak lain daripada murid yang lain. Pendek kata, rakan yang sekelas dengan dia semua memberikan perhatian kepada pelajar ini walaupun mereka masih di usia 7 tahun.

Kawan dia itulah yang tolong bukakan tali pinggang dan juga kemaskan semula baju dia bila sudah selesai urusan di dalam tandas. Selepas itu mereka pimpin tangan balik ke kelas semula sambil ketawa riang.

Meneliti di ruangan komen, rata-rata memuji tindakan rakan-rakannya yang membantu dengan seikhlas hati itu. Malah, ada juga yang mendoakan yang baik-baik buat mereka di masa hadapan.

Semoga dengan perkongsian kecil ini dapat memberi inspirasi kepada semua tanpa mengira usia. Kadangkala, yang masih kecil juga mampu menjadi inspirasi kepada yang telah dewasa.

Sumber: Facebook Syvester Ronny Pulene , SK Sungai Kapit

Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, dengan menggunakan  kod KELGST5 di sini